Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar
UMNO memerlukan lebih ramai pemimpin dan
anggota berjiwa besar yang mampu melonjak parti ke arah masa depan lebih
gemilang orang Melayu selain mampu menyumbang kepada daya tahan parti
dalam pentas politik tanah air, demikian menurut penganalisis dan
pemerhati politik negara.
Tegas mereka, berjiwa besar untuk membuka pintu silaturrahim kepada
semua yang berbeza pendapat supaya dapat kembali bersatu dan mengukuhkan
ikatan UMNO bukan hanya menjadi tanggungjawab pemimpin, bahkan anggota
parti di setiap peringkat.
Begitulah salam perdamaian yang dihulurkan Presiden Umno Datuk Seri
Najib Razak kepada timbalan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin,
yang semakin renggang daripadanya dan jemaah UMNO, sangat bermakna dalam
usaha mengukuhkan ikatan UMNO.
Menurut pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia
(UPM) Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain, apa yang berlaku pada hari
terakhir Perhimpunan Agung Umno ke-69 pada Sabtu lepas itu seharusnya
dicontohi oleh semua pemimpin termasuk di peringkat akar umbi.
PENTING UNTUK UMNO
Ini penting agar persiapan UMNO untuk menghadapi PRU14 tidak terjejas kerana perselisihan hanya akan merugikan parti.
"Dalam lanskap politik semasa yang rumit ketika ini, UMNO mahu atau
tidak, mesti memperkukuhkan kedudukannya dalam arus politik tanah air
dengan memperkemaskan saf kepimpinannya serta menggandakan usaha meraih
sokongan rakyat.
"Saya melihat kewibawaan Presiden UMNO menyerlah untuk menyelesaikan
perkara berbangkit dan berjaya menyatukan bukan sekadar ahli, tetapi
juga di kalangan pemimpin UMNO," katanya kepada Bernama di sini.
Mengimbas kembali, hari terakhir perhimpunan tahunan itu pasti terpahat
dalam lipatan sejarah parti terbesar orang Melayu apabila Najib
menghulurkan salam perdamaian kepada Muhyiddin, demi perpaduan dan
kelangsungan parti.
Ketika salam dihulurkan kepada Muhyiddin, dan disambut bekas timbalan
perdana menteri itu, perasaan akar umbi yang hadir di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC) selama tiga hari bermula 10 Dis lepas bercampur baur,
ada yang berpelukan, ada yang berteriak, ada yang menangis syukur
kerana kedua-dua pemimpin 'bertaut kembali' seperti yang diharapkan
anggota parti.
Suasana dalam Dewan Merdeka pula gamat dengan sorakan dan tepukan
gemuruh 2,654 perwakilan yang mahu kedua-dua pemimpin melupakan
perbalahan dan merapatkan saf untuk mara ke hadapan demi menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Apa yang dipinta Najib ialah kesetiaan tidak berbelah bahagi anggota parti terhadap kepimpinannya dan juga kepada UMNO.
Justeru, Najib membuktikan bahawa dirinya adalah seorang yang budiman
dan pemimpin berjiwa besar, bahkan tidak menyerah kalah serta
mengkhianati UMNO.
KETERBUKAAN NAJIB HARUS DISAHUT, DICONTOHI
Najib mempamerkan sikap berjiwa besar ketika ucapan perasmian
Perhimpunan Agung UMNO pada Khamis dan mengulanginya ketika ucapan
penggulungan di akhir perhimpunan itu.
"Saya Najib Razak sebagai Presiden UMNO memilih untuk berjiwa besar
membuka pintu silaturahim kepada semua supaya kita dapat bersatu dan
kembali mengukuhkan ikatan UMNO," katanya.
Keterbukaan Najib itu memberi mesej jelas kepada perwakilan dan akar
umbi bahawa beliau lebih suka memilih untuk bersikap budiman dan tidak
mahu berkonfrontasi dan bersedia duduk berbincang menyelesaikan
kekusutan melalui saluran yang betul.
Mohd Izani berkata tindakan Najib membuktikan bahawa amalan demokrasi
dalam UMNO masih belum berkubur seperti yang pernah didakwa sesetengah
pihak sebelum ini.
"Hentikanlah segala perbalahan kerana ia tidak menguntungkan. Satu hal
penting juga ialah tanggungjawab bersama di mana barisan kepimpinan
mempunyai satu suara dan tidak terikut-ikut rentak pihak lain yang
berkepentingan," katanya.
KETEPIKAN EGO
Ketua Wanita UMNO Bahagian Paya Besar Datuk Seri Dr Siti Zaharah
Sulaiman berkata penyatuan yang sebenar hanya boleh berlaku seandainya
setiap pemimpin ikhlas dan berjiwa besar selain boleh mengetepikan ego
masing-masing demi kelangsungan UMNO.
"Perwakilan berasa amat lega kerana suasana itu (kekusutan) dalam
kawalan. Jadi sebagai satu institusi politik yang sudah wujud lama, kita
mesti tunjukkan kematangan kita dan juga tanggungjawab untuk
mempertahankan UMNO.
"Apa yang presiden lakukan (menghulurkan salam pendamaian) adalah demi
menjaga asas parti dan saya rasa itu tindakan yang bijak kerana bila
rumah kita tak bergegar lagi, kita rasa lega dan selamat," katanya
kepada Bernama.
Bekas ketua wanita UMNO itu berkata bagi mereka yang melakukan kesilapan harus mengakuinya dan parti sedia memaafkannya.
"Saya harap mereka ini sedar bahawa UMNO itu lebih penting... apa
gunanya kita nak merosakkan UMNO, apa yang tidak kena dengan UMNO?.
Kepada pemimpin berkenaan, parti terbuka untuk menerima mereka... UMNO
adalah rumah kita yang di dalamnya ada adik-beradik kita, sanak-saudara
kita, tak mungkin kita nak hancurkan," katanya. -- BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan