Sabtu, 7 November 2015

‘Baru hendak belajar berniaga sudah kena kambus’

Anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyerbu kedai-kedai vape dan merampas cecair vape bernikotin.

Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid memuat naik status itu di akaun Instagram miliknya, susulan serbuan ke atas kedai-kedai vape di seluruh negara yang mula dijalankan KKM sejak kelmarin.

"Tidak perlu buat rampasan secara drastik, memberi kenyataan seumpama 'mengugut', seperti vape ini perbuatan jenayah.
"Kaji semula dengan beberapa universiti tempatan dan buat perbandingan dengan universiti luar negara, keluarkan soal selidik dan sebagainya, barulah nampak 'kecerdikan' di situ," demikian status yang dimuat naik ke Instagram miliknya, pada Jumaat.

Beliau yang juga seorang pengguna rokok elektronik (e-rokok) turut mencadangkan pihak berkuasa mendekati golongan itu terlebih dahulu dan mencari penyelesaian bersama, sebelum mengambil tindakan terhadap peniaga vape.

"Dengan adanya fakta, tiada hati yang terguris. Benar periuk nasi mereka yang mengusahakan vape tertutup. Baru hendak belajar berniaga sudah kena kambus.

"Saya tampil untuk komen dengan tiada kepentingan peribadi, tiada agenda, cuma saya fikir sebelum bertindak," tulisnya.

Nurulhidayah turut berkongsi pendapatnya mengenai etika pengguna vape yang dianggap ‘menjengkelkan’ sehingga membawa kepada perspektif negatif orang ramai.

"Persoalan yang timbul adalah dari segi etika. Etika vapors itu sendiri kemungkinan 'menjengkelkan' bagi sesetengah orang yang terus membawa kepada perspektif negatif.

"Bagi saya, mengapa kerajaan tidak melakukan 'research' atau kajian mengenai vape dari sudut negatif dan positif? Rata-rata masyarakat kita perlu tahu dan didedahkan sedikit 'knowledge' atau fakta mengenai vape dan aktiviti ber'vape' ini," ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran