Isnin, 9 November 2015

PAS Kelantan kurang senang Azizah lancar PH di negeri itu malam ini


Post Pic

PAS Kelantan berasa kurang senang apabila Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Azizah Wan Ismail berkunjung ke negeri itu bagi melancarkan Pakatan Harapan (PH) Kelantan.
 
Bagi ADUN Wakaf Bharu, Che Abdullah Mat Nawi, kehadiran Azizah seolah-olah tidak menghormati kerjasama antara PAS dan PKR.
 
"Jangan sampai ahli PAS di peringkat bawah menuntut PKR buat pilihan di Kelantan, sama ada nak bekerjasama dengan Amanah atau meneruskan kerjasama dengan PAS," katanya.
Malah, tindakan Azizah melancarkan PH di negeri itu bertentangan dengan usaha parti berkenaan yang bertindak menghantar Naib Presidennya, Dr Shaharuddin Badaruddin dua minggu lalu bagi menyatakan ikrar PKR untuk terus berhubungan baik dengan PAS Kelantan.
 
"Kunjungan (Dr Shaharuddin) mahu menyatakan bahawa PKR ini walau apapun yang berlaku dalam negara, PKR akan tetap terus mengharmonikan hubungan dengan PAS.
 
"Kita memang menyambut baik dan dalam kita berurusan dengan PKR, kita tak pernah khianat walau di Kelantan ini kita ada majoriti yang besar," ujar Che Abdullah.
 
Che Abdullah berkata merujuk kepada kain rentang yang dipasang di merata-rata tempat di negeri itu, Azizah dijadualkan melancarkan PH Kelantan bersama pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Dr Aziz Bari mewakili DAP.
 
Majlis pelancaran di Pasir Mas, malam ini adalah penutup kepada siri jelajah PH ke seluruh negara sebelum ini.
 
Ujar Che Abdullah, PAS Kelantan kecewa dengan perkembangan berkenaa berikutan parti Islam itu tidak pernah sekali-kali mengkhianati PKR.
 
"Kita tak khianat walau pun di peringkat akar umbi (PAS) di setiap pilihan raya meminta supaya ambil beberapa Parlimen yang bagi mereka kuat dan boleh dimenangi parti, tapi kita menghormati persefahaman yang ada, kita bahagi mengikut status quo dan meletak tepi dahulu desakan akar umbi itu," kata beliau. 
 
"Sehingga hari ini hubungan kami antara Pimpinan PAS dan PKR Kelantan cukup Baik", tambah beliau. 
 
"Kalau nak kalahkan Umno, maknanya kena memperkuatkan kerajaan Kelantan, jadi kalau bersama program dengan Amanah itu kita bimbang desakan ahli bawahan," katanya lagi.
 
Bagaimanapun jika PKR tidak terlibat di dalam program tersebut, parti itu diminta tampil menafikan penglibatannya.
 
PAS kini hanya menjalinkan kerjasama bersama PKR setelah Pakatan Rakyat 'berkubur' ekoran krisis berpanjangan bersama DAP. 
 
Dalam masa yang sama, PKR menjalinkan kerjasama bersama DAP dan parti serpihan PAS iaitu Amanah menerusi blok pembangkang baru, PH.
 
Selain tidak dijemput untuk menyertai PH, PAS juga berikrar tidak akan menyertai gagasan itu kerana enggan bekerjasama dengan Amanah yang disifatkan sebagai 'pengkhianat'.

Tiada ulasan:

Transkrip penuh temuramah KP SPRM Mohd Shukri:

"I want to see yo u cerita pengalaman i dalam siasatan kes  personal  1MDB.  Before i proceed I am gonna because, just now i got meet...