Khamis, 11 September 2014

Pengkalan Kubor: PAS umum calon malam ini

PAS Kelantan mengakui bukan mudah untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor pada 25 September ini, apa lagi untuk merampas Dun terbabit yang telah dimenangi BN sejak tiga penggal lalu.

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob bagaimanapun berkata, pihaknya akan berusaha lebih hebat lagi untuk menawan Dun terbabit.

Katanya, apa lagi dengan sokongan PKR untuk bersama PAS akan mencerahkan lagi hasrat itu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

"Sengit, memanglah sengit pilihan raya ni, tetapi kita akan menghadapinya dengan suasana aman dan harmoni bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat,"ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, seterusnya memberitahu sokongan PKR secara terbuka untuk membantu calon Pakatan Rakyat daripada PAS akan membantu gerak kerja yang baik untuk meraih kemenangan.

Mengenai calon pula, beliau berkata ia akan diumumkan pada malam esok di padang belakang Masjid Geting, Tumpat.

"Tentang calon tunggu malam esok, insya Allah kita akan umum malam esok.

"Orangnya tentu orang tempatan dan yang paling anak Kelantan," ujarnya ketika diminta mengulas soal calon. - HARAKAHDAILY 10/9/2014

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran