Rabu, 11 November 2015

Suu Kyi diumumkan secara rasmi menang pilihanraya Myanmar

Suruhanjaya Pilihanraya Myanmar pagi Rabu mengumumkan pemimpin pembangkang Aung San Suu Kyi telah memenangi pilihan raya parlimen di negara itu baru-baru ini.

Suu Kyi diumumkan sebagai pemenang kawasan Kawhmu, yang merupakan sebahagian daripada negeri Yangon.

Ia mengatakan beliau memenangi 54676 undi, tanpa memberi maklumat lanjut.

Parti Suu Kyi, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) menjadi harapan rakyat Myanmar untuk hidup dalam sebuah negara demokrasi.

Kiraan undian setakat ini menunjukkan NLD memenangi 78 daripada 88 kerusi Dewan Rakyat, sekali gus menunjukkan petanda parti tersebut bakal mencatat kemenangan besar ke atas parti pemerintah, Parti Kesatuan Pembangunan dan Solidariti (USPD).


Parti pimpinan Suu Kyi perlu meraih 67 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan di Dewan Rakyat dan Dewan Parlimen bagi mencapai kemenangan majoriti, sekali gus menamatkan pemerintahan junta dan membentuk kerajaan yang berasaskan demokrasi.

Kemenangan NLD juga membangkitkan semangat kira-kira 30 juta pengundi yang mahu beberapa isu besar diketengahkan oleh kerajaan baharu di bahawa kepimpinan Suu Kyi.

Menurut portal Mizzima yang memetik keputusan tinjauan sebelum pilihan raya, rakyat Myanmar berharap kerajaan demokrasi dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi sebagai isu paling utama, selain isu keamanan dan pendidikan yang boleh menjamin kestabilan politik serta masa depan negara.

Menyentuh isu pembangunan ekonomi, rakyat Myanmar berharap sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) akan ditarik semula sebagai memberi laluan kepada usaha kerajaan meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan sosial.

Majoriti pengundi juga percaya bahawa melalui sistem demokrasi, sebuah kerajaan dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik berbanding kerajaan yang diperintah oleh tentera.

Malah, kebanyakan pengundi menolak propaganda yang disebarkan oleh kumpulan pelampau Buddha prokerajaan yang mendakwa undian terhadap NLD boleh memberi kelebihan kepada masyarakat minoriti Islam.

Selain itu, sebagai menyatakan sokongan kuat terhadap peralihan demokrasi, rakyat Myanmar menyokong isu-isu melibatkan hak asasi manusia dengan membenarkan masyarakat di negara ini untuk mengamalkan kepercayaan ma­sing-masing.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran