Jumaat, 26 September 2025
Pilihan Raya Kerajaan Tempatan: Wajarkah Cadangan MCA dan DAP?
DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, seruan untuk mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan kembali menjadi topik hangat, khususnya apabila parti seperti MCA dan DAP memperbaharui desakan mereka agar proses demokrasi ini dihidupkan semula.
Desakan ini mencetuskan perdebatan yang signifikan mengenai arah tuju sistem demokrasi di Malaysia – adakah negara bersedia untuk memulihkan satu lagi lapisan demokrasi yang telah lama dibekukan atau adakah risikonya melebihi manfaatnya?
Pilihan raya kerajaan tempatan di Malaysia telah dibekukan pada tahun 1965 atas alasan keselamatan negara dan ketidakstabilan politik pasca Konfrontasi Indonesia-Malaysia serta ketegangan kaum.
Walaupun pada asalnya ia dikatakan sebagai penangguhan sementara, realitinya hingga hari ini, lebih setengah abad kemudian, proses demokrasi di peringkat tempatan belum dipulihkan.
Dalam tempoh tersebut, Ahli-ahli Majlis Perbandaran dan Datuk Bandar dilantik oleh kerajaan negeri, bukan dipilih oleh rakyat. Keadaan ini telah menimbulkan persoalan mengenai akauntabiliti, ketelusan dan legitimasi kepimpinan tempatan.
Cadangan untuk mengembalikan pilihan raya PBT adalah berakar umbi daripada prinsip asas demokrasi, bahawa rakyat berhak memilih wakil mereka di setiap peringkat pemerintahan.
Dalam konteks ini, kerajaan tempatan adalah pihak yang paling hampir dengan kehidupan harian rakyat iaitu mengurus kebersihan, infrastruktur asas, pelesenan, pengurusan sisa dan perancangan bandar.
Ketiadaan pilihan raya menyebabkan jurang kebertanggungjawaban kerana pemimpin tempatan tidak perlu menjawab kepada pengundi, sebaliknya kepada kerajaan negeri yang melantik mereka.
Dengan adanya pilihan raya, Ahli Majlis dan Datuk Bandar akan lebih bertanggungjawab kepada rakyat, kerana mereka perlu mempertahankan kedudukan melalui sokongan popular.
Ini diyakini dapat mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam di peringkat tempatan serta mengurangkan unsur kronisme dan pelantikan politik yang sering berlaku tanpa proses tapisan terbuka.
Pilihan raya PBT juga berpotensi menggalakkan penglibatan rakyat dalam politik dan urus tadbir secara lebih aktif.
Pengundi tempatan akan lebih peka terhadap isu-isu tempatan dan berpeluang menilai prestasi calon berdasarkan kerja mereka di lapangan, bukan semata-mata janji pilihan raya di peringkat nasional atau negeri.
Namun, tidak semua pihak bersetuju. Sejak dahulu, antara kebimbangan utama yang sering dikemukakan ialah ketidakseimbangan etnik dalam kepimpinan PBT, khususnya di kawasan bandar yang majoriti penduduknya bukan Melayu.
Kebimbangan ini sering dikaitkan dengan imbangan kuasa politik serta potensi ketegangan kaum sekiranya satu-satu komuniti dilihat terlalu dominan dalam pemerintahan tempatan.
Dalam konteks ini, parti-parti politik yang mewakili majoriti Melayu seperti PAS dan UMNO telah menyatakan kebimbangan terhadap potensi penguasaan satu kaum dalam PBT, sekiranya pilihan raya dilaksanakan.
Selain itu, ada juga yang menyatakan bahawa sistem pelantikan sedia ada lebih efisien dan mengelakkan “politiking berlebihan” di peringkat tempatan, yang boleh mengganggu tumpuan kepada perkhidmatan asas.
Secara politik, tidak sukar untuk memahami kenapa DAP dan MCA giat menyokong pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan.
Kedua-dua parti ini mempunyai pengaruh yang signifikan di kawasan bandar, di mana sokongan pengundi terhadap mereka secara tradisional lebih kuat.
Sebaliknya, parti-parti yang bergantung kepada sokongan luar bandar atau yang lebih bergantung kepada pelantikan politik, mungkin melihat sistem sedia ada sebagai lebih menguntungkan.
Oleh itu, pertimbangan terhadap cadangan ini sering kali lebih dipengaruhi oleh strategi kuasa dan imbangan politik berbanding prinsip demokratik semata-mata.
Dari sudut perundangan, tidak ada halangan muktamad untuk melaksanakan semula pilihan raya PBT.
Apa yang diperlukan ialah komitmen politik, diikuti dengan pindaan kepada undang-undang tempatan, terutamanya di peringkat negeri.
Misalnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pernah cuba memperkenalkan undang-undang berkaitan pemilihan PBT, namun usaha itu tidak mendapat kelulusan di peringkat pusat.
Dalam konteks ini, federalisme Malaysia yang memberikan kuasa besar kepada kerajaan pusat, menjadi salah satu kekangan utama terhadap pelaksanaan pilihan raya ini, walaupun ada negeri yang bersedia. POJOK ND 31 Ogos 2025
RUU URA Ditangguhkan: Isyarat Retak Dalam Kerajaan Sendiri
RANG Undang-Undang (RUU) URA yang dijadualkan untuk dibentangkan di Parlimen akhirnya ditangguhkan selepas mendapat tentangan bukan sahaja daripada blok pembangkang, malah daripada beberapa Ahli Parlimen kerajaan sendiri.
Penangguhan ini memberi gambaran jelas bahawa terdapat perbezaan ketara dalam kalangan wakil rakyat kerajaan terhadap hala tuju dasar yang cuba diperkenalkan oleh pihak eksekutif.
Mengapa ditangguhkan? RUU URA sejak awal lagi menimbulkan kontroversi kerana dikatakan memberi kuasa terlalu besar kepada pihak tertentu, yang berpotensi mencabul hak rakyat serta bertentangan dengan semangat demokrasi.
Tekanan daripada masyarakat sivil, kumpulan peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam semakin meningkat apabila butiran penuh RUU itu didedahkan.
Namun, lebih mengejutkan, bantahan bukan sahaja datang daripada luar, tetapi turut kedengaran dari dalam barisan Ahli Parlimen kerajaan sendiri.
Mereka secara terbuka menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa peruntukan yang dianggap tidak adil dan boleh disalahgunakan pada masa hadapan.
Ahli Parlimen kerajaan berselisih pandangan: Beberapa Ahli Parlimen kerajaan menegaskan, mereka tidak boleh sekadar menjadi “pak turut” menyokong usul kerajaan tanpa menilai kesannya kepada rakyat.
Ada yang menegaskan, peranan wakil rakyat adalah mempertahankan suara pengundi, bukan mengangkat tangan secara membuta tuli.
Penangguhan RUU URA ini membuktikan wujudnya perpecahan dan ketidakpuasan hati dalam kerajaan, sesuatu yang jarang berlaku secara terbuka.
Ia menunjukkan, tidak semua Ahli Parlimen kerajaan sanggup menggadaikan prinsip dan integriti demi menjaga imej pentadbiran.
Reaksi pembangkang dan orang ramai: Pembangkang menyifatkan penangguhan ini sebagai kemenangan kecil rakyat.
Mereka menegaskan, isu sebenar bukan sekadar soal teknikal, tetapi soal prinsip dan masa depan negara.
Bagi orang ramai pula, penangguhan ini sedikit sebanyak melegakan kerana ada ruang untuk menilai semula dan memberi tekanan agar kerajaan lebih telus.
Namun, timbul persoalan lebih besar: jika Ahli Parlimen kerajaan sendiri menolak, bagaimana RUU ini boleh diteruskan pada masa hadapan? Adakah kerajaan akan mengubah drafnya atau cuba menggunakan pendekatan lain untuk memaksa ia diluluskan?
Krisis kepercayaan dalam kerajaan: Penangguhan RUU URA secara tidak langsung memberi isyarat kerajaan kini berdepan krisis kepercayaan dalaman.
Apabila undang-undang penting tidak mendapat sokongan padu, ia menggambarkan kelemahan koordinasi serta kegagalan mencapai kesepakatan dalam kalangan pemimpin.
Lebih membimbangkan, retakan ini boleh membawa implikasi politik yang lebih besar, termasuk kemungkinan wujudnya blok-blok baharu dalam kerajaan atau perubahan dalam barisan kabinet.
Oleh itu, RUU URA yang ditangguhkan bukan sekadar isu teknikal, tetapi cerminan konflik nilai dan prinsip dalam politik negara. Ahli Parlimen kerajaan yang bangkit menolak cadangan ini membuktikan suara rakyat masih mempunyai tempat di Parlimen.
Soalnya kini, apakah kerajaan benar-benar mendengar teguran ini dan bersedia melakukan pindaan besar terhadap RUU tersebut, atau hanya menangguhkannya buat sementara waktu untuk meredakan tekanan?
Yang pasti, episod RUU URA ini akan tercatat sebagai satu lagi titik penting yang memperlihatkan bagaimana kuasa rakyat dan suara berani Ahli Parlimen mampu menggugat langkah kerajaan yang dilihat tidak berpihak kepada kepentingan umum.
Sejak mula, RUU URA dikritik kerana memberi kuasa melampau kepada pihak tertentu, dengan kebimbangan ia boleh membuka ruang penyalahgunaan serta mencabar prinsip kebebasan rakyat. NGO, peguam dan aktivis masyarakat telah menggesa supaya draf RUU ini ditarik balik atau digubal semula dengan lebih telus. – POJOK ND 30 Ogos 2025
Isu Gali Semula Kubur Mangsa Dera: Salah Siapa?
ISU penderaan kanak-kanak yang membawa kepada kematian bukanlah perkara baharu di negara kita. Setiap kali tragedi berlaku, masyarakat kembali dikejutkan dengan siri persoalan yang sama: siapa sebenarnya yang harus dipertanggungjawabkan?
Kes terbaru mengenai arahan gali semula kubur mangsa dera sekali lagi membuka luka lama, memperlihatkan betapa sistem perlindungan terhadap kanak-kanak masih rapuh.
Kanak-kanak sepatutnya membesar dalam suasana penuh kasih sayang, bukannya menjadi tempat lepas geram orang dewasa.
Dalam kes terbaru ini, mangsa disyaki didera sehingga meninggal dunia, namun siasatan awal menimbulkan keraguan, sama ada kematian itu benar-benar akibat penderaan atau ada unsur lain yang disembunyikan.
Justeru, kubur mangsa terpaksa digali semula bagi mendapatkan bukti forensik tambahan.
Ironinya, jasad seorang anak kecil yang sepatutnya “tidur tenang” terpaksa diganggu lagi hanya kerana ada pihak gagal melaksanakan tanggungjawab sewajarnya sejak awal.
Tidak dapat dinafikan, keluarga atau penjaga adalah pelindung utama. Jika benar penderaan berlaku dalam rumah sendiri, maka persoalan paling besar: di mana sifat keinsanan seorang ibu bapa atau ahli keluarga?
Mengapa ada yang sanggup menjadikan anak kecil sebagai mangsa kemarahan dan tekanan hidup?
Lebih malang, ada kes di mana jiran, saudara atau orang sekeliling tahu mengenai penderaan, tetapi memilih untuk berdiam diri. “Tidak mahu masuk campur urusan rumah tangga orang,” menjadi alasan klasik yang akhirnya meragut nyawa.
Apabila kes seperti ini meletup, masyarakat mula mempersoalkan pihak berkuasa. Mengapa laporan awal tidak menyeluruh? Kenapa siasatan pertama seakan longgar sehingga memaksa kubur digali semula? Adakah kerana sikap sambil lewa, kekurangan pegawai pakar atau campur tangan pihak tertentu?
Sekiranya benar terdapat kecuaian dalam proses bedah siasat atau siasatan polis, ia memberi tamparan hebat kepada sistem keadilan negara. Keadilan untuk mangsa kecil ini tidak boleh diselesaikan dengan sambil lewa, kerana setiap kelemahan bermakna peluang untuk pelaku terlepas hukuman.
Dalam banyak kes penderaan, faktor sosial seperti kemiskinan, tekanan hidup, masalah ketagihan, atau keruntuhan institusi keluarga sering menjadi punca utama.
Sistem perlindungan kanak-kanak negara juga sering dilihat hanya reaktif, bukan proaktif. Kita hanya bertindak selepas ada nyawa melayang, sedangkan ribuan kanak-kanak lain mungkin masih menderita dalam diam.
Jawapan yang paling jujur, salah semua pihak yang gagal menjalankan amanah. Salah keluarga yang tidak menjaga anak kecil dengan kasih sayang.
Salah jiran dan masyarakat yang menutup mata. Salah pihak berkuasa jika gagal menyiasat dengan teliti dan salah sistem sosial yang tidak menyediakan sokongan awal untuk keluarga bermasalah.
Menggali semula kubur mangsa dera bukan sekadar proses undang-undang, ia adalah simbol kegagalan kita sebagai masyarakat dalam melindungi golongan paling lemah.
Setiap kali kes sebegini berlaku, kita marah, kita bersedih, kita menuding jari. Namun selepas beberapa minggu, semuanya senyap, sehingga tragedi baru muncul lagi.
Persoalannya, adakah kita mahu terus menggali kubur demi mencari kebenaran, atau mula menggali hati dan jiwa kita untuk menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab? – POJOK ND 29 Ogos 2025
RM100 Sebulan: Formula Hidup Warga Emas Ala Fuziah
KENYATAAN Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh pada Isnin lalu, bahawa warga emas boleh bertahan sebulan dengan RM100, benar-benar kedengaran seperti lawak jenaka politik abad ini.
Mungkin selepas ini kita akan dengar pula formula ajaib lain, isi minyak kereta sebulan dengan RM10 atau bayar sewa rumah setahun dengan senyuman.
Barangkali Ahli Parlimen Kuantan itu lupa, kos sara hidup rakyat hari ini bukanlah kos hidup dalam mimpi indah wakil rakyat.
Beliau mungkin tidak pernah beratur di pasar malam untuk mencari sayur paling murah atau tidak pernah fikir sama ada mahu beli ubat darah tinggi atau beli sekilo beras.
Kerana elaun wakil rakyat mencecah puluhan ribu sebulan, lengkap dengan pemandu, pejabat dan pelbagai kemudahan, sedangkan rakyat pula diminta percaya RM100 boleh cukup untuk sebulan.
Ironinya, duit minyak kereta seorang YB sehari pun sudah lebih mahal daripada “bajet sebulan” yang disebut itu.
Lawak itu telah membangunkan netizen yang sedang tidur, apabila mereka bangun, pantas menyindir:
“Kalau benar RM100 cukup, apa kata elaun bulanan YB juga ditukar kepada RM100? Mari kita lihat siapa yang lebih cekap berjimat.
“Kalau benar RM100 cukup, bolehlah wakil rakyat berpindah ke rumah PPR dan menikmati kehidupan sebenar rakyat marhaen.
“Kalau benar RM100 cukup, tak perlu lagi tuntut peruntukan berjuta, cukup sahaja bagi semua MP RM100 sebulan.
Hakikatnya, kenyataan begini hanya mendedahkan betapa jauhnya sesetengah wakil rakyat daripada realiti rakyat biasa.
Harga barang melonjak, sewa rumah kian menjerut, kos perubatan makin menghimpit.
Warga emas yang sudah uzur bukan lagi mampu berdikari, apatah lagi “hidup mewah” dengan seratus ringgit sebulan.
Sebelum menyuruh rakyat percaya dengan “ilmu ekonomi ghaib” ini, eloklah Fuziah sendiri cuba hidup sebulan dengan RM100.
Tanpa elaun, tanpa pemandu, tanpa rumah besar. Tidur di flat sempit, beratur di hospital kerajaan, membeli sayur layu di hujung pasar malam.
Kalau berjaya, barulah boleh berdiri megah di depan rakyat dan berkata: Ya, aku buktikan RM100 sebulan memang cukup!”
Tetapi sehingga hari itu tiba, kenyataan ini hanyalah satu lagi bahan ketawa rakyat, sindiran pahit kepada realiti hidup yang tidak pernah dirasai oleh mereka yang hidup di menara kaca politik.
Di saat rakyat marhaen pening memikirkan harga beras yang semakin naik, minyak masak yang tidak pernah stabil, dan sayur kangkung pun sudah mencecah harga premium, kenyataan itu kedengaran seperti satu resipi ajaib dari dunia fantasi.
Ya, anda tidak tersilap baca: seratus ringgit.
Mungkin beliau membayangkan warga emas hidup ala rancangan Survivor, cukup dengan secubit garam, sebiji telur rebus setiap dua hari dan air paip sebagai pengganti jus buah.
RM100 itu baginya konon boleh menampung:
Sewa rumah? Tiada, sebab mungkin tidur di bangku taman.
Bil elektrik? Tak perlu, sebab lilin boleh dibeli dengan baki RM2.
Kesihatan? Klinik swasta mungkin sudah diganti dengan “doa dan tawakal”.
Di media sosial, netizen mula berkongsi “menu harian RM100 sebulan ala Fuziah”:
Sarapan: Angin pagi dan doa panjang.
Tengah hari: Nasi suku genggam dengan kicap cair.
Malam: Air kosong penuh kasih sayang.
Ada juga yang berseloroh, warga emas patut menghubungi Fuziah untuk dapatkan manual lengkap cara hidup “super ekonomi” ini, mungkin bakal jadi bestseller setanding buku motivasi.
Namun, di sebalik lawak dan sindiran, hakikatnya pahit. RM100 sebulan hari ini bukan sahaja mustahil untuk menampung kos hidup, malah ia menghina realiti getir warga emas yang sudah tidak berdaya mencari pendapatan tambahan.
Jika benar ada pemimpin percaya angka sebegitu wajar, jelas mereka sudah terlalu jauh dari denyut nadi rakyat. Harga sekilo ikan kembung pun sudah hampir menelan belanja RM15. Bagaimana mahu hidup sebulan dengan RM100?
Kenyataan ini sepatutnya jadi cermin untuk wakil rakyat: sebelum bersuara, ukur dulu pada realiti, bukan sekadar ilusi. Rakyat tidak perlukan “magis” kata-kata, sebaliknya solusi yang benar-benar menyentuh kehidupan mereka.
Kerana kalau benar RM100 cukup untuk sebulan, mungkin sudah tiba masanya elaun wakil rakyat juga dicuba dengan bajet ajaib ini, demi membuktikan kata-kata itu bukan sekadar gurauan yang menyinggung perasaan rakyat marhaen. – POJOK ND 28 Ogos 2025
Pendekatan Bijaksana Tingkat Kesedaran Pemasangan Bendera
SETIAP kali menjelang Sambutan Bulan Kebangsaan, pemasangan Jalur Gemilang menjadi simbol utama rakyat Malaysia menzahirkan rasa cinta kepada tanah air.
Di premis perniagaan, sekolah, pejabat kerajaan mahupun rumah persendirian, bendera negara berkibar megah sebagai lambang perpaduan dan maruah bangsa.
Namun, kebelakangan ini timbul kebimbangan apabila segelintir pihak memilih pendekatan keras dalam menegur kesilapan pemasangan bendera, termasuk membuat laporan polis atau berhimpun di hadapan premis.
Tindakan sedemikian, walaupun berasaskan niat mempertahankan martabat bendera, telah menimbulkan rasa takut dalam kalangan masyarakat sehingga ada yang memilih untuk tidak memasang langsung Jalur Gemilang kerana bimbang melakukan kesilapan.
Kurang Pengetahuan, Bukan Sengaja
Hakikatnya, kebanyakan kes bendera terbalik atau dipasang songsang bukan berpunca daripada sikap sengaja tidak menghormati simbol negara. Ia sering berlaku kerana kekurangan pengetahuan, terutama di premis yang mengupah pekerja asing atau akibat kecuaian teknikal ketika pemasangan.
Dalam hal ini, teguran keras hanya menjarakkan masyarakat daripada semangat patriotisme yang cuba disemarakkan.
Pendidikan Sebagai Kunci
Pendekatan pendidikan dan penerangan jauh lebih berkesan dalam meningkatkan kesedaran.
Agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkuasa tempatan boleh mengambil inisiatif menyediakan bahan panduan berbentuk infografik, video pendek atau poster yang mudah difahami oleh masyarakat umum.
Kempen media sosial juga boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan cara pemasangan bendera yang betul dengan visual jelas dan ringkas.
Selain itu, program komuniti seperti gotong-royong memasang bendera di kawasan perumahan atau premis perniagaan boleh dianjurkan. Aktiviti seumpama ini bukan sahaja mendidik secara langsung, malah mengeratkan hubungan sesama penduduk.
Teguran Hikmah, Galakan Positif
Apabila terdapat premis yang tersilap memasang bendera, teguran seharusnya dibuat secara berhemah. Sikap sopan, ramah dan kesediaan untuk membantu membetulkan kesilapan akan lebih mudah diterima berbanding pendekatan mengugut atau mempermalukan pihak terbabit.
