SHAH ALAM 27 Julai – Pada petang 29 Ogos tahun lalu, bekas peguam N. Pathmanabhan dikatakan telah membuat perancangan untuk membunuh seseorang dengan memberi arahan kepada pekerja-pekerja ladangnya untuk ‘ajar’ atau ‘habiskan’ dua orang yang akan datang ke Ladang Gadong keesokan harinya.
Kira-kira pukul 7 petang, 30 Ogos 2010, peguam itu dikatakan telah tiba di ladang berkenaan dengan sebuah kereta BMW X5 yang turut dinaiki seorang wanita Melayu dan pemandunya yang juga seorang Melayu diikuti oleh dua lelaki Melayu menaiki BMW Salon.
Apabila semuanya turun dari kenderaan, Pathmanabhan dikatakan telah mengatakan ‘habiskan’ yang bermaksud ajar dan bunuh berulang kali dalam bahasa Tamil dan ekoran daripada ‘arahan’ tersebut, pekerja bekas peguam itu yang bernama Ravi telah memegang pemandu BMW X5, T. Thilaiyalagan memegang wanita tersebut manakala K. Sarawanan dan U. Suresh (gambar) memegang dua lagi lelaki.
Dan apabila wanita Melayu itu enggan menelefon keluarganya, tertuduh pertama itu dikatakan telah menyuruh Suresh dan rakan-rakannya untuk menakut-nakutkan wanita itu dengan memukul pemandu kereta mewah berkenaan.
Melihat pemandu itu yang dikatakan telah dipukul dengan kayu di paha dan tangan, wanita itu dan dua lagi lelaki mula menelefon keluarga masing-masing akibat ketakutan.
‘Insiden’ ngeri tersebut merupakan antara cadangan-cadangan yang diberikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff dan Saiful Edris Zainuddin sewaktu menyoal balas saksi mereka sendiri, Suresh, 27.
Suresh yang kini sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka bagaimanapun menafikan semua perkara itu termasuk cadangan bahawa dia mengenali Pathmanabhan yang dikatakan majikannya.
Penafian demi penafian yang dibuat oleh saksi pendakwa ke-29 itu telah menyebabkan, Ishak mengemukakan permohonan untuk mencabar kebolehpercayaan keterangan Suresh.
Sepanjang membuat penafian ini, lelaki itu tidak langsung mengangkat mukanya untuk melihat ke arah pendakwaan, malah ketika diminta mengecam kayu kriket, Suresh hanya memandang bahan itu untuk seketika dan tidak langsung menyentuhnya walaupun telah diminta berbuat demikian oleh Ishak.
Dia bagaimanapun, dalam keadaan duduk dengan sebelah tangan diletakkan di atas penyandar belakang kerusi saksi dilihat sempat ‘main mata’ dan tersenyum ke arah rakan-rakannya terutama R. Matan yang berada di kandang tertuduh sewaktu mahkamah berhenti rehat seketika.
Suresh dipenjara selepas Mahkamah Tinggi di sini meminda hukuman tujuh tahun yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Majistret Telok Datuk dekat sini selepas mengaku bersalah membuang abu mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47; dan tiga rakannya.
Hakim Datuk Akhtar Tahir sebelum itu membenarkan Suresh disoal balas oleh pihak pendakwaan setelah berpendapat bahawa walaupun Suresh tidak boleh dianggap berpaling tadah tetapi dia tidak membantu pihak pendakwaan.
Dalam keterangannya, Suresh terus menafikan, tidak bersetuju atau tidak ingat terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Saiful Edris antaranya, telah diarahkan oleh Pathmanabhan agar meletakkan kenderaan BMW X5 di tempat jauh, buang kuncinya dan jangan tinggal sebarang cap jari.
Dia juga menafikan bahawa Thilaiyalagan dan Matan ada menyuruhnya menyerahkan baju yang dipakai pada malam kejadian sebelum membuang pakaian itu ke tempat pembakaran selepas pulang dari meninggalkan kereta mewah terbabit serta memintanya mandi air kunyit.
Bagi ‘insiden’ yang dikatakan berlaku pada pagi 31 Ogos 2010, Suresh tidak bersetuju ada melihat Thilaiyalagan dan Matan sedang mengutip abu dan memasukkan ke dalam satu tong berwarna biru sebelum menaikkan tong itu ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max.
Sebelum membuang abu tersebut ke dalam Sungai Panchau dekat sini, Thilaiyalagan dan Matan dikatakan ada memberitahu Suresh bahawa di dalam tong biru tersebut ada abu mayat seorang perempuan dan tiga lelaki yang mana cadangan ini juga turut dinafikan oleh saksi itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan