Isnin, 8 September 2014

Wan Azizah pernah diberi peluang sebelum ini, tetapi gagal


Dewan Muslimat Pas Wilayah Persekutuan mempertahankan keputusan yang dibuat Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam menyenaraikan tiga nama dari Pas untuk calon sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Timbalan Ketuanya, Dr. Rosni Adam berkata, ada beberapa sebab kenapa Pas tidak mencalonkan nama Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar sebagaimana diminta oleh dua rakan pakatan pembangkang iaitu PKR dan DAP.

Katanya, antara sebab itu ialah Dr. Wan Azizah telah menunjukkan kegagalannya memimpin parti pembangkang selepas dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada tahun 2008.

“Pas di bawah kepimpinan Abdul Hadi sebelum ini memberikan peluang kepada Dr. Wan Azizah untuk menjawat jawatan Ketua Pembangkang selepas Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2008 di Parlimen.

“Pas menyokong dia (Dr. Wan Azizah) sebagai Ketua Pembangkang dan tiada isu gender dibangkitkan ketika itu, tetapi malangnya dia sendiri hanya mampu bertahan sebagai Ketua Pembangkang kurang enam bulan sebelum meletakan jawatan pada 28 Ogos 2008.

Apa jua alasan beliau ketika itu, rakyat telah hilang kepercayaan dan tidak dapat melihat keseriusannya sebagai pemimpin dan ahli politik dalam melaksanakan amanah pengundi yang mengundi beliau enam bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman sosial Facebook rasmi Pas Pusat hari ini.

Menurut Dr. Rosni, keputusan Pas menolak Dr. Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar adalah merujuk kepada prestasinya selepas dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang pada awal tahun ini.

Jelas beliau, Pas khuatir jika prestasi sedemikian diteruskan dan rakyat akan terus mempertikaikan kemampuan Pakatan Rakyat (PR) melahirkan wakil rakyat dan Menteri Besar yang berkaliber.

Sementara itu, beliau membidas Ketua Wanita DAP, Chong Eng yang memburuk-burukkan Abdul Hadi dengan tuduhan Presiden Pas itu cuba memecah belahkan parti itu dan PR.

Wanita DAP harus bersifat terbuka menerima kritikan dan teguran yang diberikan oleh Presiden Pas mengenai pencalonan Dr. Wan Azizah bagi jawatan Menteri Besar Selangor.

“Setiap parti mempunyai pandangan dan alasan tersendiri untuk menyokong atau tidak dan Presiden Pas jelas telah melihat semua aspek, termasuk kepentingan rakyat sebelum membuat kenyataan tersebut,” katanya.

Katanya, Abdul Hadi tidak pernah menyatakan hasrat untuk memecah belahkan Pas dan PR, tetapi secara terang-terangan memberikan penjelasan kenapa Pas menolak Dr. Wan Azizah sebagai Menteri Besar sebagaimana diminta oleh pemimpin PKR.

Dr. Rosni turut menggesa Wanita DAP dan PKR menghormati pandangan pemimpin Pas serta bersikap terbuka terhadap sebarang kritikan yang diberikan memandangkan PKR sendiri tidak pernah membuka ruang kepada Pas untuk membahaskan setiap calon yang hendak dicadangkan sebagai Menteri Besar.

Malah kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Selangor (Datuk Mohamad Munir Bani) hari ini juga perlu diambil perhatian oleh DAP dan PKR kerana pihak Istana dengan jelas menyatakan kekesalan berikutan kedegilan parti berkenaan dalam menghantar hanya satu nama untuk dipertimbangkan oleh baginda sultan.

“Sebaiknya Wanita DAP menguruskan masalah berkenaan dengan bijak supaya tidak terus membusukkan nama PR sebagai kumpulan yang menderhaka kepada institusi raja di negara ini,” katanya.

Beliau berharap Wanita DAP, PKR dan Pas duduk semeja untuk membincangkan masa depan PR serta mencari jalan penyelesaian bagi menggelakkan persengketaan dengan Istana, bukan saling menyerang kritikan antara sesama pimpinan dengan membuat fitnah yang tidak berasas.

Tiada ulasan:

BN bermula tahun 1959, 59 tahun kemudian BN jatuh

Tun Mahathir bersama barisan kepimpinan Pakatan Harapan mengadakan sidang media mengumumkan kemenangan. SIRI 1 KETIKA sahabat...