Di samping itu, langkah memberi pengiktirafan kepada pihak yang berjaya mempamerkan semangat patriotik secara kreatif juga wajar dipertimbangkan.
Pertandingan anjuran pihak berkuasa tempatan seperti “Premis Paling Patriotik” atau sijil penghargaan kepada komuniti yang aktif menghiasi kawasan mereka dengan Jalur Gemilang akan menyemai motivasi secara positif.
Peranan Media
Media arus perdana turut berperanan besar dalam menyampaikan mesej pendidikan ini. Ruangan khusus yang memaparkan tip pemasangan Jalur Gemilang, liputan kisah kejayaan komuniti serta laporan tentang usaha murni NGO boleh memperluas kesedaran dengan cara yang lebih inklusif.
Maruah Jalur Gemilang sememangnya perlu dipertahankan. Namun, pendekatan untuk menegur dan mendidik masyarakat perlu bijaksana.
Tindakan keras yang menimbulkan rasa takut hanya akan melemahkan semangat rakyat untuk mengibarkan bendera.
Sebaliknya, pendidikan, penerangan, penghargaan dan teguran berhemah mampu mewujudkan suasana patriotik yang harmoni serta mengukuhkan rasa cinta rakyat kepada tanah air. – POJOK ND 24 Ogos 2025
Apakah wajar Khir Toyo sertai Parti Bersatu?
SELAIN negara dikejutkan kes jenayah melibatkan mangsa kanak-kanak, politik tanah air juga tidak sunyi dari kejutan dengan langkah diambil beberapa pemimpin dan bekas pemimpin sesebuah parti.
Terkini, dalam kekalutan orang ramai berhimpun menunjukkan solidariti bagi menuntut keadilan kematian Allahyarham adik Zara Qairina Mahathir, tiba-tiba muncul berita mengenai bekas Menteri Besar Selangor di era Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Khir Toyo mengumumkan menyertai parti Bersatu.
Topik ini membuka pelbagai sudut pandang politik, moral dan strategik, terutama persoalan yang berlegar dalam kalangan ahli politik dan parti, “Kenapa Khir Toyo sertai Bersatu, bukan UMNO atau PKR?”
Secara umumnya, bekas Ketua Pembangkang BN bagi DUN Selangor itu menyertai Bersatu sejak 1 Julai 2025, tetapi mengumumkan secara rasmi menerusi platform media pada 6 Ogos 2025.
Alasan konkrit beliau mahu bersama parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin, kerana melihat UMNO bukan lagi sebuah parti dominan, sebaliknya kini berperanan sebagai parti “pelengkap” kepada Pakatan Harapan (PH).
Tidak menanam cita-cita tinggi untuk memegang jawatan besar, matlamat utama beliau hanya satu, iaitu menyumbang kepada perjuangan membentuk kepimpinan Melayu yang adil dan kuat.
Menurut Khir, Bersatu kini memiliki jumlah kerusi Parlimen yang jauh lebih banyak berbanding UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 lalu, yang menunjukkan kekuatan politik lebih terserlah.
Sama ada wajar atau tidak tindakannya itu, kita lihat dari perspektif logik politik; jika seseorang itu melihat peluang lebih cerah untuk menyumbang di dalam parti yang lebih dominan, berpindah parti adalah tindakan rasional dalam konteks politik pragmatik.
Kenapa beliau ingin kembali aktif dalam politik? Dengan tulus Khir menyatakan, dalam usia sekitar 60-an, beliau tidak mengejar apa-apa jawatan, sebaliknya ingin membantu memastikan negara dipimpin oleh pemimpin Melayu yang adil.
Namun, melihat menerusi mata kasar, penyertaan Khir mencerminkan peralihan realiti politik iaitu UMNO semakin terhakis, manakala Bersatu semakin menguasai ruang politik Melayu.
Dari segi strategi agenda Melayu, tindakan itu dilihat sebagai wajar, iaitu menunjukkan realiti sebenar politik Melayu, di samping pilihan dalam menyokong kepimpinan yang mereka anggap lebih efektif.
Sebahagian pihak mungkin memandang keputusan ini sebagai realistik dan berani, khasnya dalam misi memastikan kepimpinan Melayu yang adil dan efektif.
Namun, bagi penyokong tegar UMNO atau mereka yang menilai berdasarkan loyalti parti, tindakan itu mungkin disifatkan sebagai opportunistik dan tidak berpegang pada prinsip.
