Seorang wartawan radio Perancis yang berada dalam teater Bataclan yang diserang pada Jumaat, menyifatkan tempoh itu sebagai “10 minit ngeri” apabila lelaki berpakaian hitam bersenjatakan AK-47 masuk dan melepaskan tembakan secara rawak terhadap ratusan pengunjung konsert.

"Ia memang bermandikan darah," kata Julien Pierce, wartawan stesen radion Europe 1 Perancis, kepada CNN.

"Orang ramai menjerit, menjerit dan semua orang berbaring di atas lantai, dan ia berlangsung selama 10 minit, 10 minit, 10 minit yang ngeri di mana semua orang meniarap di atas dan menutup kepala mereka".

"Kami mendengar banyak bunyi tembakan dan pengganas sangat tenang, sangat nekad dan mereka memuatkan peluru tiga atau empat kali dalam senjata mereka dan mereka tidak menjerit apa-apa. Mereka tidak berkata apa-apa".

Pierce menceritakan melihat 20 hingga 25 mayat di atas lantai, manakala yang lain cedera teruk.

Sumber polis kemudian berkata, sekurang-kurangnya 100 terbunuh dalam serangan di venue konsert.

Saksi lain berkata, penembak melaungkan "Allahu Akbar" ketika menembak ke arah orang ramai yang ketakutan yang berkumpul di situ bagi menonton konsert kumpulan rock Amerika, Eagles di teater Bataclan di Timur Paris pada malam Jumaat.

"Menjerit dan menjeit".

Kata Pierce yang mengakui beruntung berada di hadapan pentas ketika penembak yang berpakaian serba hitam memegang AK-47 melepaskan tembakan.

"Orang ramai mula cuba melarikan diri sambil ada yang memijak mereka yang terbaring di lantai selain cuba mencari jalan keluar dan saya menemui laluan keluar ketika pengganas memuatkan peluru dalam senjata. Ketika itu, saya memanjat pentas dan kami menemui laluan keluar".

Wartawan itu berkata, dia membawa bersama gadis remaja yang mengalami pendarahan teruk ke dalam teksi dan meminta pemandu teksi itu membawa gadis terbabit ke hospital.

Beliau berkata demikian kepada CNN sambil menambah, sebahagian rakannya masih bersembunyi di dalam teater itu.

"Mereka bersembunyi dalam beberapa bilik di dalam gelap dan menghantar teks mesej kepada saya, dan mereka sangat ketakutan. Sudah tentu. Mereka menunggu campur tangan polis, tetapi sekarang sudah lebih dua jam dan ia sangat dahsyat".

Polis kemudian membuat serbuan di tempat kejadian. Tiga penyerang disyaki ditembak mati dalam serangan itu.

Pierce berkata, dia ada terlihat wajah seorang daripada penembak, yang berkemungkinan berusia antara 20 dan 25 tahun.

Ditanya sama ada dia mendengar bahasa yang mereka pertuturkan, dia menjawab: "Tiada apa-apa. Saya tidak mendengar apa-apa, hanya jeritan orang ramai. Mereka tidak menjerit apa-apa. Mereka tidak berkata apa-apa. Mereka hanya tembak. Mereka hanya melepaskan tembakan ke arah orang ramai".

"Apa yang berlaku memang dahsyat. Maksud saya, sejujurnya, 15 minit, 10 minit ketika tembakan dilepaskan secara rawak dalam bilik konsert yang kecil. Maksud saya, ia bukan bilik konsert yang besar. Bilik yang kecil. Maksimum 2,000 orang dan ia sangat – dahsyat".