Khamis, 7 Julai 2011

PERBICARAAN KES SOSILAWATI HARI KE 4: Anak sulung Sosilawati nyaris jadi mangsa

Oleh SALWA SHA'ARI

SHAH ALAM: Anak sulung jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya nyaris mengalami nasib yang sama seperti ibunya sekiranya beliau menuruti permintaan pengasas produk kecantikan, Nouvelles Vissages tersebut untuk turut sama ke Banting, dekat sini, tahun lalu.

Anak Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, berkata, ibunya telah mengajak dia ke Banting pada kira-kira pukul 3 petang, 30 Ogos 2010 ekoran pemandu peribadi ibunya, Kamaruddin Shamsuddin masuk lewat ke pejabat syarikat yang terletak di Kampung Baru, dekat sini pada hari kejadian.

"Ibu saya kata kalau Kamal tidak datang ke pejabat, saya kena ikut dia ke Banting. Tetapi Uncle Kamal (nama panggilan Kamaruddin) tiba di pejabat pada pukul 4 petang.

"Mereka keluar daripada pejabat sekitar pukul 4 petang dan ibu dalam keadaan mahu cepat kerana mahu berbuka puasa di Banting dan takut tidak sempat," kata Erni Dekritawati Yuliana atau lebih dikenali sebagai Rita.

Beliau yang disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, juga memberitahu itu merupakan kali terakhir beliau berjumpa dengan Sosilawati yang bertolak ke Banting bersama Kamal dengan menaiki kereta mewah BMW X5 bernombor pendaftaran WTL 11.

Turut sama ke Banting ialah pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad yang menaiki kereta BMW milik peguam syarikat Nouvelles Beauty Centre Sdn Bhd, Ahmad Kamil Abdul Karim.

Kamal, 44, Abdul Karim, 32, dan Noorhisham, 38, turut dibunuh bersama Sosilawati, 47.

Selain itu, Rita yang memberi keterangan selaku saksi pendakwaan ke-15 juga memberitahu, beliau dimaklumkan oleh ibunya bahawa tujuan mereka ke Banting adalah untuk berjumpa dengan seorang peguam bernama "Pathma'.

"Ibu saya mahu berjumpa dengan peguam kerana mahu mempercepatkan tarikh cek untuk digunakan bagi membayar bonus hari raya pekerja syarikat dan juga untuk diberikan kepada adik-beradik ibu," katanya.

Tambah beliau, pada sekitar pukul 7 malam, Ahmad Kamil telah menghubungi telefon bimbitnya dan mereka berbual-bual mengenai tempat untuk berbuka puasa.

"Saya tanya mereka buka puasa di mana dan Ahmad Kamil jawab 'Ntah, hutan mana tah mak kau bawa ni... Banyak kelapa sawit aje'. Bila saya tanya ibu saya di mana, dia jawab ada dalam kereta di depan mengetuai perjalanan," katanya.

Mengimbau kejadian tersebut Rita berkata, beliau hanya menyedari bahawa Sosilawati ada menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) ke telefon bimbitnya selepas beberapa panggilan tidak dijawab.

SMS itu berbunyi 'Jangan bagi Kamal masuk rumah. Dia tangkap gambar mak. Kalau ada apa-apa, hubungi Bisah (rakan baik Sosilawati, Habishah Bahari).

Rita yang merupakan Pengarah Beauty Nouvelles Beauty Centre Sdn Bhd juga memberitahu, beliau telah berulang kali mencuba untuk menghubungi telefon bimbit Sosilawati, Kamal, Ahmad Kamil dan Noorhisham tetapi panggilannya terus masuk ke peti suara. Beliau juga turut menghubungi Bisah untuk menceritakan tentang SMS yang diterimanya.

"Aunty Bisah kata tidak mungkin Uncle Kamal akan buat macam itu. Saya sendiri tidak percaya Uncle Kamal buat sebab ibu saya dan Uncle Kamal tidak pernah bergaduh sampai begitu sekali.

"Saya rasa syak wasangka, Saya rasa betul ke? Bisah suruh saya periksa bilik dan saya pergi tapi tiada apa-apa. Saya tidak percaya," katanya.

Mengimbas kejadian yang berlaku pada saat umat Islam sedang sibuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri, saksi menambah, beliau menunggu Sosilawati untuk pulang ke rumah kerana telah berjanji akan berbuat demikian memandangkan adik-beradiknya akan tiba dari Johor pada malam itu.

"Bila ibu saya tidak pulang, saya mula rasa risau. Saya terus ke Shah Alam untuk mencari kereta Noorhisham yang diletakkan di Seksyen 7, Shah Alam dan yakin mereka tidak pulang ke rumah apabila berjumpa dengan kereta Proton Perdana warna hitam milik Noorhisham," katanya.

Wanita berkulit cerah itu kemudiannya memberitahu, beliau sekali lagi ke Shah Alam untuk mencari kereta Noorhisham pada 31 Ogos 2010 dan mula berasa tidak sedap hati dan tertanya-tanya apa yang berlaku selepas melihat kereta itu masih berada di tempat yang sama.

Apabila pulang ke rumah, beliau berbincang dengan seorang adik lelakinya tetapi tidak membuat laporan polis kerana tempoh masa kehilangan Sosilawati masih belum mencukupi 24 jam.

"Saya dah agak gabra (gelisah) kerana tidak berjumpa mak. Saya tak ada kekuatan untuk membuat laporan polis dan memikirkan ada adik-adik yang masih kecil di rumah.

"Saya suruh adik saya, Erni Erinawati Sofia (saksi pendakwaan ke-11) untuk pergi ke balai polis bersama bapa saudara saya dan membuat laporan," katanya.

Tambah Rita, beliau dan ayah kandungnya, Buhari Mohamed juga ada menuju ke Banting pada waktu siang 31 Ogos 2010 untuk mencari 'Pathma' tetapi tidak berjaya.

Erni sedang memberi keterangan terhadap peguam, N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, 20; R. Matan, 21, dan R. Khatavarayan, 31, yang didakwa membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Noorhisham pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting dan jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh dihukum mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding Rabu, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Akhtar Tahir, pihak pendakwaan dan barisan pembelaan memeriksa kereta yang dinaiki oleh Sosilawati pada hari kejadian yang diparkirkan di perkarangan lobi mahkamah.

Selepas selesai memeriksa kereta terbabit pada pukul 4.20 petang, Akhtar membenarkan permohonan Ishak agar kereta itu dikembalikan kepada Rita, dengan syarat tidak dibenarkan sebarang pengubahsuaian dilakukan dan perlu dibawa sekiranya diperlukan.

Perbicaraan akan bersambung pada Khamis.

Tiada ulasan: