"Saya dan Suresh alas enam zink untuk bakar mereka, dibuang di satu sungai di ladang kelapa sawit. Saya boleh tunjuk. Di sini kami buang enam zink itu."
Itu kata-kata T. Thilaiyalagan, iaitu tertuduh kedua yang didakwa membunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi berhubung penemuan zink di sebuah sungai di Jalan Kenangan, Kampung Kelanang, Banting pada pukul 5.25 petang, 14 September tahun lalu.
Thilaiyalagan semasa di atas jambatan Sungai Kampung Endah pada 13 September tahun lalu juga berkata: "Kami buang kayu yang digunakan untuk bakar mangsa di kelapa sawit Sungai Arak."
Ketika 14 batang sisa kayu bakar ditemui di tempat pembuangan sampah Sungai Arak pada pukul 7.30 malam hari yang sama, Thilaiyalagan sekali lagi berkata: "Kayu ini digunakan bakar mereka."
Kata-kata tersebut dimaklumkan oleh pegawai soal siasat dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Cif Inspektor N. Govindan, 45, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.
Menurutnya, kata-kata tertuduh itu disebutkan kepadanya dalam bahasa Tamil.
Perkataan yang digunakan oleh pekerja ladang itu diterjemahkan secara terus oleh jurubahasa selepas Hakim Datuk Akhtar Tahir menerima permohonan peguam Manjeet Singh Dhillon agar ia disebut dalam bahasa asal.
Menurut saksi pendakwaan ke-32, beliau dan pasukannya menemu bual tiga tertuduh, Thilaiyalagan, R. Matan, R. Kathavarayan serta seorang lagi pekerja ladang, U. Suresh di bilik soal siasat lokap, Balai Polis Selayang antara pukul 12.10 tengah hari dan 4 petang, 11 September tahun lalu.
Hasil temu bual lanjut dengan Kathavarayan pada keesokan hari, beliau bersama pegawai dan anggota polis yang lain dipandu arah oleh Suresh dan Matan ke Ladang Gadong di Lot 2001, Kampung Layang, Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.
"Hasil pemeriksaan di kawasan itu, kami menemui satu penyodok tanah, serpihan tulang, sembilan kesan darah, enam kesan timbul cap jari, tujuh keratan atau potongan dawai.
"Kami turut menemui dua puntung rokok, satu kayu kriket, sampel tanah berbau petrol, satu tong cecair letupan serta sarung dan potongan kusyen yang ada kesan darah," jelas beliau.
Menurut Govindan, semasa berada di Ladang Gadong pada pukul 3 petang, 12 September tahun lalu, Kathavarayan berkata: "Abu mayat buang ke Sungai Panchau. saya boleh tunjuk tempat tersebut."
Setelah dipandu arah oleh Thilaiyalagan dan Kathavarayan dan tiba di paip besar Air Selangor Tanjung Sepat, dakwa beliau, tertuduh keempat berkata: "Ini adalah Sungai Panchau."
"Pukul 5.45 petang semasa berada di Sungai Panchau, Kathavarayan berkata: "Saya buang tiga telefon bimbit mangsa dekat kunci air berhampiran Pasar Besar Banting."
"Dengan dipandu arah oleh Kathavarayan dan Thilaiyalagan, kami dibawa ke kunci air Pasar Besar Banting dan di sana Kathavarayan berkata: ‘‘Di tempat ini, parit kunci air telefon bimbit dibuang"," katanya.
Jelas saksi, semasa temu bual di bilik pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada pukul 3 petang, 13 September 2010, Kathavarayan berkata: "Kami buang tiga jam tangan mangsa di sungai berhampiran Kampung Endah. Tempat kami boleh tunjuk."
Dengan dipandu arah oleh Kathavarayan, Thiaiyalagan dan Suresh, pasukannya tiba di jambatan Sungai Kampung Endah pada pukul 4.35 petang dan Kathavarayan berkata: "Di sini kami buang jam tangan."
Pada prosiding hari ini, saksi turut mengecam barang-barang kes yang dijumpai di semua lokasi termasuk enam keping zink yang mempunyai kesan terbakar serta sisa kebakaran yang masih melekat padanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan