Bernama mengadakan wawancara eksklusif dengan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 yang bermula Selasa.
Bernama: Menjelang perhimpunan yang akan bermula esok dengan persidangan sayap, ke arah mana yang hendak dijuruskan perbincangan atau ucapan semasa perhimpunan kali ini. Bagaimana dengan tindakan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berucap di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi. Mungkin ada mesej tertentu yang Datuk Seri dan kepimpinan parti mahu sampaikan pada perhimpunan ini?
Ahmad Zahid: Keutamaan kita adalah ke arah perpaduan. Tidak perlu ada persidangan dalam persidangan dan pada hemat saya, perbezaan pendapat perlu ikhlas untuk memperkukuhkan parti. Sebagai parti yang dinamik, permasalahan harus diatasi dan setiap era kepimpinan pasti ada masalah, sama ada ia besar atau kecil ia mesti diselesaikan. Apatah lagi permasalahan itu wujud dalam intra parti, ertinya wujud kerana kepimpinan itu menyatakan perbezaan kerana tidak berasaskan kepada prinsip parti tetapi kepada persoalan self-centred. Dalam hal inilah pejuang-pejuang terdahulu menyatakan apa jua yang berlaku dalam gelombang, sebesar mana krisis yang harus dihadapi, parti mesti dan wajib diperkukuhkan. Dan, sebagaimana biasa isu-isu untuk ucapan dasar presiden usul ekonomi, agama dan pendidikan akan menjadi beberapa mauduk (topik) yang dilontarkan oleh jurucakap. Namun kita tentu tidak dapat menghalang jika ada aspek lain yang menyentuh bukan sahaja mengenai orang Melayu dan Islam tetapi kemajmukan sebagai negara yang ditentukan oleh Sunnatullah. Seharusnya dikekalkan soal keharmonian dan toleransi dalam kepelbagaian. Dan, pada hemat saya, biarpun pandangan dan persepsi berbeza di luar sana, saya harap suhu yang ada di dalam dewan adalah lebih sejuk daripada suhu politik yang berada di luar dewan.
Bernama: Akhir-akhir ini ada suara-suara yang mempersoalkan kepimpinan tertinggi termasuklah timbalan presiden parti sendiri, bagaimana UMNO menangani masalah ini?
Ahmad Zahid: Punca serta kunci kepada penyelesaian permasalahan adalah bagaimana perpaduan itu dapat diperkasakan semula. Pada 1987 terdapat perbezaan antara presiden dan timbalan presiden yang hingga menyebabkan parti benar-benar terpecah dua. Bukan sekadar itu, ada cabaran-cabaran yang berlaku bila institusi kepimpinan utama itu dicabar dan perbezaan sokongan daripada perwakilan adalah 44 undi. Dalam keadaan ini, saya harapkan ia tidak akan berlaku begitu kerana pemimpin datang dan pergi, hakikatnya adalah apabila kita menjadi pemimpin, kita tentulah mengharapkan semua pihak memberi dukungan dan sokongan kepada kita. Apabila kita berada di kerusi kuasa, maka kita harus bersama-sama kepimpinan yang ada walaupun kita berbeza pendapat demi untuk memperkukuhkan parti.
Bernama: Jika ada dalam kalangan perwakilan mempersoalkan kepimpinan tertinggi parti, adakah ia dianggap sebagai satu ancaman kepada UMNO?
Ahmad Zahid: Ia lebih hebat pada 1998 di mana ketika itu sekali lagi UMNO ternampak seolah-olah terbelah kepada dua kumpulan tetapi oleh kerana (kami mendengar) menentukan bahawa apabila ada arahan daripada kepimpinan utama maka apa yang dikatakan perpecahan itu tidak berlaku. Pemulihan itu harus datang dari dalam. Kalau kita mahu melayan persepsi dari luar yang tidak pernah menganggotai UMNO ataupun yang menjadi musuh politik kepada UMNO dan tidak mahu melihat UMNO itu kukuh, maka kita tidak harus melayani perbezaan pendapat di luar sana. Kerana mereka memang mahu melihat UMNO itu lemah dan retak dan kemudiannya belah kerana itulah kesempatan yang paling baik untuk mereka mengambil alih peranan UMNO sebagai tulang belakang kepada kerajaan yang ada sekarang ini melalui komposisi campuran parti pelbagai kaum.
Bernama: Tan Sri Muhyiddin Yassin kini dilihat menentang orang nombor satu iaitu Presiden. Mengapa tiada tindakan diambil di peringkat Majlis Tertinggi atau pucuk kepimpinan menunggu perhimpunan ini untuk membuat keputusan?
Ahmad Zahid: Itulah wisdom (kebijaksanaan) yang ada pada Datuk Seri Najib Tun Razak. Dalam situasi itu, jangan ada cabaran seolah-olah tindakan sengaja diperlambatkan kerana ia akan menyebabkan masalah dalam perhimpunan tetapi kita harus melihat penyelesaian bukan untuk jangka pendek sahaja. Ini dapat diselesaikan dengan memperlihatkan ketelusan dan dalam pengurusan isu tidak ada agenda yang disembunyikan. Rakyat semakin celik dan mereka mahu tahu kedudukan perkara sebenarnya.
Bernama: Ada veteran UMNO mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO sudah menjadi parti diktator dan bersifat diktator, seolah-olah tiada demokrasi dalam parti?
Ahmad Zahid: Pada hemat saya, seliberal mana pun pendekatan dilakukan, itu kita harus tanya kepada kawan kalau mahu bertanya sesuatu yang baik. Kalau bertanya kepada musuh, sebaik mana sesuatu yang dilakukan, itu tetap tidak baik pada pandangan musuh. Kalau kita konsisten bila melakukan tindakan, apapun tanggapan yang ada di luar sana, dan dalaman akhirnya mereka akan melihat bottom line (pada dasarnya), bagaimana sesuatu isu itu diselesaikan, bagaimana prestasi sebenar. Namun serangan daripada luar dan dalam pasti ada.
Bernama: UMNO adalah tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN), bagaimana peranan ini diteruskan terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)?
Ahmad Zahid: Usaha-usaha pengukuhan sedang dilakukan oleh kepimpinan parti. Saya sendiri bersama ahli-ahli Majlis Tertinggi pergi ke negeri-negeri bukan hanya melakukan penjelasan isu yang timbul tetapi juga mengutip maklum balas dalam hal kekangan-kekangan dihadapi ahli UMNO. Hanya dua negeri saya belum pergi - Johor dan Sabah. Saya akan pergi lepas PAU. Kita jangan lihat hanya pilihan raya umum tetapi melihat apabila perayaan kemerdekaan ke-100 tahun pada 2057 adakah UMNO masih relevan dan adakah orang Melayu masih memberi sokongan, adakah rakyat Malaysia memberikan kepercayaan kepada UMNO dan BN. Langkah jangka panjang perlu dilakukan, kerelevanan UMNO untuk menangani sesuatu isu dan memenuhi cita rasa rakyat.
Bernama: Adakah Tan Sri Muhyiddin dilihat sebagai ancaman kepada UMNO sehinggakan tidak dibenarkan berucap?
Ahmad Zahid: UMNO membenarkan ucapan perasmian (Timbalan Presiden) sejak kira-kira 30 tahun. Tiada dalam perlembagaan dan peraturan, hanya kelaziman. Dalam keadaan itu, tak harus dianggap kita mahu lakukan sekatan.
Bernama: Bukankah tindakan Tan Sri Muhyiddin dilihat memprovokasi, cross the line (melampaui batas), bukankah itu sudah mencukupi untuk UMNO sendiri dan Majlis Tertinggi (MT) mengambil tindakan disiplin, perlukah kita tunggu sehingga perhimpunan berlangsung?
Ahmad Zahid: Untuk beliau dan penyokong-penyokong beliau mungkin itu tidak dianggap cross the line, tetapi tentunya interpretasi ini pelbagai. Tetapi jika benar cross the line telah dilakukan, maka atas kebijaksanaan kepimpinan untuk tentukan tindakan yang akan dilakukan. Kalau kita masih mahu mendukung sesiapa yang melakukan tindakan cross the line supaya ia dikekalkan, maka tunggulah ketikanya akan berlaku kebobrokan (keburukan) dalam kepimpinan dan ini akan menyebabkan kesukaran mana-mana organisasi.
Bernama: Nampak seolah-olah MT amat sukar untuk mengambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin, adakah kemungkinan pemimpin UMNO untuk menyerahkan kepada perhimpunan kali ini untuk buat usul untuk ambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin?
Ahmad Zahid: Usul harus diberikan notis tapi kita tidak dapat menghalang jika ada di kalangan jurucakap yang menyarankan hal yang sedemikian. Tentunya sebagai sebuah parti yang dinamik, suara akar umbi akan didengar. Tindakan yang akan diambil jangan dipersalahkan kepada kepimpinan jika ianya berlaku.
Bernama: Sekarang Datuk Seri sebagai orang nombor dua (dalam kerajaan), dilihat banyak beban (digalas) dalam negara dan UMNO. Bagaimana Datuk Seri melihat peranan Datuk Seri bagi membantu presiden?
Ahmad Zahid: Sama ada peraturan yang tertulis atau peraturan tersirat, tugas orang nombor dua adalah membantu tugas orang nombor satu. Saya akan melakukan tugas sebaik mungkin dan tidak akan pernah melebihi tugas yang sepatutnya diberikan kepada saya. Begitu juga dalam parti, saya adalah merupakan salah seorang orang nombor tiga dalam hierarki parti, maka saya harus sedar diri bahawa saya hanya orang nombor tiga dalam parti, dan saya harus bersama-sama dengan rakan-rakan saya yang lain bukan sahaja untuk memperkukuhkan parti tetapi mempertahankan institusi kepimpinan agar terus mantap demi memperkasakan sokongan rakyat kepada UMNO yang masih menjadi harapan supaya dapat diterjemahkan agar agenda Melayu dan Islam direalisasikan pelaksanaannya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan