Khamis, 28 Julai 2011

PERBICARAAN KES SOSILAWATI: 23 percanggahan dalam keterangan Suresh

SHAH ALAM 27 Julai - Pekerja ladang, U. Suresh yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan melupuskan mayat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi hari ini memberi 23 keterangan yang bercanggah di Mahkamah Tinggi di sini dengan kenyataan kepada pihak polis pada 26 Oktober tahun lalu.

Berikutan itu, Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd, Yusoff untuk mencabar kebolehpercayaan saksi pendakwaan ke-29 itu selepas mendapati percanggahan tersebut adalah penting serta material.

''Terdapat 23 percanggahan. Saya telah mendengar keterangan saksi dan melihat kenyataan saksi. Saya dapati 22 daripada percanggahan itu adalah material.

''Jadi permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi dibenarkan. Pihak pendakwaan boleh memulakan prosiding (mencabar kebolehpercayaan saksi),'' kata beliau.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Suresh semasa prosiding untuk mencabar kebolehpercayaan lelaki itu sebagai saksi pendakwaan, mengaku menurunkan tandatangan serta mengenal pasti rakaman percakapan yang diambil oleh Asisten Supritendan (ASP) Ong Seng Keong bertarikh 26 Oktober 2010.

Dia bagaimanapun tidak mengaku isi kandungan kenyataan tersebut diberikan olehnya dan mendakwa ia diambil secara paksa selain turut dipukul.

Berikutan penafian itu, Hakim Akhtar membenarkan pihak pendakwaan memulakan prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) bagi menentukan sama ada rakaman percakapan Suresh boleh diterima sebagai bahan bukti atau sebaliknya sebelum keputusan tentang kebolehpercayaan saksi dibuat.

Dalam prosiding TWT tersebut, Seng Keong sebagai pegawai penyiasat kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi memberitahu, rakaman video turut dibuat semasa kenyataan Suresh diambil bagi mengelakkan sebarang tohmahan.

Beliau yang merupakan saksi pertama TWT berkata, rakaman video itu dilakukan oleh Detektif Sarjan Abdul Hadi Ismail semasa kenyataan Suresh dirakam mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah di Penjara Sungai Udang, Melaka antara pukul 7 dan 11.30 malam, 26 Oktober 2010.

''Rakaman percakapan divideokan bagi mengelakkan sebarang tohmahan bahawa percakapan ini dibuat secara paksa.

''Selepas mengajukan soalan peribadi seperti tarikh lahir, alamat, saya terangkan kedudukan Seksyen 112 dan ia dijelaskan dalam bahasa Tamil yang mudah oleh jurubahasa, Detektif Koperal Kamarudin,'' jelasnya.

Dalam prosiding itu, Suresh yang memakai pakaian banduan dibenarkan berada di dalam mahkamah untuk mendengar keterangan saksi dengan ditemani seorang pegawai penjara.

Menurut Seng Keong, Suresh yang menganggukkan kepala dan memberitahu dia faham tentang amaran yang dibacakan telah menjawab setiap soalan yang ditanya manakala beliau menaip terus jawapan tersebut.

Beliau, Suresh dan jurubahasa kemudian menurunkan tandatangan masing-masing pada rakaman percakapan setebal 24 muka surat itu sebelum ia diserahkan kepada pengawai penyiasat, ASP Ishak Yaakob.

Semasa menjawab soalan peguam yang mewakili Suresh, A.S. Dhaliwal, Seng Keong memberitahu, dia tidak bertanya sama ada Suresh dipukul atau mengadu diancam sebelum rakaman percakapan dibuat.

Beliau juga tidak mengetahui tentang urusan keluar masuk serta rakaman percakapan daripada Suresh dengan pihak penjara kerana ia diuruskan oleh pegawai penyiasat kes.

Perbicaraan yang masuk hari ke-12 bersambung Jumaat ini.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran