Isnin, 9 November 2015

Husam dan Mahfuz dok 'main' PAS dari dalam


Secara teknikalnya, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan ADUN Salor, Kelantan Datuk Husam Musa masih ahli PAS... ini kerana kedua-dua bekas Naib Presiden PAS itu tidak pernah umum keluar parti walaupun ramai tahu hubungan akrab mereka berdua dengan bekas pemimpin PAS yang menyertai Parti Amanah Negara.

Sehingga timbul persepsi di kalangan orang politik kini bahawa ketika kawan-kawan rapat mereka keluar PAS dan menyertai Amanah... Mahfuz dan Husam memilih untuk kekal dalam PAS dan 'buat kacau'.

Orang kata 'pelingkup dari dalam' sehingga nampak jelas PAS kena main dengan pemimpin sendiri.
Bukan sekali atau dua tindakan tanduk Mahfuz dan Husam menjadi 'duri dalam daging' pada PAS.

Di sebalik muka manis bercakap macam kononnya mewakili PAS, tapi kedua-dua mereka tidak 'toe the party lines'.

Dalam masa sama, kawan-kawan Mahfuz dan Husam dalam Amanah seperti Mat Sabu, Salahuddin Ayub tentu dok senyum lebar. Ada tinggal 'geng' dalam PAS yang menyebabkan parti Melayu kedua terbesar itu nampak tidak bersatu dari segi pendapat dan tindakan politik.

Tidak sederam dan selangkah sehingga mengerunkan parti-parti lain.

Mahfuz misalnya dilaporkan portal pembangkang pada Isnin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa PAS akan mengundi untuk menolak Bajet 2016.

Jelas ia merupakan tindakan yang bertentangan dengan pendirian PAS untuk berkecuali semasa proses undian Bajet 2016.

Menurut Mahfuz menolak bajet bermakna belanjawan yang lebih baik diperlukan. Ini bermakna bajet baru perlu dibentangkan semula,"katanya.

Pendirian Mahfuz selari dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan beliau memberi alasan pengundian adalah hak individu setiap MP.

Mahfuz sebelum ini turut mengangkat plykad di dalam Dewan Rakyat selepas Bajet 2016, tindakan yang tidak dipersetujui oleh partinya.

Menurut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Parlimen bukan tempat untuk pertunjukkan ala demonstrasi jalanan.

Ketika itu hanya Mahfuz dan MP Rantau panjang Siti Zailah Yusof yang mengangkat plykad tersebut dan Zailah meminta maaf kemudian kerana tidak patut pada 'garis parti'.

Manakala bagi Husam pula beberapa siri surat terbukanya kepada kerajaan negeri Kelantan menarik perhatian berbagai pihak kerana dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pimpinan parti Islam itu.

Husam yang 'tersingkir' dari kepimpinan kerajaan negeri PAS Kelantan sejak lepas PRU13 nampaknya kini  selesa menjadi 'duri dalam daging' dengan menyerang parti dan individu tertentu dalam PAS.

Sasaran biasanya adalah Abdul Hadi.

Terbaru Husam mendakwa Hadi pernah mengaku berniat mahu mewujudkan kerajaan gabungan dengan UMNO Barisan Nasional (BN) yang dinafikan keras oleh kedua-dua pihak sehingga PAS mahu mengambil tindakan terhadap Husam.

Melalui laman web rasmi parti itu, PAS mahu Husam meminta maaf daripada Abdul Hadi secepat mungkin.

"Tuduhan jahat ke atas Tuan Guru Presiden PAS oleh Datuk Husam Musa bahawa Tuan Guru Presiden mahu bekerjasama dengan UMNO Selangor bersama beberapa ADUN PKR.

"Sebenarnya (dakwaan itu) telah pun dinafikan pada tahun lepas lagi melalui kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Politik Tuan Guru Presiden PAS, Dr Ahmad Shamsuri", kata kenyataan tersebut.

Ahmad Shamsuri juga sudah menjawab objektif utama pertemuan antara Hadi dengan Mohamed Azmin Ali sebaik sahaja Timbalan Presiden PKR itu dilantik menjadi Menteri Besar Selangor yang baru, menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Hadi (Datuk Seri) yang mencalonkan nama beliau (Azmin Ali) sebagai calon Menteri Besar Selangor pada 17 Ogos (tahun) lalu, selain dari meminta kata nasihat dan pandangan secara umum sebagai panduan untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Tiada disebut langsung mengenai kerajaan perpaduan bersama UMNO seperti yang didakwa. Pihak kami amat kesal dengan fitnah yang sengaja diwujudkan untuk mengelirukan rakyat", tulis Dr. Ahmad.

Husam dalam ceramahnya di Kota Baru pada Khamis lalu mendedahkan bahawa Hadi pernah merancang untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan UMNO di Selangor.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Husam sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan.

"Tidak kena mengkritik atau menyerang parti dan presiden secara terbuka. Kita selalu sebut kita ada saluran.

"Tok Guru (Allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pernah sebut parti umpama rumah tangga dan kita tidak boleh bercakap isu rumah tangga di kedai kopi," katanya.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran