Jumaat, 8 Julai 2011

PERBICARAAN KES SOSILAWATI HARI KE 5: Wati syak pemandu ambil gambar bogel

SHAH ALAM: Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya memberitahu sahabat karibnya, pemandu beliau Kamaruddin Shamsuddin atau dikenali sebagai Kamal pernah mengambil gambar beliau dalam keadaan bogel.

Saksi Pendakwaan ke-16, tukang jahit, Habishah Bahari, 43, memberitahu Mahkamah Tinggi semalam, pengakuan itu dibuat Sosilawati dalam perbualan melalui telefon pada malam 30 Ogos.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Idham Abdul Ghani, Habishah berkata beliau menerima tiga panggilan telefon daripada Sosilawati ketika beliau sedang berbuka puasa di rumah seorang rakannya.

Idham: Apa yang dimaklumkan kepada awak pada malam itu?

Habishah: Beliau beritahu saya pergi ke rumah beliau, masuk dalam bilik air, periksa ada kamera tersembunyi atau tidak.

Idham: Cuba bagi tahu ayat yang digunakan.

Habishah: Bila beliau telefon, beliau cuma cakap, “Wei. Aku tak percaya Kamal. Dia ada ambil gambar bogel aku. Kau pergi rumah aku. Masuk bilik air. Kau tengok ada kamera tertutup tak.

Idham: Adakah perkataan ‘Wei’ itu satu kebiasaan pada awak?

Habishah: Ya.

Idham: Ketika terima panggilan itu, apa reaksi awak?

Habishah: Saya jadi hairan, kenapa ayat beliau cakap Kamal ambil gambar bogel.

Idham: Kenapa?

Habishah: Sebab selama ini, tidak ada petunjuk atau petanda yang Kamal, (yang ada hubungan) pekerja dengan majikan, boleh ambil gambar bogel beliau (Sosilawati).

Beliau berkata, kira-kira jam 11 malam hari sama, beliau pergi ke rumah Sosilawati yang terletak kira-kira 10 minit daripada rumahnya, dan ketika sampai anak-anak Sosilawati serta pembantu rumahnya ada di situ.

Katanya, beliau meminta anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, memeriksa bilik air untuk mencari kamera tersembunyi yang dikatakan dan tidak masuk memeriksanya seperti yang diminta mangsa.

Kira-kira dua jam kemudian, Habishah meninggalkan rumah mangsa untuk pulang sebelum menerima panggilan telefon daripada seorang lagi anak Sosilawati, Erni Rineelawati Buhari, yang memaklumkan beliau dan kakaknya ke Shah Alam, bagi memeriksa kereta pegawai bank, Noorhisham Mohamad.

Sebelum itu, Habishah berkata, beliau berasa bimbang dan tidak sedap hati selepas menerima panggilan ketiga daripada wanita itu, pada malam 30 Ogos lalu.

Habishah yang sudah lama mengenali Sosilawati, berkata beliau berperasaan sedemikian selepas Sosilawati menggelarkan dirinya Kak Wati dalam panggilan terakhir yang diterimanya itu, sedangkan pada kebiasaan, jika tiada apa yang berlaku, rakannya itu guna perkataan ‘aku’ dan ‘kau’.

“Saya tiba-tiba jadi risau. Saya berdebar-debar dan tidak sedap hati, sebab beliau bercakap dengan nama Kak Wati dengan nada yang lembut," katanya.

Ketika ini, Habishah menangis menyebabkan Idham yang menyoalnya dalam pemeriksaan utama, memintanya bertenang dan menarik nafas serta bertanya sama ada beliau mahu berhenti sebentar.

Habishah berkata, beliau mahu berhenti sebentar dan Hakim Datuk Akhtar Tahir menghentikan seketika prosiding berkenaan bagi membolehkan saksi bertenang.
Apabila prosiding bersambung semula, Habishah menerangkan kepada mahkamah mengapa beliau risau dengan panggilan yang diterimanya.

"Kalau beliau dalam keadaan risau atau bermasalah, beliau akan cakap Kak Wati. Dalam keadaan biasa, beliau cakap aku kau. Bila beliau sebut begitu, saya rasa susah hati. Saya dapat rasa ada sesuatu yang menyebabkan beliau rasa susah hati," katanya.

Tiada ulasan: