Sabtu, 14 November 2015

Enggan minta maaf, NOW gesa Jamil Khir terus terang


Post Pic

KUALA LUMPUR: Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir hari ini mempertahankan dakwaannya terhadap Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan tegas tidak mahu menarik balik kenyataannya atau memohon maaf kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu.
 
Katanya, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dengan membuat pendedahan berhubung dakwaan salahguna wang anak yatim di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim) dalam lawatan luar negara Jamil dan rombongannya tahun lepas.
 
Oleh itu, beliau tidak akan sesekali menarik dakwaannya itu atau membuat permohonan maaf terhadap Jamil sebaliknya berkata, menteri berkenaan yang sepatutnya memberi penjelasan kepada rakyat berhubung isu tersebut.
"Bukan saya yang ambil duit. Kalau saya nak minta maaf, saya tidak tahu nak minta maaf sebab apa.
 
"Kerana itu saya minta Jamil perjelaskan, kenapa beliau menggunakan duit tersebut," katanya pada sidang media di pejabat NOW di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
 
Akmal juga tegas mengatakan beliau tidak gentar dengan ugutan saman menteri terbabit kerana baginya Jamil mempunyai hak berbuat demikian.
 
"Seperti yang saya katakan, Jamil kena buat penjelasan. Kalau nak saman di mahkamah, itu hak dia.
 
"Namun saya ulangi semula, sebagai menteri, beliau mempunyai tanggungjawab menjelaskan perkara sebenar mengenai wang tersebut.
 
"Saya bukan suka-suka tuduh beliau. Namun, setiap bukti yang saya tampilkan semuanya menuju ke arah tersebut dan pencarum Yapeim berhak tahu ke mana duit mereka pergi," katanya.
 
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap Jamil yang menggesanya menarik balik dan membuat permohonan maaf terbuka kerana membuat dakwaan tersebut.
 
Akmal memberitahu satu sidang media pagi semalam, Yapeim didakwa menggunakan wang daripada tabung anak yatim bagi membiayai perbelanjaan seorang menteri dan isterinya serta rombongannya di Amerika Syarikat (AS) pada Mei 2014.
 
Beliau mendakwa, walaupun program tersebut bertujuan "pemantapan dan pemerkasaan" Kelab Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (Santun) Yapeim, namun ia bersifat suka ria dan langsung tiada amal jariah.
 
Katanya, rombongan menteri terbabit turut bermain golf dan mengunjungi pusat beli-belah 'upscale outlet' barangan berjenama yang terletak di Washington DC sebanyak 4 kali.
 
Bertindak balas, Jamil mengeluarkan satu kenyataan petang semalam menafikan dakwaan Akmal dan menggesa ketua cabang PKR Johor Baru itu memohon maaf dalam masa 24 jam atas tuduhan yang disifatkan menghancurkan kredibilitinya sebagai seorang menteri.
 
Akmal berkata hari ini, menteri terbabit tidak menafikan kebenaran bukti atau dokumen yang dikemukakannya dengan menjawab isu pokok adakah Jamil menggunakan wang tersebut membiayai lawatannya ke AS.
 
"Malah dalam kenyataan tersebut, Jamil mengesahkan sememangnya beliau pergi ke AS bagi tempoh 21 Mei, 2014 sehingga 29 Mei, 2014 dengan alasan sebagai sebahagian tugas dan tanggungjawab beliau selaku menteri di JPM," katanya.
 
Akmal berkata, tindakan Jamil yang tidak membuat penjelasan berhubung dakwaan tersebut menimbulkan beberapa persoalan.
 
"Apakah rasional penganjuran simposium perkahwinan dan kekeluargaan yang menelan kos melebihi setengah juta ringgit Malaysia dengan menggunakan wang Yapeim sedangkan hanya melibatkan 100 peserta?
 
"Mengikut kertas Yapeim (di bawah perkara cadangan 3.0), bayaran RM590,000 dituntut Pemangkin. Adakah benar Pemangkin bermaksud Yayasan Pembangunan Anak Yatim atau Miskin?
"Dan mengapa Yapeim ini terlibat dengan penganjuran program Jamil ke AS, dan tidak menggunakan peruntukan daripada JPM?," katanya.
 
Malah dalam pendedahan terbarunya berhubung isu tersebut, Akmal berkata, melalui dokumen cadangan kelulusan program oleh Yapeim itu, didapati yang menteri terbabit sepatutnya hanya hadir pada majlis penutup.
 
Manakala, jumlah kos penganjuran program diluluskan Yapeim adalah RM590,000, lebih tinggi daripada anggaran awal beliau sebelum ini, iaitu RM410,978.56. – 14 November, 2015.
 
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/enggan-minta-maaf-now-gesa-jamil-khir-terus-terang#sthash.H3ADNY1K.dpuf

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran