Khamis, 11 September 2014

Sekretariat Akhbar - Abdul Khalid masih Menteri Besar yang sah selagi diperkenan DYMM Sultan Selangor

Penasihat Undang-undang Negeri Selangor, Dato’ Haji Nik Suhaimi Nik Sulaiman telah mengesahkan bahawa YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim masih Menteri Besar yang sah dan berhak menjalankan sepenuhnya tugas sebagai Menteri Besar.
Beliau membuat pengesahan ini berikutan kenyataan Ahli Parlimen Klang, Y.B. Charles Santiago yang mempertikaikan kemungkinan perjanjian air yang akan ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan adalah tidak sah.

Berikut adalah kenyataan penuh Penasihat Undang-undang Negeri Selangor selepas diperkenan Pejabat DYMM Sultan Selangor bagi menjawab dakwaan Ahli Parlimen Klang.

“Menurut menurut peruntukan Undang-UndangTubuh Kerajaan Selangor 1959, selama mana DYMM Sultan Selangor masih berkenan untuk melantik YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan pelantikan itu selaras dengan peruntukan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, maka YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim masih lagi boleh menjalankan kuasa penuh untuk melaksanakan tugas, fungsi dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.


“Sehubungan itu, , soal ketidaksahihan apa-apa  tindakan atau keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor berkaitan dengan apa-apa perkara termasuk kapasiti untuk menandatangani perjanjian air bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Persekutuan adalah tidak berbangkit memandangkan tindakan-tindakan ini masih dalam lingkungan bidang kuasa eksekutif Menteri Besar dan mengikut lunas-lunas perundangan negeri.

“Perkara ini sudah sedia maklum oleh Kerajaan Persekutuan dan oleh sebab itu, rundingan serta perbincangan berkaitan perjanjian air masih diteruskan mengikut perancangan.

“Selaras dengan Perkara LI(1), Perkara LIII(2)(a) dan (4), serta Perkara LV(2)(a) Undang-UndangTubuh Kerajaan Selangor 1959, yang mana DYMM  Sultan Selangor telahdiperuntukkan kuasa budi bicara mutlak di dalam pelantikan seorang Menteri Besar Selangor.

“Keputusan Baginda yang menangguhkan penerimaan peletakan jawatan YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan Menteri Besar Selangor yang baru ditentukan wajar dijunjung demi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berjalan dengan lancar dan teratur.

“Selain diakui mengenai prinsip demokrasi yang memberi kebebasan bersuara namun adab, tatatertib dan hak DYMM Sultan Selangor di bawahUndang-Undang TubuhNegeri Selangor 1959 perlu dihormati demi kesejahteraan negeri dan tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Kenyataan-kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan, sekiranya dipercayai, berkemungkinan boleh menimbulkan kebimbangan dan kegusaran di kalangan rakyat”.

Dalam masa yang sama, Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan ahli politik supaya lebih berhati-hati dan lebih bersedia dengan membuat sedikit kajian ilmiah sebelum mengeluarkan kenyataan bagi mengelak kekeliruan dan pandangan serong masyarakat terhadap pihak lain dan kepada mereka sendiri.

DIKELUARKAN OLEH
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
11 SEPT 2014

Tiada ulasan: