Kehilangan anggota tentera Malaysia Kapten Hasman Hussin yang sedang
berkursus di Amerika Syarikat pada 26 Disember lalu terjawab selepas
mayatnya ditemui kira-kira 11.00 pagi waktu tempatan (tengah malam
semalam waktu Malaysia).
Pihak berkuasa Malaysia sudah memaklumkan kepada keluarga Allahyarham mengenai penemuaan mayat tersebut.
Isteri kepada Kapten Hasman, Siti Hazwani Ahmad menerima berita
yang mayat suaminya telah ditemui melalui panggilan telefon oleh pihak
tentera pada pagi ini.
"Pagi tadi tentera menghubungi saya dan memaklumkan suami sudah
tiada. Saya diminta bersedia dan disiapkan pasport untuk dibawa ke
Missouri, Amerika Syarikat.
"Saya terima keadaan ini dan amat berharap jenazah suami segera
dibawa pulang. Mungkin saya tidak dapat bersama ke Amerika Syarikat
sebab masih berpantang anak kembar.
"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan hal ini," katanya dalam sedih.
Tambahnya, bapa dan abang arwah suaminya dijangka ke Missouri
untuk urusan pengecaman dan membawa pulang jenazah dalam waktu terdekat.
Kansascity.com melaporkan mayat terakhir dari lima orang yang
dihanyutkan arus deras semasa banjir besar di Missouri 26 Disember lalu itu
ditemui enam kilometer dari tempat dilaporkan hilang.
Lima tentera antara 13 yang maut dalam banjir besar tersebut.
Kapten Hasman yang sedang mengikuti kursus kejuruteraan di Fort
Leonard Wood bermula 1 Oktober lalu dihanyutkan air deras di Missouri
dalam tragedi banjir yang turut mengorbankan empat lagi rakan tentera
antarabangsa.
Keluarga harap Kapten Hasman yang hilang di Amerika dapat ditemui
Keluarga Kapten Hasman Hussin yang dilaporkan hilang selepas
kenderaan dinaikinya dihanyutkan arus banjir di Missouri, Amerika
Syarikat pada 26 Disember lalu, amat berharap agar pegawai Tentera Darat itu
dapat ditemui selamat.
Adiknya, Mohd Hairi, 29, berkata, beliau dan anggota keluarganya sentiasa berdoa agar Hasman, 33, dapat ditemui dengan selamat.
Keluarganya turut mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan anak ketiga daripada enam beradik itu.
"Beliau ke sana (Amerika Syarikat) pada Oktober lepas kerana
berkursus dan kali terakhir berhubung melalui grup WhatsApp keluarga
kami pada 26 Disember lalu.
"Kami semuanya terkejut bila dapat tahu perkara ini... kami
sekeluarga jadi tidak keruan," katanya kepada pemberita di Durian Daun
Masjid Tanah, Selasa malam.
Mohd Hairi berkata, berita kehilangan Hasman amat mengejutkan bapa
mereka Hussin Mat, 60, hinggakan beliau tidak dapat berniaga hari ini.
Markas Tentera Darat dalam kenyataannya Selasa berkata, pihaknya
berusaha mengesan Hasman yang bertugas di Rejimen Askar Jurutera
Diraja.
Beliau bersama-sama empat lagi rakan kolejnya pergi bercuti pada
26 Disember dan kenderaan dinaiki mereka dilaporkan telah dihanyutkan dalam
banjir ketika mengharungi laluan di Pulaski County, Missouri.
Hasman sedang mengikuti kursus 'Engineer Captains Career Course'
di Fort Leonard Wood yang bermula dari 1 Oktober hingga 15 April 2016.
Mohd Hairi berkata, seorang pegawai kanan Tentera Darat
mengunjungi rumah nenek mereka di Masjid Tanah kira-kira jam 1 tengah hari
tadi bagi memaklumkan perkara itu.
"Pihak Tentera Darat beritahu abang tidak dijumpai, tiada
dalam kenderaan itu... pegawai (tentera) akan beritahu kami perkembangan
ini dari semasa ke semasa," katanya.
Isteri Hasman, Siti Hazwani Ahmad, 29, pula berkata, beliau
berbual dengan suaminya menerusi telefon pada jam 10 malam 26 Disember lalu yang antara lain berpesan kepadanya supaya tidak meninggalkan solat.
"Beliau juga berbual dengan anak sulung... beliau kata
tiada rancangan pergi jalan-jalan cuma nak belajar bagi melengkapkan
kursus enam bulan itu. Saya amat berharap beliau ditemui selamat,"
katanya.
Hasman dan Siti Hazwani mempunyai tiga anak lelaki - yang sulung berusia tiga tahun dan sepasang kembar berusia tiga bulan.
Sementara itu nenek Hasman, Jamaah Ahmad, 79, pula berkata, beliau sentiasa berdoa agar cucunya itu dapat ditemui dengan selamat.
"Sebelum ke Amerika Syarikat, beliau beritahu nenek nak ke
sana... memang sedih kerana beliau rapat dengan nenek. Nenek mohon pada
Allah supaya beliau selamat," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan