Khamis, 25 September 2014

Punca serangan biawak bukan sebab kawasan kotor

Susulan kes seorang bayi perempuan berusia lapan bulan digigit biawak di Pulau Tioman Selasa lepas, Lembaga Pembangunan Tioman menolak kemungkinan persekitaran kawasan kediaman yang kotor menjadi punca seekor biawak bertindak agresif.
Pengurus Besarnya, Datuk Hashim Mat Tahir berkata adalah mustahil kawasan berkenaan juga kotor memandangkan kediaman mangsa adalah di dalam kawasan resort yang kebersihannya sentiasa dijaga rapi.

“Mustahil kawasan kediaman itu kotor, sebab saya difahamkan rumah mangsa terletak dalam kawasan resort yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara, semestinya kebersihan resort dijaga rapi,” katanya kepada pemberita di Kuantan.

bayi digit biawak

Beliau diminta mengulas pendapat pakar-pakar veterinar yang tidak menolak kemungkinan biawak itu menyerang mangsa, Nur Hidayah Abdul Rahman, disebabkan persekitaran kotor di lokasi kejadian.

Dalam kejadian itu, bayi malang itu cedera parah selepas diterkam dan digigit haiwan liar berkenaan selepas diletakkan sebentar di ruang tamu rumah oleh ibunya, Nor Raudah Abdullah, 38, yang tinggal di kuarters resort berkenaan.

Sementara itu, Ketua Kampung Tekek dekat Pulau Tioman, Zulkarnaini A. Hamid ketika dihubungi berkata beliau menolak dakwaan proses pelupusan sampah yang tidak sistematik di resort itu menarik perhatian biawak berkenaan.

Beliau berkata sampah sarap dilupuskan mengikut cara yang betul tetapi adakalanya biawak menyelongkar tong sampah bagi mencari makanan.

“Peningkatan jumlah pelancong ke pulau ini menyebabkan lebih banyak sampah termasuk sisa makanan dari restoran di kampung ini.

“Bagaimanapun pengusaha kemudahan penginapan di pulau ini sentiasa mematuhi peraturan dalam melupuskan sisa makanan dan sampah dari premis mereka,” katanya.

Namun beliau berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mencari jalan penyelesaian berkesan bagi mengawal jumlah haiwan liar itu di pulau peranginan itu bagi mengelak ia menjadi ancaman kepada penduduk dan pelancong yang lain.

Perhilitan Pahang juga diminta supaya memasang perangkap dan memindahkan biawak di Pulau Tioman bagi mengelak kejadian serangan haiwan reptilia berkenaan ke atas kanak-kanak pada masa akan datang.

Ini kerana populasi haiwan liar itu di pulau berkenaan meningkat dan ada yang saiznya membesar sehingga tiga meter panjang, sekali gus boleh mendatangkan kebimbangan kepada penduduk dan pelancong.

Menurutnya, Perhilitan Pahang perlu bertindak segera mengawal populasi biawak di pulau itu walaupun kes haiwan tersebut menyerang manusia adalah terpencil.

Sementara itu Pengarah Perhilitan negeri, Khairiah Mohd. Shariff berkata, pihaknya akan mengadakan operasi menangkap biawak besar di Pulau Tioman dalam masa terdekat.

Operasi itu bukan untuk memusnahkan spesies reptilia itu secara keseluruhan sebaliknya cuba mengurangkan jumlah populasinya agar terkawal.

“Kerja-kerja menangkap biawak ini akan dikendalikan pakar dari ibu pejabat di Kuala Lumpur menggunakan kaedah perangkap dan mata kail tanpa perlu menembak,” katanya.

Khairiah berkata, pihaknya juga akan mengadakan program gotong royong dengan masyarakat tempatan bagi membersihkan kawasan di pulau berkenaan.

Tiada ulasan: