Sabtu, 14 November 2015

Tragedi berdarah Paris babit 8 penyerang 6 lokasi





PARIS – Lebih ratusan maut dalam serangan yang dipercayai dilancarkan secara terselaras di Paris, termasuk tembakan di sebuah konsert rock dan bom nekad berhampiran stadium negara.

Menurut polis, siri serangan berdarah itu dilancarkan sekitar enam lokasi di ibu kota Perancis, yang baru sahaja pada Januari lalu dilanda beberapa serangan pengganas berasingan.

Lapan penyerang dipercayai anggota militan maut – tujuh daripada mereka mati akibat bahan letupan pada diri mereka, menurut sumber.

Serangan paling berdarah berlaku di dewan konsert Bataclan di timur Paris, di mana menurut polis, sekitar 100 orang dibunuh.
Lelaki berpakaian serba hitam membawa senapang AK-47 menyerbu dewan konsert dan melepaskan tembakan ke arah ratusan orang yang sedang menyaksikan konsert kugiran rock Amerika Syarikat, Eagles of Death Metal.

Saksi mendakwa, penyerang melaungkan slogan keagamaan dan mengecam tindakan ketenteraan Perancis di Syria.

Empat penyerang terbunuh apabila polis menyerbu Bataclan, yang terletak hanya 200 meter dari bekas pejabat majalah kontroversi Charlie Hebdo yang disasarkan pihak pengganas pada Januari lalu.

Tiga daripada mereka meletupkan diri sendiri dan seorang ditembak polis.

"Darah berlumuran dan mayat bergelimpangan di merata tempat. Kami dengar orang ramai terpekik-pekik ketakutan. Semua orang cuba melarikan diri.

"Mereka menahan 20 tebusan," kata Pierre Janaszak, seorang penyampai radio yang berada di konsert itu dan menyembunyikan diri bersama orang lain di sana.
Di utara Paris, sekurang-kurangnya lima terbunuh dalam tiga letupan berdekatan stadium negara Stade de France, tempat perlawanan bola sepak antara Perancis dan Jerman sedang berlangsung, menurut sumber keselamatan.

Salah satu letupan itu adalah serangan bom nekad, kata polis dan saksi. 

Presiden Francois Hollande yang sedang menyaksikan perlawanan itu, terpaksa dipindahkan segera.

"Serangan-serangan pengganas yang tidak pernah berlaku sebelum ini berlaku di kawasan Paris. Ia sesuatu yang menggerunkan," kata Hollande dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen ke seluruh Perancis.

Hollande mengisytiharkan keadaan darurat di seluruh negara dan membatalkan lawatan ke Turki untuk menghadiri puncak sidang G20 yang sepatutnya berlangsung hujung minggu ini.

Beliau juga mengarahkan semua pintu sempadan antarabangsa Perancis ditutup untuk menghalang dalang-dalang serangan daripada melarikan diri.

Laluan kereta api Metro Paris ditutup, sementara sekolah-sekolah, universiti dan bangunan perbandaran diarahkan ditutup hari ini.

Namun beberapa khidmat kereta api dan penerbangan dijangka berjalan terus.

Lagi 1,500 askar dikerahkan untuk membantu operasi polis di Paris, kata pejabat Presiden Hollande.

Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo pula menasihati penduduk supaya duduk di rumah.

Di tengah Paris, tembakan dilepaskan di luar sebuah restoran Kemboja di sebuah daerah dekat bandar.

Seramai 18 orang pula dibunuh apabila seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah pelanggan yang sedang menjamu selera di kawasan Charonne berdekatan restoran tersebut.

Terdapat juga laporan serangan tembakan di lokasi lain, termasuk pusat beli belah Les Halles.

Perancis berada di tahap kewaspadaan tinggi sejak serangan ke atas pejabat penerbitan Charlie Hebdo dan pasar raya Yahudi pada Januari lalu yang membunuh 17 orang.

Lebih 500 warga Perancis dipercayai menyertai IS di Syria dan Iraq, menurut perangkaan rasmi. 

Seramai 250 daripada mereka sudah pulang ke Perancis, manakala sekitar 750 lagi melahirkan keinginan untuk kembali ke Syria dan Iraq.

Perancis menyertai serangan udara pimpinan Amerika Syarikat ke atas militan IS di Iraq sejak lebih setahun lalu. Pada September lalu, ia mula melancarkan serangan bom ke atas para anggota militan di Syria.

Tiada ulasan:

Transkrip penuh temuramah KP SPRM Mohd Shukri:

"I want to see yo u cerita pengalaman i dalam siasatan kes  personal  1MDB.  Before i proceed I am gonna because, just now i got meet...