Secara keseluruhan, keputusan Khir Toyo boleh dianggap wajar jika dilihat dari sudut perubahan strategi dan realiti politik nasional, tetapi wajar diragui dari sudut kesetiaan ideologi dan konsistensi politik.
Mengenai kedudukan jangka masa panjang Khir Toyo dalam politik, khususnya selepas menyertai Bersatu ialah pengalamannya mentadbir Selangor selama enam tahun tujuh bulan dari Ogos 2000 hingga Mac 2008 dan masih mempunyai rangkaian politik lama.
Jika beliau diberi peranan strategik seperti merangka tenaga kerja atau menghadapi cabaran baru di Selangor, ia boleh memanfaatkan keupayaannya. – POJOK ND 18 Ogos 2025
Apa sebenarnya berlaku kes Allahyarham Wan Ahmad Faris?
TIBA-TIBA muncul kes Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar tahfiz yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung di tandas asrama sebuah maahad tahfiz di Kok Lanas, dekat Kota Bharu.
Kes ini berlaku pada 14 Disember 2013, iaitu kira-kira 12 tahun lalu, apabila sekujur tubuh kaku pelajar tingkatan empat berumur 16 tahun itu ditemui berbau oleh penyelia asrama.
Siasatan awal polis mengklasifikasikan kejadian sebagai kematian mengejut, iaitu tiada unsur jenayah.
Namun, pada Jun 2016, selepas tiga tahun kematiannya, Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan kematian itu adalah dari perbuatan bunuh oleh individu yang identitinya tidak dikenal pasti, sekali gus menolak kemungkinan adik Wan Ahmad Faris bunuh diri.
Sejak keputusan inkues itu, keluarga arwah terus mendesak pihak berkuasa membuka semula kes berkenaan.
Mereka melakukan pelbagai usaha termasuk menghantar surat rayuan kepada Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Perdana Menteri.
Pada 31 Julai 2024, setahun yang lalu, polis menghantar surat rasmi memberitahu keluarga bahawa kes telah diklasifikasikan sebagai “No Further Action” (NFA) sejak 7 September 2020, atas alasan kekurangan bukti dan tiada saksi yang dapat mengenal pasti suspek.
Berikutan itu, keluarga berhasrat memfailkan saman terhadap beberapa pihak bagi menuntut keadilan, dengan mencadangkan mahkamah mengarahkan siasatan semula dan menuntut ganti rugi atas kecuaian penyiasatan terdahulu.
Saman dirancang difailkan sebelum penghujung Mei lalu.
Kerajaan Kelantan dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) menegaskan tidak akan mempertahankan pelaku dan terbuka sepenuhnya untuk kerjasama dengan pihak berkuasa bagi proses siasatan serta pendakwaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan turut menyatakan sokongan kepada usaha keluarga untuk membuka semula siasatan dan menegaskan pentingnya keadilan jika wujud bukti baru.
Beberapa aktivis juga tampil menyokong keluarga dengan menyeru masyarakat mendoakan supaya keadilan ditegakkan serta menyerlahkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati terhadap kelemahan dalam penyiasatan awal.
Namun begitu, kes ini belum menemui penyelesaian sebenar sehingga keluarga arwah bertekad memburu keadilan melalui tindakan undang-undang dan rayuan kepada pihak berkuasa.
Walaupun kerajaan negeri menyatakan sokongan dan tidak mempertahankan pelaku, kebenaran mengenai identiti pembunuh belum terjawab sehingga hari ini.
Namun, malam tadi ratusan rakyat Kelantan keluar berhimpun di Dataran Warisan pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV untuk bersolidariti “Justice for Faris”.
Himpunan itu menuntut komitmen penuh pihak berwajib supaya membuka semula siasatan jenayah terhadap kes berkenaan.
Wakil peguam keluarga, Alias Ibrahim dilaporkan berkata, beberapa keterangan penting dirumuskan pada prosiding inkues sembilan tahun lalu sepatutnya mencukupi untuk siasatan jenayah dimulakan.
“Terdapat beberapa bukti penting seperti nama suspek, laporan polis serta penemuan sampel DNA pada kain pelikat yang dijumpai bersama mangsa, juga sepasang selipar di lokasi mayat Allahyarham dijumpai,” katanya. – POJOK ND 17 Ogos 2025
Langgan:
Catatan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...






