Selasa, 8 Disember 2015

Kritikan bertujuan selamatkan Umno, negara – Muhyiddin muhyiddin

muhyiddin
Muhyiddin berkata, jika tindakan pucuk pimpinan itu menimbulkan banyak persoalan tidak terjawab, maka keyakinan rakyat akan terhakis.
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kritikan yang dibuatnya baru-baru ini bertujuan menyelamatkan Umno dan negara daripada jatuh ke tangan yang salah.
Jelasnya, kritikan itu dibuat tanpa niat jahat.

“Saya sebut perkara ini bukan kerana ada niat jahat…Saya sebut perkara ini kerana soalan-soalan yang ditanya rakyat.

“Saya perlu yakinkan rakyat bahawa kerajaan yang diketuai Umno hari ini komited untuk melakukan transformasi.

“Kami adalah kerajaan telus, kerajaan yang berintegriti, sebuah kerajaan bertanggungjawab yang mentadbir dengan baik,” katanya ketika berucap dalam satu perhimpunan anjuran beberapa Pemuda Umno bahagian di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, malam ini.

Bagaimanapun, jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, jika tindakan pucuk pimpinan itu menimbulkan banyak persoalan tidak terjawab, maka keyakinan rakyat akan terhakis.

Beliau berucap panjang lebar berhubung dua isu kontroversi yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno.

Berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di mana lembaga penasihatnya dipengerusikan Najib, Muhyiddin mengulangi desakannya supaya siasatan bebas dijalankan.

Beliau turut mencadangkan Najib supaya mengambil cuti, bagi memberi laluan kepada siasatan 1MDB.

Jelasnya, model perniagaan 1MDB adalah tidak baik, justeru pihak terbabit perlu bertanggungjawab dan tarikh akhir siasatan tidak sepatutnya menjadi ‘sasaran bergerak’.

Berhubung sumbangan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib, Muhyiddin berkata,
Najib telah mengaku kepadanya wang itu disalurkan ke dalam akaun Perdana Menteri, mengikut arahan penderma.

Meskipun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menjelaskan perkara itu di Parlimen, baru-baru ini, Muhyiddin berkata, penggantinya tidak melakukannya secara menyeluruh.

“Saya dengar ia hanya untuk beberapa minit dan (ahli parlimen) tidak boleh tanya soalan.

“Beliau kata ia adalah subjudis.

“Ramai peguam berkata ‘Anda boleh tanya, kerana tiada kes di mahkamah. Jadi, anda boleh tanya soalan-soalan’,” katanya menjelang Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno yang buat julung kalinya tidak akan dirasmikan Timbalan Presiden parti itu.

Muhyiddin berkata, sebagai Timbalan Presiden Umno, setiap tahun sejak enam tahun lalu, beliau dijemput untuk berucap pada perasmian perhimpunan agung sayap-sayap parti, sehingga Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk tidak menjemput beliau tahun ini.

“Saya tidak tahu kenapa saya tidak dijemput untuk berucap tahun ini,” katanya sambil menambah, pun begitu, beliau menerima banyak kata-kata semangat dan sokongan daripada orang yang berjumpa dengannya.

Turut hadir dalam perhimpunan itu adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Tiada ulasan: