Beliau berkata, perkara itu telah pun disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah menemui penderma dana itu.

“Saya tidak melakukan sesuatu kesalahan dari segi undang-undang atau pun dari segi amalan, perkara ini telah pun dijelaskan dalam dewan Parlimen oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).
“Penderma-penderma telah pun disahkan dan telah pun ditemui oleh SPRM dan SPRM telah pun mendapatkan kenyataan-kenyataan daripada mereka,” kata Najib dalam temubual bersama stesen televisyen TV3.

Temubual itu dikendalikan Editor Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Bhd, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah; Editor Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd, Media Prima Bhd Datuk Abdul Jalil Hamid; dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Video temubual itu turut dimuatnaik ke laman web www.newsplus.my/live-tv.

Ditanya mengapa dana itu dimasukkan ke akaun peribadinya, Perdana Menteri menjelaskan, ia adalah kehendak penderma itu sendiri dan derma itu dilakukan secara peribadi.

Beliau berkata, sewaktu akaun itu diwujudkan Bank Negara telah dimaklumkan.

“Jadi, tidak ada niat sama sekali untuk menipu atau untuk melakukan sesuatu perkara, sebab Bank Negara telah pun dimaklumkan tentang kewujudan akaun ini.

“Tapi jangan salah ertikan, akaun itu atas nama saya, tetapi tidaklah ibarat macam akaun peribadi kita sendiri. Dan saya yakin bahawa setelah siasatan berjalan sepenuhnya, bahawa kebenaran akan timbul pada kesudahannya,” katanya.

SPRM hari ini mengesahkan, pihaknya telah menghantar pegawai ke Timur Tengah untuk mengadakan pertemuan dengan penderma dana RM2.6 bilion.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya akan mengemukakan laporan kepada Peguam Negara, sebaik sahaja siasatan selesai.

Katanya, SPRM tidak boleh mendedahkan hasil pertemuan itu, kerana siasatan masih berjalan.

Beliau berkata, suruhanjaya itu akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai perkara itu dari semasa ke semasa.