Anak tak percaya SMS dihantar Sosilawati
SHAH ALAM 6 Julai - Anak sulung jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya hari ini memberitahu bahawa beliau tidak mempercayai isi kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh ibunya ketika wanita itu dikatakan dibunuh bersama tiga lagi mangsa pada 30 Ogos tahun lalu.
Saksi Pendakwaan ke-15, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, berkata, dia juga merasa pelik dan mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila dimaklumkan bahawa Kamaruddin Shamsuddin (Kamal) telah mengambil gambar ibunya secara curi-curi.
Lebih-lebih lagi, apabila dia tidak menjumpai sebarang kamera yang dikatakan dipasang oleh pembantu peribadi Sosilawati itu bagi tujuan merakam gambar yang tidak senonoh selepas memeriksa bilik tidur ibunya.
"Selepas berbuka puasa, ibu ada telefon tetapi saya tidak sedar dan tidak jawab sebab telefon bimbit di dalam beg tangan. Kemudian saya juga dapati ada SMS daripada ibu pada pukul 8.40 malam berbunyi: "Jangan bagi Kamal masuk rumah. Dia tangkap gambar mak. Kalau ada apa-apa hubungi Bishah."
"Saya hubungi Aunty Bishah (Habishah Bahari) untuk tanya adakah dia tahu tentang SMS yang saya terima. Masa itu Aunty Bishah kata tidak mungkin Kamal buat macam itu. Saya sendiri pun tidak percaya Kamal buat macam itu.
"Saya merasa pelik sebab tidak pernah ibu dan Kamal bergaduh sampai begitu sekali," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.
Menurut Erni, beliau bukan hanya menghubungi telefon bimbit Sosilawati tetapi juga telefon bimbit Kamal, Ahmad Kamil dan Noorhisham selepas panggilan kepada ibunya yang dibuat antara pukul 10 dan 11 malam masuk ke dalam peti pesanan suara.
Katanya, apabila kesemua panggilan tidak berjawab, dia pergi ke Shah Alam dan menjumpai kereta Proton Perdana hitam milik Noorhisham yang ditinggalkan di satu kawasan baru di Seksyen 7 di sini, pada malam yang sama.
"Saya datang lagi keesokan hari dan nampak kereta Noorhisham masih ada di situ. Masa itu saya yakin keempat-empat mereka masih belum balik.
"Saya masih menunggu tetapi saya rasa tidak sedap hati dan terfikir apa yang sebenarnya berlaku kepada mereka. Saya berbincang dengan adik-adik tetapi disebabkan belum cukup 24 jam, kami tidak boleh buat apa-apa dan hanya menunggu di rumah," jelas beliau.
Erni yang merupakan pengarah syarikat milik Sosilawati, Novoulles Visages Beauty Centre Sdn. Bhd. juga memberitahu, dia bersama bapa, Buhari Mohamed serta lima adiknya pergi ke Banting untuk mencari firma guaman Pathmanabhan pada hari yang sama.
Bagaimanapun, katanya usaha sehari suntuk bagi mencari peguam yang dikatakan ditemui Sosilawati pada hari kejadian tidak berjaya.
Terdahulu, saksi memberitahu Sosilawati memakai blaus dan seluar panjang serta memandu keretanya sendiri ke pejabat di Lorong Haji Hussein 1, Melalui Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur pada pukul 12 tengah hari, 30 Ogos tahun lalu.
Katanya, Sosilawati memberitahu beliau akan ke Banting untuk berjumpa seorang peguam bernama Pathma bagi mempercepatkan tarikh cek bagi membolehkan wang itu digunakan untuk memberi bonus hari raya kepada kakitangan serta hadiah untuk adik-beradik.
Menurut Erni, Sosilawati juga menyuruh dia mengikutnya ke sana pada petang itu sekiranya Kamal yang ketika itu mempunyai urusan peribadi tidak dapat datang bekerja pada hari tersebut.
Bagaimanapun, jelasnya, Kamal tiba di pejabat pada pukul 4 petang dan mereka berdua terus bertolak ke Banting.
Ketika hendak meninggalkan pejabat untuk keluar berbuka puasa pada pukul 7 malam, Erni memberitahu dia menerima panggilan daripada Ahmad Kamil.
Katanya, dia juga sempat berbual dengan Noorhisham yang ada bersama-sama Ahmad Kamil serta dimaklumkan tentang kereta pegawai bank itu yang ditinggalkan di Shah Alam.
"Saya bertanya mereka berbuka di mana, Kamil kata: "Entah mak kau bawak pergi hutan mana tah, pokok kelapa sawit je."
"Saya tanya mak ada di mana? Kamil kata ada di hadapan keretanya. Mak saya yang tunjuk jalan pada ketika itu," katanya lagi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ketiga bersambung esok.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan