Sabtu, 6 September 2014

Suri rumah ditembak polis dapat pampasan RM318,326

Seorang suri rumah yang ditembak polis di Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2) pada 2009 mendapat pampasan berjumlah RM318,326 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan samannya terhadap pihak polis dan kerajaan hari ini.  
  
Hakim Datuk Hue Siew Kheng turut memerintahkan kesemua defendan membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Norizan Salleh, 34.
  
Norizan, yang merupakan ibu kepada dua anak, diberi pampasan sebanyak RM50,000 bagi kesakitan dan penderitaan; RM50,000 bagi serangan dan kecederaan; RM18,326 sebagai ganti rugi khas dan RM200,000 sebagai ganti rugi teladan.
  
Hue berkata jumlah ganti rugi teladan itu diberi bagi memastikan badan awam berkenaan tidak lagi mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang.
  
Pada 15 Okt 2012, Norizan menamakan seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Sentul Koperal Mohd Firdaus Rosli, Ketua Polis Sentul, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam saman itu.     
  
Dalam satu penghakiman ringkas, Hue berkata berdasarkan gambar yang dikemuka ketika perbicaraan kes itu, terdapat 16 kelongsong peluru dan lubang bekas tembakan dijumpai pada badan kereta yang dinaiki Norizan selain bukti kukuh yang menunjukkan tembakan telah dilepaskan berulang kali secara berterusan.
  
Beliau berkata tembakan itu juga bukanlah atas dasar mempertahankan diri atau bertindak sewajarnya, atau mengikut prosedur yang betul.
  
"Malah Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) tidak membenarkan perkara ini," katanya sambil menambah IGSO terbabit hanya boleh digunakan jika anggota polis berdepan bahaya yang boleh menyebabkan kematian.
  
Sehubungan itu, Hue berkata beliau mendapati defendan gagal membuktikan pembelaan kekerasan yang munasabah.
  
Hakim itu juga berkata beliau mendapati tidak ada kertas siasatan dibuka berdasarkan aduan plaintif dan tidak ada pertuduhan dibuat.  
  
Norizan, dalam penyataan tuntutannya, berkata kereta peronda polis yang dinaiki Mohd Firdaus mengejar kereta yang beliau naiki bersama rakannya di MRR2 serta melepaskan tembakan berulang kali ke arah mereka.
  
Katanya, anggota polis terbabit juga telah menendang dan menyebabkan beliau jatuh semasa cuba keluar daripada kereta.
  
Akibatnya, Norizan berkata beliau terpaksa dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan Institut Jantung Negara selama 13 hari kerana cedera di pergelangan tangan kanan dan selain luka tembakan di bahagian dada.
  
Berikutan insiden itu, beliau mengalami kesukaran untuk melakukan kerja berat dalam tempoh yang lama, dan telah kehilangan kerja. 
  
Norizan diwakili peguam N.Surendran manakala Peguam Kanan Persekutuan Wan Suhaila Mohd mewakili defendan. - Bernama

Tiada ulasan:

Transkrip penuh temuramah KP SPRM Mohd Shukri:

"I want to see yo u cerita pengalaman i dalam siasatan kes  personal  1MDB.  Before i proceed I am gonna because, just now i got meet...