Sabtu, 14 November 2015

1MDB: Lepas tolak hutang masih ada aset RM12 bilion


Suasana pagi Sabtu di PWTC lebih meriah dari biasa. Sejak jam 8 pagi lagi ramai yang beratur panjang masuk ke Dewan Tun Hussein Onn menghadiri Majlis Penerangan Perdana isu-isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Bajet 2016.

Kelibat Menteri Kabinet, Datuk Seri Ismail Sabri, MB Perlis, Datuk Seri Azlan Man, Pengerusi BNBBC, Tan Sri Shahrir Samad, bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar, selain pengarah filem Datuk Shuhaimi Baba antara lebih 2,000 yang hadir ke majlis tersebut.

Semua mahu mendengar sendiri penerangan mengenai 1MDB oleh Presidennya, Arul Kanda atau nama Islamnya Azrul Kanda Abdullah.

Majlis tersebut adalah kali pertama Arul tampil berdialog dengan orang ramai.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang memulakan majlis tidak sangka sambutan hangat program tersebut.

Melihat sambutan luar dugaan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu secara berseloroh berkata, beliau berharap majlis itu mendapat publisiti meluas daripada pihak media.

"Saya kira video kamera saja ada 25 dalam dewan ini... harap media-media termasuk media pembangkang rakam dan lapor sepenuhnya program hari ini," katanya.

Selain Arul, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menjadi panel bagi sesi masing-masing.

Arul Kanda memberikan penerangan terperinci mengenai sebab dibuat 1MDB, modal perniagaan yang dipilih 1MDB, cabaran-cabaran yang dihadapinya.

Menurut beliau, biarpun 1MDB akan menjual aset-asetnya untuk melangsaikan hutangnya pada akhir tahun ini, syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu masih mempunyai aset bernilai antara RM10 bilion hingga RM12 bilion.

Aset-aset yang akan dilupuskan itu termasuk penjualan aset Edra Energy sebanyak RM16 bilion, sejumlah RM11.5 bilion daripada pembidaan 60 peratus kepentingan Bandar Malaysia dan pertukaran saham dengan Abu Dhabi International Petroleum Investment Company (IPIC) bernilai RM16 bilion.

Presiden 1MDB, Arul Kanda berkata, aset yang masih dimiliki 1MDB selepas pelan rasionalisasi itu ialah kepentingan 40 peratus dalam Bandar Malaysia yang bernilai sehingga RM5 bilion, tanah di Tun Razak Exchange masih milik sepenuhnya dengan nilai sehingga RM6 bilion, tanah di Ayer Hitam berjumlah RM1 bilion dan Pulau Indah RM300 juta.

Dalam sesi soal jawab, Arul Kanda berkata, para pelabur yang menguasai 60 peratus kepentingan dalam Bandar Malaysia Sdn. Bhd. telah disyaratkan untuk membangunkan 5,000 buah rumah mampu milik di lokasi pembangunan bercampur-campur seluas 486 ekar itu.

Menurut beliau, syarat berkenaan perlu dipatuhi oleh pelabur-pelabur berkenaan.

"Pembinaan rumah mampu milik merupakan syarat pembangunan di Bandar Malaysia dan pembida-pembida yang membida Bandar Malaysia perlu akur," katanya.

Menurutnya, Bandar Malaysia akan dibangunkan apabila lapan projek pembangunan pangkalan tentera dan polis siap.

Bandar Malaysia bakal menjadi pembangunan strategik kerana ia akan menjadi hab pengangkutan bersepadu berdasarkan cadangan pelan untuk menyepadukan sistem pengangkutan.

"Di situ, kami rancang untuk dijadikan hab pengangkutan dengan adanya kemudahan keretapi laju, komuter, transit aliran ringan, perkhidmatan Ekspres Rail Link (ERL) dan Bas Rapid Transit (BRT)," katanya.

Terdahulu ketika memberi penerangan mengenai 1MDB, Arul Kanda berkata, entiti itu sentiasa terbuka untuk di siasat oleh mana-mana agensi.

"1MDB disiasat oleh Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Jabatan Audit Negara dan Polis Diraja Malaysia.

"1MDB adalah 'buku terbuka' kerana kami menjadi syarikat yang paling banyak disiasat dan kami terbuka untuk disiasat. Saya berharap semua pihak turut membuka minda dan jangan menggunakan emosi dalam melihat isu 1MDB.

"Saya bukan ahli politik, jadi gunakan fakta-fakta walaupun fakta memang membosankan. Sebab itu apabila mereka kata RM42 bilion hilang, itu tidak betul," tambahnya.

Beliau juga memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mempunyai kaitan dengan pentadbiran 1MDB cuma kedudukannya sebagai Menteri Kewangan memandangkan entiti itu milik Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Tiada ulasan: