Isnin, 21 Disember 2015

Mahkamah putuskan penahanan, pendakwaan Kassim Ahmad tidak sah

Post Pic
 
 
Tangkapan dan penahanan intelektual dan aktivis Islam Dr Kassim Ahmad yang dilakukan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan  (Jawi) pada 2013 adalah tidak sah, putus Mahkamah Rayuan hari ini.
 
Panel 3 orang hakim diketuai Vernon Ong Lam Kiat berkata, Jawi tidak mempunyai bidang kuasa terhadap Kassim yang menetap di Kedah.
 
“Kami mengarahkan penangkapan, penahanan dan pendakwaan terbatal dan kes dibuang,” katanya dalam membenarkan rayuan Kassim menentang keputusan Mahkamah Tinggi.
 
Panel hakim juga membenarkan hujah Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa yang lebih tinggi berbanding tribunal yang lebih rendah, termasuk Mahkamah Syariah dalam soal perundangan.
Kassim turut dianugerahkan kos mahkamah sebanyak RM20,000.
 
Kassim mencabar Jawi mengenai penahanannya di negeri luar bidang kuasa pihak berkuasa agama itu, mendakwa tindakan Jawi tidak sah, melanggar Perlembagaan dan melampaui bidang kuasanya.
 
Selain Jawi, beliau juga menamakan Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menteri bertanggungjawab menguruskan hal ehwal Islam, dan ketua pendakwa raya syariah Wilayah Persekutuan ketika itu, Ibrahim Deris dan kerajaan persekutuan.
 
Cabaran perundangan Kassim kepada Jawi ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Januari lepas.
 
Beliau juga didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya atas dakwaan menghina Islam, dalam sebuah seminar yang dihadirinya sebelum ini. Seminar itu dirasmikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Kassim mengeluarkan kenyataan yang kritikal terhadap beberapa hadis dan menuduh sesetengah ulama di Malaysia memaksa pengamalan “kasta ulama”.
 
Ong hari ini berkata kesan buruk kepada Kassim kerana dimalukan dan trauma berikutan penangkapannya akan dinilai pendaftar Mahkamah Tinggi.
 
Ong mengetuai panel 3 hakim bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Hasnah Mohamed Hashim berkata waran tangkap Kassim tidak mencukupi, dan pegawai yang menahannya tidak mematuhi undang-undang jenayah syariah Wilayah Persekutuan.
 
“Kerana itu, penangkapan itu terbatal dan salah,” katanya.
 
Ong berkata Kassim tidak pernah dihadapkan kepada kadi berhampiran sebaik saja ditahan di rumahnya di Kulim, Kedah yang merupakan syarat wajib penahanan.
 
“Sebaliknya, beliau dibawa ke Pulau Pinang dan diterbangkan ke Putrajaya sebelum dibawa berjumpa kadi,” katanya.
 
Beliau berkata penahanan Kassim juga tidak sah kerana ditahan Jawi melebihi 24 jam dan dinafikan hak mendapatkan peguam.
 
“Maka kerana itu, haknya di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dicabul,” katanya.
 
Ong berkata dakwaan kepada Kassim yang beliau tidak mematuhi fatwa dikeluarkan Majlis Agama Wilayah Persekutuan hanya tertakluk kepada orang Islam menetap dalam kawasan bidang kuasa majlis.
 
“Keputusan untuk mendakwa Kassim yang menetap di Kedah ialah salah,” katanya.
 
Kassim, 83, ditahan anggota penguatkuasa Jawi yang turut menggeledah rumahnya pada 26 Mac, 2013.
 
Dalam semakan kehakiman kepada Jawi yang difailkan Kassim, beliau meminta arahan untuk membatalkan keputusan ketua pendakwaraya pada 27 Mac untuk mendakwanya kerana menghina Islam dan merendahkan pihak berkuasa agama.
 
Beliau mahu kes di Mahkamah Syariah ditangguh, sementara menunggu keputusan semakan kehakiman.
 
Kassim mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.
 
Kesnya di Mahkamah Syariah dijadualkan didengar pada 18 Januari.
 
Turut hadir di mahkamah hari ini ialah bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim dan aktivis Datin Paduka Marina Mahathir. 

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran