01HB JULAI 2011 BERSAMAAN 29 REJAB 1432H
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan tajuk khutbah mengenai "Memelihara Nikmat Keamanan" .
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dalam sejarah ketamadunan manusia telah menunjukkan betapa nikmat keamanan memberi sumbangan besar kepada kemakmuran dan kesejahteraan dunia. Keamanan bererti kita bebas dari segala bentuk ancaman yang menggugat keharmonian hidup.
Kita amat bersyukur bahawa negara kita berada dalam suasana aman dan damai walaupun pada ketika ini sedang menghadapai beberapa isu yang boleh mengancam keselamatan negara.
Dengan keamanan kita dapat melakukan urusan kehidupan dunia tanpa merasa takut, gerun dan dengannya juga boleh membawa banyak kebaikan serta rezeki kepada manusia dan negara. Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 112: Maksudnya: “Dan Allah memberikan satu misalan; Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan.”
Memelihara keamanan adalah suatu yang dituntut dalam kehidupan tanpa mengira anutan agama, bangsa atau keturunan. Sejarah telah membuktikan Nabi Ibrahim AS semasa meneroka pembukaan Mekah sebagai pusat ibadah dan tanah suci telah mendoakan agar Mekah dikurniakan Allah SWT dengan keamanan dan kemakmuran.
Kita juga telah menyaksikan betapa rugi dan malangnya negara-negara yang dilanda kekacauan, persengketaan dan perpecahan. Negara-negara berkenaan bukan sahaja ketinggalan dan mundur dalam aspek kemajuan dan pembangunan malah keselamatan hidup seharian pun sentiasa terancam.
Justeru itu, Agama Islam menolak gerakan-gerakan yang boleh menghuru-hara keamanan sesebuah negara termasuklah gerakan pelampau. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau, maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama.” (Riwayat Ahmad)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mutakhir ini kita dibimbangi oleh gerakan golongan pelampau yang menggelarkan diri mereka sebagai Gabungan Pilihan Bersih dan Adil. Golongan ini pada asasnya memperjuangkan kepentingan individu atau fahaman tertentu tanpa mengambil kira
sensitiviti dan kepentingan awam.
Dalam usaha mencapai matlamat perjuangan, golongan ini akan melakukan demonstrasi jalanan, perhimpunan haram, mereka berarak ke hulu-hilir, berkumpul untuk bertindak ganas, merosakkan harta awam, melanggar undang-undang negara malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan.
Apa yang paling malang lagi, golongan ini berlindung atas nama perjuangan hak asasi manusia, perjuangan politik, menggunakan media cetak dan elektronik, kemudahan internet dan meniru tindakan keganasan yang berlaku di negara asing bagi menekan dan mengugut pemerintah serta rakyat di negara ini dalam memenuhi tuntutan mereka.
Mimbar ingin menegaskan bahawa tindakan golongan pengkhainat seperti ini merupakan satu tindakan yang zalim dan haram bagi umat Islam mengikutinya kerana cara ini sebenarnya satu tindakan yang boleh mencampakkan manusia itu di dalam kebinasaan serta mendatangkan keburukan, kegelisahan dan kesusahan kepada masyarakat.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195: Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya”
Mimbar ingin menegaskan bahawa sebarang bentuk perhimpunan besar yang berasaskan protes tertentu kebiasaannya akan mencetuskan pelbagai insiden yang buruk. Tidak kurang juga akan berlaku pertembungan antara dua pihak yang bertentangan dan akan mencetuskan lebih banyak perbalahan serta konflik yang akhirnya mengakibatkan berlaku pertumpahan darah.
Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan agama, bangsa dan negara, maka kita dituntut agar tidak terlibat dalam segala bentuk perhimpunan yang boleh merosakkan agama dan keamanan negara.
Soal ancaman ini perlu di ambil perhatian oleh semua pihak kerana ia membabitkan
masalah keselamatan negara. Sekiranya perkara ini tidak dipatuhi, maka akan
hancurlah keutuhan bangsa yang boleh memusnahkan kedaulatan negara. Seorang ulama besar dalam mazhab al-Shafie, Abi Ishak al-Juwayni berkata: Haram melakukan segala perhimpunan yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada manusia dan negara.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Anugerah keamanan dan keharmonian negara mestilah dipelihara dan dipertahankan
dengan bersungguh-sungguh oleh seluruh warganegara. Islam menuntut bahawa cintakan keamanan negara sebagai tanda orang yang beriman dan bersyukur.
Segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan adalah sebahagian
daripada ibadah dan tanda jihad kita di jalan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam
Surah al-Anaam ayat 82: Maksudnya: “Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk.”
Negara Malaysia adalah tanah air kita yang perlu dipertahankan. Di sinilah tempat kita membiakkan keturunan, membesarkan generasi Islam, menyuburkan syiar Islam dan menjaga kemaslahatan ummah yang kita warisi dari zaman berzaman.
Oleh itu, sebagai seorang yang beriman marilah kita berusaha mewujudkan dan mengekalkan keamanan yang telah dikecapi selama ini. Jangan sekali-kali terjebak
dengan demonstrasi yang dikenali sebagai “Perhimpunan Bersih ini”.
Jangan kita terikut-ikut dengan rayuan mereka dan jangan termakan budi dengan golongan yang tidak menyedari asal usul, tidak memahami adat budaya, latar belakang penduduk dan agama di negara ini.
Mimbar ingin menegaskan bahawa sebarang tindakan yang boleh memporak-perandakan umat Islam dan negara akan diancam dengan hukuman yang berat oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Mana-mana kumpulan berarak menuju ke arah pemerintah untuk menghinanya, maka Allah akan menghinanya sebelum hari kiamat” (Riwayat al-
Bazzar)
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru jemaah dan seluruh umat Islam sekalian agar sama-sama kita menjaga keamanan yang dinikmat pada masa ini. Janganlah kita melibatkan diri dengan perkara-perkara yang boleh mengugat keselamatan negara kita. Ambillah iktibar apa yang telah berlaku di luar sana bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara terus berkekalan.
Marilah sama-sama kita berdoa kehadrat Allah SWT agar hidup kita ini dilindungi dari segala malapetaka yang boleh membawa kehancuran kepada rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.
Ingatlah bahawa memelihara nikmat keamanan merupakan sebahagian daripada ajaran Islam iaitu agama yang membawa kepada keamanan sejagat. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Naml ayat 89: Maksudnya: “Sesiapa yang datang dengan kebajikan maka ia akan beroleh yang lebih baik daripadanya, dan mereka akan beroleh keamanan pada hari kiamat”
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan