Selasa, 11 Disember 2012

Ribuan askar Israel trauma, gila, bunuh diri

TRAUMA akibat perang yang sudah tercetus lebih enam dekad ini sebenarnya tidak dialami oleh penduduk Palestin sahaja. Sebaliknya, tentera bersekutu terutamanya tentera Zionis turut mengalami tekanan psikologi yang serius hinggakan ada yang terdorong untuk membunuh diri.

Dalam satu penyelidikan yang dijalankan sekumpulan profesor Israel dari Pusat Trauma Israel bagi Mangsa Keganasan dan Perang, Universiti Tel Aviv dan Universiti Haifa yang diketuai Dr. Avi Bleich mendapati tentera Israel mengalami tekanan emosi, gangguan psikologi dan trauma selepas berperang dengan penduduk Palestin.

"Dalam kajian kami, askar Israel yang terlibat dalam operasi ketenteraan terhadap penduduk Palestin mengalami gangguan rasa bersalah, tidak senang hati, bencikan diri sendiri dan menyesal kerana tidak pasti apakah mereka berada pada pihak yang benar.

"Walaupun kajian ini memberikan tumpuan kepada veteran perang yang terlibat ketika Intifada kedua dan meninggalkan perkhidmatan sejak 10 tahun lalu, namun hasil temu bual yang dijalankan saya yakin tidak jauh bezanya dengan trauma yang dihadapi tentera hari ini.

"Selepas menemu bual hampir 230 anggota tentera lelaki dan wanita, kebanyakannya berasa berbelah bagi mengenai kebenaran moral tugas mereka.

"Dianggarkan separuh daripada tentera di sempadan menyesal kerana bersikap ganas terhadap orang awam, satu per tiga daripadanya mengaku melakukan jenayah manakala 17.4 peratus menyedari tingkah laku mereka memalukan.

"Paling mereka kesalkan, mereka terpaksa menyerang dan membunuh orang awam tanpa alasan yang kukuh.

"Pernah seorang bekas tentera menangis sambil memberitahu saya, dia diarah menangkap kanak-kanak kerana mahukan maklumat tentang keluarganya yang terlibat dengan Al-Qassam.

"Semasa dalam tahanan, kanak-kanak yang baru mencecah umur lapan tahun ini merayu supaya mengasihaninya, jangan meliwatnya dan jangan membunuhnya," kata Bleich.

Tambahnya lagi, walaupun telah lama meninggalkan Palestin, kebanyakan tentera masih trauma dan tidak mendapatkan bantuan psikologi.

"Tidak hairanlah mengapa sejak tahun 1980 hingga hari ini ribuan tentera Israel memilih untuk membunuh diri," katanya.

Sabtu, 8 Disember 2012

Bumi bergelap tiga hari???

KUALA LUMPUR: Laporan blog dan artikel yang mendakwa bumi akan bergelap selama tiga hari bermula 23 Disember ini berikutan bumi, matahari dan pusat galaksi (Bima Sakti) berada pada kedudukan selari adalah tidak benar.
Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Mustafa Din Subari berkata, keadaan itu tidak akan berlaku dalam masa singkat dan mungkin akan berlaku sekiranya bumi berhenti beredar mengelilingi matahari atau apabila matahari sudah tiada lagi.

"Jangan mudah percaya dengan perkara yang remeh-temeh kerana andaian yang dibuat itu berkemungkinan daripada pengaruh filem serta cerita yang ditonton.

"Untuk pengetahuan umum, pusat galaksi terlalu jauh dari bumi dan matahari iaitu 165 quadrilion batu, jadi kesan tarikan graviti adalah terlalu kecil, mana mungkin bumi akan bergelap," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran pameran khas sempena memperingati angkasawan Pentadbiran Aeronautika dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Neil Alden Armstrong di Planetarium Negara, di sini hari ini.

Pameran anjuran kedutaan Amerika Syarikat, Angkasa dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains), Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah Mohd Yusoff.

Yang turut hadir, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Datuk Paul W. Jones.

Dakwaan bumi akan bergelap pada 23, 24, 25 Disember ini disebarkan menerusi blog dan artikel yang berpendapat apabila bumi, matahari dan pusat galaksi selari, maka akan berlaku penumpuan daya graviti daripada bumi, matahari dan pusat galaksi sehingga boleh mengakibatkan kemusnahan alam semesta.

Mengenai pameran itu, Khatijah berkata, pameran bertemakan 'A Tribute To Neil Armstrong' tersebut dibuka secara percuma kepada orang ramai selama sebulan bermula hari ini hingga 7 Januari tahun hadapan.

Katanya, pameran itu akan menceritakan perjalanan hidup angkasawan pertama dunia itu dari zaman kanak-kanak hingga kisah bersejarahnya menjejakkan kaki di bulan melalui siri bergambar dan babak dalam kehidupannya.

"Saya berharap pameran ini akan menjadi inspirasi kepada masyarakat Malaysia terutama golongan muda yang berminat mengenai penerokaan sains angkasa dan astronomi," katanya.

Jumaat, 7 Disember 2012

Najwa, Anak Derhaka?

Setelah setahun menahan perasaan kesal dengan sikap anak-anak, bapa kepada penyanyi bintang sensasi YouTube, Abdul Latif, 51, akhirnya membuka mulut kerana mahu anaknya kembali ke pangkal jalan dan memohon maaf kepadanya sebelum dia menutup mata.

"Saya tidak teringin langsung hendak tumpang populariti atau mahukan duit mereka. Saya sendiri ada pendapatan yang kukuh. Apa yang saya inginkan ialah anak-anak datang berjumpa serta memohon maaf sebelum saya menutup mata," katanya kepada Berita Harian.

"Cukup-cukuplah menjadi anak derhaka! Saya mengaku saya seorang yang garang, tetapi demi Allah, tidaklah sehingga naik tangan. Kecuali jika tindakan mereka benar-benar mencabar kesabaran saya, barulah saya berbuat demikian.

Menurut Latif, hubungan mereka mula dingin pada 2011 selepas dia menegur sikap anak-anaknya itu kerana masalah disiplin.

Tambahnya, Najwa semakin lalai sejak berada di puncak popularitinya dan apabila tegurannya sedikit kasar, Najwa dikatakan berang dan enggan mengaku Latif sebagai bapa.

"Paling saya terkilan apabila anak langsung tidak menziarah atau bertanya khabar ketika saya hendak pergi menunaikan haji pada 20 November tahun lalu. Saya ingatkan, apabila kembali ke tanah air pada 5 Disember 2011, mereka akan menunggu saya. Luluh hati saya apabila tiada seorang pun daripada mereka menunjukkan muka," ujar Latif yang berharap anak-anaknya cepat sedar sebelum dirinya pergi buat selama-lamanya.

Sementara itu, Najwa Latif yang diminta mengulas berhubung perkara tersebut enggan memberi sebarang komen.

"Saya tak mahu beri sebarang komen kerana perkara ini melibatkan keluarga. Banyak hati perlu saya jaga. Jadi lebih baik saya diam," ujarnya.

Katanya, dia tidak mahu memperbesarkan-besarkan hal ini kerana ia melibatkan maruah keluarga dan kemelut yang dihadapi mereka tidaklah sampai membuatkannya bertindak untuk tidak mengakui Latif sebagai bapanya.

Khamis, 6 Disember 2012

Memecah Belahkan Ummah, Itulah Jasa Dan Peranan Pas

Dalam ucapan pemimpin UMNO (semasa penggulungan) juga mengajak rakyat mengenang jasa-jasa UMNO selama ini. Apakah UMNO sahaja yang berjasa?

"Semacam UMNO sahaja yang berjasa. Pas di Kelantan pun banyak jasa,” kata Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pas merangkap Menteri Besar Kelantan yang paling banyak menabur jasa air liur untuk rakyat Kelantan.

Nik Aziz yang baru sahaja sedikit sihat selepas terkena serangan jantung nampaknya tidak dapat menahan diri dari membuka mulut apabila Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak bercakap perihal jasa dan khidmat bakti UMNO dan BN kepada rakyat.

Marah benar Nik Aziz bila jasa dan bakti UMNO menjadi sebutan ramai, tambah membara kemarahannya bila sekelumit zarah pun orang ramai tak berminat memperkatakan jasa Pas untuk agama, bangsa dan negara.

Nak buat macam mana? Dulu hingga sekarang rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu Islam sudah lama tercari-cari apa bagusnya Pas berbanding UMNO, namun tak ketemui kecuali yang banyak kelihatan ialah ceramah politik sambil meminta derma dari rakyat, itu sahaja.

Hakikatnya bila dihitung jasa UMNO & BN jika dibanding dengan jasa Pas, memang jauh langit dengan bumi. Bermula dari hal-hal memperjuangkan kemerdekaan sehinggalah memartabatkan Islam, semuanya datang dari usaha UMNO.

Hatta dalam bab mengangkat imej dan maruah sukan bolasepak Kelantan pun terhasil dari daya usaha UMNO dan pemimpinnya, nak harapkan Nik Aziz dan Pas jenuhlah siang malam dihidangkan dengan ceramah politik saja, mana mahunya ada kemajuan.

Namun tak dinafikan, Pas di Kelantan pun ada juga jasanya misalnya dalam hal-hal menyemarakkan perpecahan orang Melayu Islam sama ada di kampung-kampung mahupun di bandar-bandar.

Jasa sebegini memang sudah terbukti tak dapat ditandingi UMNO, bukan sahaja kerana UMNO tidak berminat mempraktikkannya malah juga kerana hal-hal perpecahan ini sudah mutlak milik Pas.

Lahirnya Pas itu sendiri hasil dari memecah belahkan perpaduan ummah dengan keluar dari jamaah tatkala UMNO dan orang Melayu Islam sedang di saat genting memperjuangkan kemerdekaan.

Dek kerana sikap pemimpin Pas yang kemaruk mengejar kuasa dan tidak dapat menerima kekalahan di tangan Tunku Abdul Rahman sewaktu pemilihan Yang Dipertua UMNO (Presiden), akhirnya pemimpin Pas mengambil keputusan keluar dari parti dan menubuhkan Pas pada 1951.

Alasan yang berselindung disebalik perjuangan Islam digunapakai untuk melemahkan kekuatan UMNO, maka gembiralah penjajah British dengan kewujudan Pas kerana percaya dengan adanya Pas bakal melambatkan proses kemerdekaan yang dituntut oleh orang Melayu Islam.

Pemimpin Pas ketika itu tanpa mengambil kira masa depan orang Melayu Islam telah menyebarkan fahaman “apa guna negara merdeka jika sebatang jarum pun orang Melayu tidak reti buat,” dalam usaha mereka untuk memperlekehkan perjuangan kemerdekaan yang dituntut oleh UMNO.

Alhamdulillah, niat jahat British yang mengambil kesempatan dari kewujudan Pas tidak menjadi kenyataan, jika tidak sekarang ini kita mungkin masih lagi menjadi sebahagian dari jajahan British ataupun sudah termasuk dalam jajahan Melayu Raya Indonesia yang berpegang pada fahaman sekular pancasila.

Selepas negara kita merdeka Pas sepertinya tidak berpuas hati lagi, berikutan itu disebarkan pula fatwa karut politik konon sesiapa saja yang menyokong Perikatan (UMNO, MCA & MIC) hukumnya kafir, impaknya menyebabkan banyak ikatan persaudaraan antara orang Islam tergugat.

Hari ini Pas yang merupakan sebahagian dari pakatan pembangkang sibuk pula mahu menjatuhkan Kerajaan Pusat yang diterajui UMNO konon atas nama membanteras kezaliman. Walhal selama Pas bersama Pakatan Rakyat, segala kesucian Islam dan hak orang Melayu hampir ranap dikerjakan dek kerana terikut kehendak DAP.

Kalimah suci Allah s.w.t diperdagangkan untuk undi orang Kristian, akidah Islam digadai konon atas nama kebebasan agama manakala beribu ekar tanah di Kelantan pula kini diserah milik untuk kepentingan kroni terutama Cina DAP dan Cina Singapura.

Dan kini Pas melalui adik Nik Aziz yang bernama Nik Razi pula mempropagandakan doa politik meminta Allah s.w.t menghancurkan saudara seagama dalam UMNO dihancurkan sama seperti Namrud dan Firaun.
Sahihlah nawaitu kewujudan Pas atas muka bumi ini lebih membawa kepada perpecahan sesama saudara seagama bernading menyeru kepada secara hikmah ke arah kesedaran dan perpaduan sesama Islam.

Langsung tak membawa manfaat untuk kepentingan Islam mahupun umatnya. Justeru itu, diharapkan Nik Aziz usahlah terlalu marah atau berang tak ketepian bila jasa bakti Pas untuk kebaikan orang Melayu Islam amat jarang diperkatakan ramai.

Sekurang-kurangnya jasa dan trademark Pas sebagai pemecah belah ummah ramai juga orang ingat, tak begitu? - ManToba Akashah

Memang Tidak Adil

KUALA LUMPUR, 5 Dis ― Keluarga kepada Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh anggota polis dua tahun lalu tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, yang membebaskan tertuduh, Koperal Jenain Subi, 49, daripada tuduhan menyebabkan kematian remaja lelaki berumur 15 tahun pada ketika itu.

“Keputusan mahkamah tidak adil. Saya pun tengah duduk baca berita mengenai ini.

“Memang saya tengok keputusan yang diberikan ini, memang sangat tidak adil kepada pihak kami,” kata kakak kepada Aminulrasyid, Azura Amzah.

Ketika mahkamah mengumumkan keputusan pagi ini, Azura dan keluarganya tidak pergi untuk mendengar akan tetapi mengikuti perkembangan melalui internet.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebi memutuskan keputusan tersebut  selepas menerima rayuan Jenain terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada September tahun lepas.

Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Abdul Rahman juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Pada 13 Sept tahun lepas, Hakim Latifah Mohd Tahar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah melakukan kesalahan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.

Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Apabila ditanya apakah tindakan seterusnya yang akan diambil oleh pihak keluarga Aminulrasyid, sambil menangis dengan teresak-esak, Azura menjawab, “Kami akan bincang balik dengan peguam kami untuk tindakan seterusnya”.

Kes kematian Aminulrasyid, mendapat liputan meluas dan kecaman masyarakat selepas remaja itu mati terkena tembakan di kepalanya ketika dikejar anggota peronda yang sebelum itu mengarahkan beliau memberhentikan kereta Proton Iswara yang dipandunya.

Selasa, 4 Disember 2012

Drama Politik Anwar vs Musa Hassan

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan tuduhan Pakatan Rakyat (PR) terlibat dalam dua pertuduhan terhadap pemimpin Umno oleh bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Ketua pembangkang itu mengatkan hanya secara kebetulan kedua-dua pendedahan tersebut berlaku semasa Pehimpunan Agung Umno ke 66 minggu lalu dan ianya tidak ada kena mengena dengan dirinya, PKR atau PR.

“Pertuduhan tersebut adalah mengarut. Lihat fakta isu tersebut. Tan Sri Musa... adakah saya pernah berjumpa dia? Tidak.

“Ya saya ada bertemu beliau di mahkamah, sudah tentu, apabila beliau menarik saman terhadap saya. Saya bertemu beliau ketika itu. Itu saja,” kata Anwar dalam sidang akhbar disini.

Beliau menambah setakat ini Musa masih belum menyatakan minat untuk menyertai PKR, ataupun politik.

Semasa kemuncak perhimpunan agung Umno minggu lalu, Musa mengadakan sidang akhbar dimana beliau menuduh pemimpin kerajaan campurtangan dengan siasatan polis, beliau turut menamakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam pertuduhannya.

Dalam kes Deepak, penguasaha karpet itu menggemparkan negara semasa perhimpunan Umnp sedang berlangsung apabila beliau menuduh seorang pemimpin Wanita Umno Senator Datuk Raja Roopiah Abdullah menipu beliau dalam urusan pembelian tanah.

Saman ahli perniagaan itu terhadap Raja Roopiah bermula pada Khamis, hari pertama perhimpunan Umno.
Anwar menegaskan, beliau tidak berpengaruh untuk menentukan tarikh mahkmah, sambil menambah ini membuktikan beliau tidak campurtangan dalam isu Deepak.

“Apa kena mengena dengan kami? Maksud saya, dia mahu mempertahankan dirinya, membawa bukti untuk menyokong kesnya, apa kena mengena dengan saya?” tanya beliau.

Tetapi, Anwar berkata kedua-dua tuduhan cukup serius dan memerlukan jawapan daripada pemimpin yang berkenaan dalam kerajaan.

Beliau menegaskan bahawa dalam kes Deepak, terdapat dokumen-dokumen dan bukti cukup yang memerlukan penjelasan.

“Mereka tidak boleh hanya menolak ini. Jangan peduli tentang masa ... anda mungkin memilih untuk tidak bertindak balas semasa perhimpunan agung. Ini semua isu-isu kepentingan awam,” katanya.

Apabila diminta untuk bertindak balas kepada dakwaan Musa semasa perhimpunan, Hishammuddin enggan menjawab dan hanya mengatakan kesemua ini adalah percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari perhimpunan Umno.

Musa Hassan pun apa kurangnya tika jadi IGP

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Tan Sri Musa Hassan pernah menyalahgunakan kuasanya semasa memegang jawatan Ketua Polis Negara (KPN) dan bersubahat dengan Peguam Negara (AG) untuk menggugurkan satu kes jenayah melibatkan dirinya pada 2006, kata bekas rakan setugas dan pesaingnya, Datuk Ramli Yusuff.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) itu memberi respon kepada dakwaan bekas KPN dalam sidang media minggu lalu, di mana Musa menuduh Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai antara menteri dan ahli politik yang campur tangan dalam urusan polis.

“JSJK pernah menangkap seorang penjenayah bernama Goh Cheng Poh@Tengku Goh pada Disember 2006.

“Tengku Goh membuat afidavitnya dan membabitkan nama Musa Hassan. Kemudiaan, saya serahkan kepada pejabat AG, namun tidak difailkan di mahkamah menyebabkan permohonan habeas corpus oleh Tengku Goh dibenarkan dan dibebaskan,” kata Ramli kepada The Malaysian Insider apabila dihubungi.

Polis veteran bersara itu menjadi pengkritik lantang Musa dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang beliau menyalahkan kedua-duanya kerana meletakkan dirinya di kandang tertuduh atas tuduhan rasuah pada tahun 2007, di mana beberapa media arus perdana mensensasikan sebagai kes “Polis RM27 juta”.

“Sebaliknya, AG mengarahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendapatkan fail sulit berkenaan kes ini dan memburu pemberi maklumat untuk mengubah keterangan asal mereka,” kata Ramli yang pernah menjadi orang nombor tiga dalam pasukan polis.

Apabila ditanya apakah bukti untuk menyokong tuduhan itu, Ramli berkata, “Kalau apa yang saya katakan ini tidak betul, saya bersedia dikenakan tindakan undang-undang oleh Musa atau Gani. Berani kerana benar.”

Ramli turut mempertahankan pengganti Musa, Tan Sri Ismail Omar dan berharap Ismail diberikan peluang membuktikan keupayaannya.

“Persepsi buruk bermula daripada zaman Musa Hassan. Tan Sri Ismail Omar sedang berusaha memperbaiki imej tersebut,” kata Ramli merujuk kepada persepsi buruk di kalangan orang ramai terhadap pasukan polis.

“Pada saya, tidak adillah jika Musa berterusan menyerang IGP sekarang," katanya.

Ramli mendakwa kritikan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Musa dan kerajaan bukan perkara baru. Menurut Ramli, kerana bekas KPN itu sebelum ini pernah melakukan perkara sama.

“Dia mula menjadi vokal dan mengkritik kerajaan semasa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin mengumumkan dia tidak dilanjutkan perkhidmatannya,” kata Ramli yang mengganggap ia sebagai punca ketidakpuasan hati Musa.

Musa bertugas sebagai KPN selama lebih tiga tahun sebelum bersara pada 13 September 2010 selepas kes rasuah ditutup pada Julai 2007 kerana kurang bukti.

Dalam kenyataannya minggu lalu, Musa mendakwa keengganannya mengikut arahan Hishammuddin adalah antara salah satu punca beliau tidak dilanjutkan kontrak sebagai KPN.

Pasukan polis dan beberapa agensi penguatkuasaan berada di bawah portfolio Menteri Dalam Negeri.

“Apabila saya mendapati arahan yang diberikan kepada pegawai baru dan OCPD (Ketua Polis Daerah) tanpa pengetahuan saya, jadi pastinya suatu yang salah berlaku.

“Jadi saya tekankan kepadanya Sesyen 4(1) Akta Polis... arah dan kawal dalam pasukan polis adalah hak KPN, bukan seorang menteri.

“Saya beritahu dia secara baik, tapi dia tidak suka. Sebab itu (jawatan) saya tidak disambung,” dakwa Musa dalam sidang akhbar dianjurkan oleh Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), sebuah pemantau bukan kerajaan (NGO) yang mengakui mereka akan “mencabar sebarang statistik yang dikeluarkan oleh PDRM”.

NGO tersebut mendakwa mereka mempunyai statistik jenayah “sebenar” daripada pasukan polis yang dituduh mereka telah “dimanipulasi” sebelum dikeluarkan kepada orang awam.

MyWatch juga mengakui mereka memiliki bukti melibatkan pegawai atas polis dengan kumpulan bawah tanah.

Mereka merancang untuk mendedahkannya secara berperingkat, bermula minggu depan jika PDRM masih enggan bekerja dengan mereka.

Musa juga memetik Seksyen 4 (1) Akta Polis, yang menyatakan arahan polis hanya perlu datang dari KPN, yang akan bertanggungjawab terhadap arahan tersebut.

Beliau berkata bahawa arahan dan kawalan ke atas pasukan polis perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya pada KPN, sambil menambah bahawa tiada individu lain harus diberikan hak sama demi untuk semak dan imbang dalam sistem.

Beliau turut mengkritik penggantinya, Ismail sebagai seorang pegawai yang hanya mengikut perintah kepada ahli politik yang berpengaruh.