Ahad, 21 September 2014

Wakil Pemuda Pas Pusat Tolak Titah Sultan di booo

Mohd Sani Hamzan



Pemuda PAS Pusat menggesa supaya parti itu menolak titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah jika wakil rakyat mereka dipilih menjadi menteri besar yang baharu.

Wakilnya, Mohd Sani Hamzan berkata, pendirian menolak titah Sultan Selangor itu selaras dengan janji politik PAS dalam Pakatan Rakyat bahawa kerusi panas itu milik sekutunya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun cadangan Mohd Sani itu menerima reaksi negatif daripada perwakilan Muktamar Tahunan PAS ke-60 yang bertindak menyorak ‘booo’ sebagai tanda tidak setuju  dengan saranan berkenaan yang dilihat seolah-olah mahu mengingkari titah Sultan Selangor.


“Pemuda ingin sarankan supaya kita menolak jawatan menteri besar sebab itu janji kita.  Tolak sebab setia kita dalam Pakatan Rakyat. Setuju atau tidak? Setuju tak?” soalnya sambil dibalas dengan sorakan ‘boo’ oleh perwakilan hingga mengganggu sesi perbahasan.

Bagaimanapun Pengerusi Tetap, Datuk Abu Kassim Abdullah segera menenteramkan keadaan.

“Minta bertenang kerana kita nak mesyuarat cara Islam. Nak takbir tak apa, sokong pun tak apa,” katanya.

Saranan Mohd Sani dilihat bertentangan dengan pendirian sebilangan besar perwakilan yang mengambil pendekatan lebih terbuka apabila menggesa Pakatan Rakyat menerima sebarang keputusan yang akan dibuat Sultan Selangor.

Walaupun mengakui kerusi menteri besar Selangor dipersetujui menjadi milik PKR, namun rata-rata perwakilan mahu PAS supaya tidak mengingkari titah istana.

Tiada ulasan: