Khamis, 24 Disember 2015

Azmin mengaku rapat dengan Tun M

Post Pic
 
Penyokong PKR  dilaporkan tidak senang duduk dengan pengakuan timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengaku mempunyai hubungan istimewa dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Memetik laporan The Malaysian Insider, Azmin ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena majlis perkahwinan anak perempuannya berkata beliau mempunyai hubungan yang sangat istimewa dengan Mahathir.
 
"Saya dan Tun (Dr Mahathir) mempunyai hubungan yang sangat istimewa.
"Semasa saya kahwin dahulu, Tun datang. Sekarang ketika anak saya kahwin, Tun juga datang.
 
"Pendek kata, hubungan kami sangat erat umpama air dicincang tidak akan putus," kata Azmin pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), 13 Disember lalu.
 
Selain Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, majlis itu juga diserikan dengan kehadiran Sultan Selangor dan Sultan Perak.
 
Kenyataan Azmin itu mengguris hati penyokong tegar PKR, lapor portal berita The Malaysian Insider, kerana bagi mereka, Mahathir sebelum ini bertindak zalim ke atas ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Mahathir juga dituduh antara dalang disebalik usaha menjatuhkan karier politik Anwar hingga menyaksikan bekas ketua pembangkang itu di penjarakan buat kali pertama pada 1999.
    
Bagi penyokong tegar Anwar, kenyataan Azmin itu dianggap sebagai satu tamparan, lebih-lebih lagi ketika bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sekali lagi menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
 
Namun, bagi Naib Pengerusi institut Darul Ehsan (IDE), Profesor Datuk Dr Redzuan Othman, kenyataan Azmin itu tidak langsung menjejaskan hubungannya dengan Anwar.
 
Malah beliau mempertahankan tindakan Azmin kerana Ahli Parlimen Gombak itu hanya memainkan peranannya sebagai tuan rumah.
 
Beliau juga menegaskan, Azmin konsisten mahu membebaskan Anwar daripada penjara, meskipun beliau antara individu yang dilarang melawat ketuanya itu di penjara.
 
"Saya yakin segala tindakan Azmin sekarang mendapat 'blessing' (restu) dari Anwar," kata Profesor Datuk Dr Redzuan Othman, naib pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), badan penyelidik yang ditubuhkan kerajaan negeri pimpinan Azmin.
 
"Hasrat Anwar hanya satu sahaja sekarang, iaitu mahu bebas dari penjara. Dan itulah juga yang dibuat Azmin. Yang lain tidak penting," katanya yang juga rakan rapat Anwar.

Tiada ulasan: