Ahad, 21 September 2014

Jaga Hubungan Baik Dengan Sultan dan Raja-Raja Melayu

Muktamar Pemuda PAS ke-55





Kepimpinan dan anggota PAS hari ini diminta supaya menjaga hubungan yang baik dengan Sultan dan Raja-Raja Melayu.

Seorang perwakilan dalam Muktamar Muktamar Tahunan PAS ke-60 di sini, Izuri Ibrahim dari Pulau Pinang menegaskan bahawa hubungan yang baik dengan istana perlu dijaga supaya parti itu tidak dipalit dengan kebencian orang Melayu.

Sehubungan itu, Izuri berharap agar pemimpin dan anggota parti menghentikan kenyataan liar yang menunjukkan penentangan terhadap Sultan.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada muktamar itu yang berlangsung di Parit Raja, di sini, Jumaat.

Sementara itu, perwakilan Kelantan Ahmad Fadhli Shaari berkata tindakan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu membelakangkan keputusan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu menteri besar Selangor adalah “memalukan”.

“Saya hormat dengan timbalan presiden, di antara saya dengan dia (Mohamad) amat jauh tetapi saya amat sedih apabila presiden membuat keputusan, Mohamad Sabu pula berkata ia adalah keputusan peribadi tuan presiden.

“Walaupun ada percanggahan pendapat, janganlah disebut secara terbuka sebab ia akan menyebabkan ahli keliru. Saya percaya presiden amat berlapang dada tetapi apa yang dilakukan timbalan presiden amat memalukan,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan itu.

Katanya, dalam isu pemilihan menteri besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, parti perlu mengekalkan hubungan baik dengan Istana bagi menjunjung institusi diraja negara ini.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli mahu PAS menyiasat pihak yang bertanggungjawab membocorkan keputusan mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat berkenaan calon-calon menteri besar Selangor baru-baru ini.

“Siasat siapa yang bocorkan rahsia mesyuarat kerana sebelum berakhirnya mesyuarat, sudah ada blog-blog yang membocorkan hasil mesyuarat,” katanya.

Sementara itu perwakilan Perlis Wan Kharizal Wan Khazim meminta kepimpinan PAS menolak jawatan menteri besar Selangor sekiranya calon daripada parti itu dipilih untuk dilantik jawatan berkenaan.

Beliau berkata PAS perlu menolak jawatan tersebut sebagai berpegang teguh kepada janji dan integiti yang diamalkan oleh parti berkenaan.

“PAS sudah berjanji dengan rakan di dalam pakatan sewaktu mesyuarat pada 17 Ogos lepas untuk menolak jawatan tersebut sekiranya calon daripada parti itu dipilih,” tegas beliau.

Perwakilan Negeri Sembilan Mohd Khairul Anuar Wafa yang turut menyokong saranan itu berkata penolakan jawatan berkenaan adalah selaras dengan dasar menghormati setiakawan yang diamalkan di dalam pakatan selama ini. — BERNAMA

Tiada ulasan: