Jumaat, 26 September 2025
Tidak layak BUDI95: Loke wajar perincikan beza lesen tamat tempoh, dibatalkan atau ditarik balik
SEMALAM, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan kira-kira 2.4 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) di negara ini kini berada dalam status “tidak aktif”, kerana lesen mereka telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.
Dengan itu menurutnya, mereka ini secara “automatik” akan hilang kelayakan untuk subsidi petrol RON95 melalui program BUDI95.
Pernyataan sebegini menimbulkan persoalan serius dari segi keadilan sosial, keberkesanan dasar, implikasi praktikal serta kemungkinan kesilapan dalam data atau interpretasi.
Artikel ini bertujuan mengkritisi kenyataan tersebut, bukan semata-mata untuk menyanggah, tetapi juga untuk memperjelas potensi masalah, kekaburan dan cadangan pembetulan agar dasar itu lebih adil dan berkesan.
Terdapat beberapa keraguan yang boleh dipersoalkan berhubung kenyataan pemimpin DAP itu.
Antaranya, pertama, ketidakjelasan dan kekaburan data, iaitu asas angka 2.4 juta tidak dijelaskan secara tuntas, malah sekadar menyebut jumlah itu adalah pemegang CDL dalam status tidak aktif kerana lesen mereka telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.
Beliau langsung tidak memberi pecahan umur lesen. Contohnya, berapa ramai membaca lebih tiga hingga lima tahun, lima hingga 10 tahun atau lebih dari 10 tahun.
Tanpa pecahan ini, sukar memastikan sama ada semua golongan itu benar-benar harus dikeluarkan dari subsidi.
Status “tidak aktif” dalam sistem mungkin tidak bermaksud “terhapus hak” secara automatik. Hanya kerana data sistem menunjukkan ‘tidak aktif’, tidak bermaksud secara logik mereka semua layak disingkirkan subsidi.
Ada kemungkinan sistem pengkalan data (sistem JPJ atau sistem Kementerian Kewangan) tidak sepenuhnya dikemas kini atau terdapat kelewatan pemprosesan. Tanpa audit bebas dan telus ke atas data tersebut, kenyataan bahawa “semua 2.4 juta itu hilang kelayakan” adalah terlalu menyeluruh.
Perbezaan antara lesen “tamat tempoh” dan lesen “dibatalkan” atau “ditarik balik”. Tamat tempoh tidak semestinya sama dengan dibatalkan.
Seorang pemegang lesen yang tidak memperbaharui selama lebih tiga tahun bukanlah secara automatik “disingkirkan” secara tetap jika mekanisme perbaharuan masih ada (meskipun memerlukan ujian semula).
Model dasar yang menyetarakan tamat tempoh tiga tahun dengan nasib “cekak subsidi” mungkin terlalu kaku dan tidak mengambil kira realiti praktikal.
Isu keadilan sosial dan implikasi beban. Golongan berpendapatan rendah dan kurang akses mudah akan terjejas lebih teruk.
Mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, atau yang tidak biasa melakukan pembaharuan elektronik atau melalui kaunter, mungkin terlambat memperbaharui lesen.
Mengeluarkan subsidi mereka kerana kelewatan, bukan kerana pengabaian sengaja berpotensi membebankan golongan yang paling terdedah dengan kenaikan harga bahan api.
“Hukum mati” adalah dasar sangat keras. Seolah tiada ruang budi bicara, dengan menyatakan semua yang lewat melebihi tiga tahun akan automatik disingkirkan subsidi memberi impresi bahawa tiada pengecualian atau proses rayuan.
Ini boleh menimbulkan ketidakadilan, terutama jika ada sebab munasabah. Sebagai contoh, kesihatan, bencana, kekangan luar biasa yang menghalang mereka daripada mempembaharui lesen.
Risiko “hukuman ganda”. Kehilangan subsidi dan perlu ambil semula ujian memandu. Anthony Loke juga menyebut mereka yang melebihi tiga tahun mungkin wajib menduduki semula ujian KPP II & III (praktikal) sebagai syarat mengaktifkan semula CDL.
Ini bermakna, bukan sahaja subsidi mereka dipotong, tetapi mereka perlu menanggung kos dan kesukaran baru untuk mendapatkan semula lesen.
Jika dasar itu tidak disertakan mekanisme bantuan kewangan atau pengecualian, ia boleh menjadi beban berganda kepada rakyat.
Ketidakselarasan dengan objektif dasar BUDI95 dan prinsip penyasaran. Konsep subsidi yang disasarkan, bukan menyekat subsidi atas sebab formalistik.
Tujuan asas BUDI95 ialah memastikan subsidi bahan api diberikan kepada golongan yang memerlukan, dengan mekanisme sasaran.
Menolak subsidi atas sebab kelayakan rasmi, kerana lesen tamat tempoh sah, tetapi jika pelaksanaan terlalu rigid dan tidak mempertimbangkan realiti rakyat, ia boleh menyimpang dari semangat “subsidi untuk rakyat”.
Dasar seharusnya membentuk keseimbangan, iaitu mengecualikan penyalahgunaan, tetapi tidak menjerat mereka yang secara tak sengaja tertangguh.
Kesan “paksaan pembaharuan” yang berlebihan. Dengan memberi tekanan bahawa mereka yang tidak memperbaharui dalam tiga tahun akan kehilangan subsidi, dasar ini mendorong pembaharuan segera, tetapi ia juga boleh dilihat sebagai paksaan berlebihan dan berpotensi mencetuskan ketidakpuasan jika rakyat merasakan dipaksa.
Bagi banyak orang, pembaharuan lesen bukanlah keutamaan bulanan, tekanan sebegini boleh dianggap “pungutan tak langsung”.
Sistem integrasi data antara JPJ dan Kementerian Kewangan harus diuji. Untuk menyekat subsidi secara automatik kepada mereka yang tak layak berdasarkan status lesen, sistem data JPJ dan sistem subsidi MOF harus berfungsi dengan tepat dan tanpa sela masa yang memalapkan data sebenar.
Jika sistem sifar kelewatan tidak dijamin, ada kemungkinan seseorang yang baru memperbaharui lesen masih dianggap “tidak aktif”, sementara data belum dikemas kini, menyebabkan kehilangan subsidi sementara yang tidak adil.
Setelah pengumuman BUDI95 dan syarat baru, JPJ mencatat banyak transaksi pembaharuan, iaitu 26,991 dalam masa singkat. Jika semua 2.4 juta orang perlu diperbaharui atau melakukan ujian semula, beban ke atas sistem JPJ sangat besar.
Tanpa persiapan rapi, mungkin timbul kelemahan operasi, kesesakan atau kegagalan sistem, yang pada akhirnya merugikan rakyat yang ingin mematuhi.
Justeru, untuk menjadikan dasar yang lebih adil dan boleh diterima ramai, berikut beberapa cadangan agar kenyataan dan pelaksanaan Anthony Loke tidak menjerat rakyat yang tidak bersalah:
Pertama, data terbuka dan audit bebas. Kerajaan perlu mendedahkan pecahan data sebenar melibatkan umur tamat tempoh, statistik mengikut negeri, pecahan tempoh.
Audit bebas oleh badan bebas seperti akauntabiliti atau agensi anti-rasuah boleh memastikan data tidak tertakluk kepada manipulasi politik. – POJOK ND 26 September 2025
Isu RUU URA: Antara Kepentingan Rakyat dan Kepentingan Pemodal
CADANGAN kerajaan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (URA) telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada rakyat dan organisasi masyarakat sivil.
Salah satu respons yang paling ketara adalah perhimpunan bantahan yang dijadualkan pada 4 Oktober ini, anjuran Parti Pas, yang menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap implikasi sosial dan ekonomi daripada RUU itu.
Bagi rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 yang menghuni kawasan lama atau penempatan bandar berpendapatan rendah, RUU ini tidak dilihat sebagai usaha membangunkan semula kawasan terbengkalai, tetapi lebih kepada satu pendekatan untuk menggantikan penduduk asal dengan kelompok yang lebih berkemampuan, iaitu golongan T20 atau pelabur hartanah.
Persepsi ini diperkuatkan dengan ketiadaan perincian dalam draf awal berhubung perlindungan hak penghuni asal, proses penggantian tempat tinggal serta pampasan yang adil.
Ramai menyifatkan RUU ini sebagai satu strategi “halus” untuk mengalihkan komuniti miskin dari kawasan strategik bandar, yang berpotensi tinggi untuk pembangunan komersial.
Dengan kata lain, mereka merasakan seolah kerajaan sedang menukar “butang tempat duduk”, mengalihkan tempat golongan berpendapatan rendah untuk memberi laluan kepada pemaju dan pelabur kelas atasan.
Kecurigaan ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja, lebih lagi apabila kerajaan tidak memberikan penjelasan menyeluruh mengenai mekanisme perlindungan sosial yang akan disediakan dalam pelaksanaan RUU ini.
Jika benar kerajaan berniat untuk membela rakyat dan membangunkan semula bandar secara inklusif, fokus utama seharusnya diberikan kepada masalah sebenar yang telah lama menghantui rakyat ialah projek perumahan terbengkalai.
Sehingga hari ini, ribuan pembeli rumah masih terperangkap dalam situasi menyedihkan. Mereka menanggung beban hutang bank untuk projek perumahan yang tidak pernah siap.
Lebih malang lagi, pemaju bertanggungjawab tidak dikenakan tindakan tegas yang setimpal. Kerajaan sewajarnya menggubal satu RUU khusus untuk menangani isu ini, termasuk:
Memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menyita aset dan harta pemaju yang gagal.
Menetapkan tanggungjawab pampasan kepada pembeli melalui dana khas atau obligasi undang-undang.
Menyediakan saluran penyelesaian pantas kepada pembeli terjejas melalui tribunal khas perumahan.
Mewujudkan mekanisme audit ketat dan pemantauan berkala terhadap kemajuan projek perumahan oleh pemaju.
Langkah seperti ini lebih mencerminkan hasrat kerajaan yang benar-benar ingin membela nasib rakyat terbanyak, bukan sekadar mengutamakan pembangunan fizikal yang menguntungkan syarikat pemaju semata-mata.
Nga Kor Ming dari DAP, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal perumahan dan kerajaan tempatan hari ini, atau mantan-mantan menteri dari kerajaan yang terdahulu dan menteri dari kerajaan akan datang, harus memberi perhatian serius terhadap suara-suara bantahan ini.
Kegagalan menangani persepsi negatif dan kekeliruan rakyat terhadap RUU ini akan hanya menambah jurang ketidakpercayaan antara kerajaan dan rakyat.
Malah, dalam konteks demokrasi yang sihat, bantahan rakyat bukan sekadar harus dihormati, tetapi juga dijadikan penanda aras untuk memperbaiki dasar yang bakal digubal.
Dialog terbuka, perundingan awam yang inklusif dan ketelusan maklumat merupakan prasyarat minimum bagi mana-mana dasar yang menyentuh hak tempat tinggal dan kesejahteraan rakyat.
Justeru, adalah tidak wajar bagi kerajaan melaksanakan RUU ini secara tergesa-gesa tanpa memahami denyut nadi masyarakat akar umbi.
Pembangunan semula bandar bukan hanya soal bangunan yang moden dan tersusun. Ia adalah soal keadilan sosial, kelangsungan komuniti dan hak asasi untuk hidup secara bermaruah di tanah sendiri.
Apa jua RUU yang bakal digubal oleh kerajaan haruslah mengambil kira dimensi kemanusiaan ini. Jika tidak, pembangunan yang dilaksanakan hanya akan menjadi simbol ketidaksaksamaan, mencantikkan fizikal bandar sambil mengabaikan isi hatinya rakyat.
Kerajaan harus menunjukkan bahawa pembangunan dan keadilan sosial boleh bergerak seiring, bukan bertentangan. – POJOK ND 25 September 2025
Perpecahan dan “Payung Besar”: Mengapa Tun Mahathir Benar dalam Membaca Politik Melayu
DALAM satu kenyataan baru-baru ini, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyuarakan kebimbangan mengenai kewujudan terlalu banyak “payung besar” dalam politik Melayu.
Beliau menyifatkan fenomena ini sebagai satu masalah besar yang menghalang penyatuan dan kekuatan sebenar orang Melayu dalam arena politik tanah air.
Bagaimanapun, pandangan ini ditolak oleh seorang penganalisis politik, Felo Majlis Profesor Negara, Dr. Azmi Hassan, yang berhujah bahawa bukan jumlah “payung besar” menjadi punca sebenar perpecahan, tetapi pendekatan berbeza yang diambil oleh pelbagai entiti politik Melayu yang kononnya berkongsi objektif sama.
Namun demikian, jika kita menilai secara jujur dan menyeluruh landskap politik semasa, dapat kita simpulkan bahawa kenyataan Tun Dr. Mahathir lebih tepat dan realistik dalam membaca situasi sebenar.
Kewujudan terlalu banyak “payung besar” atau lebih tepatnya parti politik Melayu, bukan sekadar kesan daripada perpecahan, tetapi ia adalah perpecahan itu sendiri dalam bentuk yang paling nyata.
Salah satu hujah utama Dr. Azmi ialah bahawa parti-parti Melayu hari ini masih memperjuangkan matlamat yang sama, iaitu mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu, cuma mereka berbeza dari segi pendekatan.
Ini adalah satu pandangan yang nampak ideal, tetapi amat bercanggah dengan realiti politik semasa. Sekiranya benar mereka berkongsi matlamat yang sama, mengapa perlu tubuh parti baharu setiap kali berlaku pertikaian dalaman?
Dalam politik Malaysia, terutamanya politik Melayu, kita telah menyaksikan siri perpecahan yang membawa kepada penubuhan pelbagai parti baharu.
Lihat sahaja bagaimana UMNO yang merupakan tulang belakang politik Melayu selama berdekad-dekad akhirnya dipecahkan kepada serpihan-serpihan kecil seperti Parti Semangat 46, Parti Keadilan Nasional (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pejuang dan terkini, parti kecil seperti Putra dan MUDA.
Semua ini ditubuhkan bukan kerana perbezaan dasar atau ideologi yang ketara, tetapi lebih kepada ketidakpuasan terhadap kepimpinan, isu integriti dalaman dan pertembungan kuasa peribadi.
Oleh itu, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa jumlah “payung besar” yang banyak bukan satu masalah.
Kewujudan terlalu banyak parti Melayu itu sendiri adalah bukti bahawa perpecahan sudah menjadi budaya dalam politik Melayu, bukan sekadar perbezaan pendekatan yang boleh disatukan semula.
Kita tidak boleh menilai isu ini secara teori semata-mata. Kita perlu melihat kesan langsung kepada pola pengundian dan pembentukan kerajaan.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), undi Melayu berpecah kepada pelbagai arah. UMNO, PAS, Bersatu, Pejuang, PKR (sayap Melayu) dan lain-lain semuanya bersaing di kerusi majoriti Melayu. Akibatnya, tiada satu parti Melayu yang benar-benar dominan.
Lebih buruk, perpecahan ini membuka ruang kepada parti bukan Melayu untuk memainkan peranan sebagai “kingmaker”, dengan memegang jumlah kerusi yang konsisten dalam keadaan parti Melayu bertelagah sesama sendiri.
Maka persoalan besar timbul, jika semua parti Melayu memperjuangkan matlamat sama, mengapa mereka tidak boleh bersatu di bawah satu platform demi survival politik bangsa?
Inilah yang dimaksudkan oleh Tun Dr. Mahathir, terlalu banyak payung besar menyebabkan tiada siapa dapat berteduh dengan benar-benar selamat.
Setiap payung kecil cuba menarik perhatian pengundi, tetapi akhirnya tiada satu pun yang mampu memberikan perlindungan menyeluruh. Yang untung adalah lawan politik mereka, bukan orang Melayu itu sendiri.
Satu lagi kekeliruan dalam hujah penganalisis tersebut ialah anggapan bahawa pendekatan berbeza boleh membawa kepada matlamat sama tanpa perlu bersatu dalam struktur organisasi yang padu.
Dalam teori, ini mungkin logik. Tetapi dalam realiti politik, kekuatan bukan hanya datang dari niat, tetapi daripada struktur organisasi yang mampu menyalurkan kuasa secara berkesan.
Contohnya, Pas dan UMNO pernah cuba bersatu dalam Muafakat Nasional (MN). Namun, disebabkan kegagalan membina struktur penyatuan yang stabil, gabungan itu berakhir dengan kekecewaan.
Begitu juga dengan Pakatan Harapan (PH) yang sering menghadapi cabaran dalaman walaupun berkongsi matlamat besar.
Perjuangan politik tidak cukup dengan retorik “kita sama-sama mahu bantu Melayu”. Ia memerlukan kompromi, disiplin politik dan kesediaan untuk mengorbankan sedikit kuasa peribadi demi agenda lebih besar.
Apabila tiada elemen ini, maka lahirlah parti-parti baharu setiap kali berlaku konflik dan payung-payung besar yang baru ditegakkan, walaupun sebenarnya sudah tiada siapa mahu berteduh di bawahnya.
Hakikatnya, bangsa Melayu kini berhadapan dengan satu cabaran besar dalam mengekalkan kuasa politik mereka, bukan kerana mereka kehilangan sokongan rakyat, tetapi kerana mereka terlalu berpecah-belah.
Politik Melayu yang terlalu terpecah ini akhirnya menjadikan suara mereka lemah, terutamanya dalam perbincangan dasar di peringkat nasional.
Kita perlu sedar, perpecahan bukan hanya melemahkan kekuatan pilihan raya, tetapi juga menjejaskan kepercayaan rakyat kepada sistem politik itu sendiri.
Pengundi Melayu semakin muak dengan pertelingkahan antara parti-parti Melayu yang nampaknya lebih mementingkan kepentingan peribadi dan puak, berbanding kepentingan bangsa secara kolektif.
Tidak dinafikan, Tun Dr. Mahathir bukan tokoh yang bebas daripada kontroversi atau kesilapan dalam perjalanan politiknya.
Namun, dalam isu ini, beliau menunjukkan ketelusan dan ketajaman dalam membaca realiti politik Melayu yang semakin lemah akibat terlalu banyak parti dan terlalu banyak ego.
Penganalisis boleh mengatakan bahawa ini semua hanyalah perbezaan pendekatan, tetapi rakyat melihat dengan mata mereka sendiri bagaimana perpecahan ini menghasilkan lebih banyak perbalahan, bukannya penyelesaian.
Maka, jalan ke hadapan bukan dengan merelakan kewujudan terlalu banyak “payung besar”, tetapi dengan mencari mekanisme penyatuan yang mampu membina kembali kekuatan Melayu dalam politik negara.
Jika tidak, kita akan terus melihat bangsa yang ramai, tetapi berpecah, kuat di suara tetapi lemah dalam tindakan, dan akhirnya, semua akan terpinggir di tanah air sendiri.
Nota Penulis: Artikel ini bertujuan membangkitkan kesedaran mengenai realiti politik Melayu hari ini dan perlunya satu penyatuan struktur yang benar, bukan hanya penyatuan retorik. Tanpa keikhlasan politik dan kesediaan untuk berkompromi, “payung besar” akan terus bertambah, dan Melayu akan terus kehujanan dalam negara mereka sendiri. – ND
“Itu Hanya Pandangan Peribadi” – Budaya Menafikan Realiti dan Menutup Ruang Wacana Sihat
SETIAP kali ada pandangan, cadangan atau kenyataan yang sedikit berbeza daripada pendirian rasmi sesebuah kementerian, agensi atau organisasi, pasti akan muncul kenyataan balas yang berbunyi, “itu hanyalah pandangan peribadi, tidak mewakili institusi”.
Ia seolah menjadi satu frasa selamat yang digunakan untuk memisahkan institusi daripada sebarang risiko kritikan atau penolakan awam.
Namun, dalam konteks pentadbiran moden dan komunikasi terbuka, adakah pendekatan ini masih relevan? Apakah kesannya terhadap budaya bersuara, wacana dasar awam, dan keberanian menyuarakan kebenaran dalam kalangan pemimpin pertengahan?
Sebagai contoh, baru-baru ini Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengeluarkan kenyataan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di negeri itu berlaku secara suka sama suka.
Beliau turut menyentuh isu kelemahan perundangan sedia ada yang hanya membenarkan pendakwaan terhadap lelaki, walaupun dalam kes di mana hubungan tersebut berlaku secara rela antara dua remaja bawah umur.
Kenyataan ini membuka dimensi penting dalam isu keadilan perundangan dan realiti sosial.
Namun, sebagaimana biasa, reaksi sebahagian pihak bukan untuk meneliti kenyataan itu, tetapi menjarakkan institusi daripada kenyataan tersebut dengan menyatakan ia sebagai “pandangan peribadi”.
Fenomena ini bukan asing dalam pentadbiran kita. Ia mencerminkan satu budaya birokrasi yang terlalu berhati-hati, takut dikritik dan lebih selesa untuk mempertahankan status quo.
Menafikan pandangan atas alasan ia “tidak mewakili institusi” menjadi jalan pintas untuk mematikan perbincangan lanjut, walaupun pandangan itu datang daripada individu yang berautoriti dan berpengalaman.
Sikap seperti ini bukan sahaja tidak membantu, malah melemahkan semangat keterbukaan dalam kalangan pegawai perkhidmatan awam dan profesional kerajaan.
Ia menghantar mesej bahawa sistem tidak meraikan kejujuran atau keberanian menyuarakan realiti lapangan, sebaliknya hanya menghargai pandangan yang selari dengan pendirian rasmi.
Lebih parah, ia mewujudkan suasana di mana pegawai takut untuk memberikan cadangan berbeza, bimbang disisih atau dipersalahkan. Akhirnya, hanya suara yang “selamat” dan “menyenangkan” akan didengari, manakala suara berani dan membina akan terus terpinggir.
Dalam isu yang dibangkitkan oleh Ketua Polis Kelantan, terdapat beberapa perkara penting yang sewajarnya diteliti secara objektif, iaitu data dan realiti lapangan.
Jika benar hampir 90 peratus kes rogol bawah umur berlaku atas dasar suka sama suka, maka ia menandakan satu corak sosial yang serius dan memerlukan pendekatan dasar yang menyeluruh, bukan sekadar hukuman semata-mata.
Kelompongan Undang-undang: Undang-undang Malaysia hanya membenarkan pendakwaan terhadap lelaki dalam kes hubungan bawah umur, walaupun ada kalanya kedua-dua pihak bawah umur dan rela melakukannya.
Situasi ini boleh dianggap tidak adil dari sudut keadilan sejagat dan perlu dinilai semula agar lebih seimbang.
Keperluan Semakan Semula Polisi dan Pendidikan: Adakah sistem pendidikan kita memberi kefahaman mencukupi mengenai seksualiti, tanggungjawab dan kesan undang-undang terhadap perbuatan yang dilakukan oleh remaja? Atau adakah kita lebih selesa untuk menghukum semata-mata tanpa memperbetulkan puncanya?
Semua persoalan ini hanya boleh dijawab jika kita bersedia untuk membuka ruang wacana yang matang dan terbuka.
Namun, jika setiap pandangan yang mencabar naratif rasmi ditolak sebagai “tidak mewakili organisasi”, bagaimana mungkin perbincangan sihat itu dapat berlangsung?
Sikap terbuka terhadap pandangan berbeza bukan tanda kelemahan politik. Sebaliknya, ia mencerminkan kematangan, keyakinan dan kesediaan untuk menambah baik sistem.
Rakyat hari ini tidak lagi menerima jawapan selamat tanpa analisis mendalam. Mereka menuntut pemimpin yang mendengar, meneliti dan berani menilai semula dasar apabila perlu.
Pemimpin politik dan pentadbiran seharusnya mengambil pendekatan yang lebih inklusif. Jika terdapat pandangan atau kenyataan daripada pegawai atau ketua jabatan, jangan terburu-buru menjarakkan diri.
Sebaliknya, nyatakan bahawa pandangan itu akan diteliti dan dibincangkan, serta dipertimbangkan dalam semakan polisi yang berterusan.
Ini bukan sahaja akan memperlihatkan kematangan kepimpinan, malah akan memulihkan keyakinan rakyat bahawa negara ini benar-benar meraikan kepelbagaian pandangan dan idea.
Sudah tiba masa kita mengakhiri budaya retorik “itu hanya pandangan peribadi”. Ia bukan sahaja lapuk, tetapi melemahkan budaya pentadbiran yang progresif.
Jika pandangan yang jujur, berpaksikan realiti dan disuarakan oleh pihak berwibawa pun tidak diberi perhatian sewajarnya, maka kepada siapa lagi kita mahu harapkan suara kebenaran?
Negara ini memerlukan lebih banyak keberanian untuk bercakap benar, dan lebih banyak pemimpin yang bersedia mendengar walaupun apa yang didengar itu tidak menyenangkan.
Hanya dengan cara itu kita mampu membina dasar yang lebih adil, undang-undang yang lebih seimbang dan sistem pentadbiran yang benar-benar berjiwa rakyat. - POJOK ND 24 September 2025
Janji Politik Menjelang PRN Sabah – Antara Strategi Realpolitik dan Harapan Pengundi
MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir, pentas politik negeri itu kembali menyaksikan fenomena yang tidak asing dalam demokrasi pilihan raya, iaitu pesta janji.
Sama ada daripada pihak kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahupun daripada blok pembangkang yang hendak merampas semula tampuk kuasa.
Janji-janji yang ditaburkan membawa pelbagai nada seperti pembangunan, penyatuan kaum, hak autonomi dan keterangkuman.
Di tengah sorotan ini, satu janji yang telah mencuri tumpuan ialah kenyataan Ketua Menteri Hajiji yang berikrar akan melantik seorang wakil rakyat Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri sekiranya parti beliau, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya memperoleh kemenangan majoriti dan membentuk kerajaan negeri yang stabil.
Janji ini, walaupun kelihatan sederhana, sebenarnya sarat dengan makna politik yang lebih besar dan memerlukan pemerhatian lebih kritis daripada rakyat Sabah.
Apakah janji ini benar-benar menggambarkan komitmen terhadap keterangkuman dan penyertaan pelbagai etnik dalam pemerintahan negeri?
Atau adakah ia hanya strategi taktikal untuk meraih sokongan pengundi bandar, khususnya pengundi Cina yang dilihat semakin kritikal dan pragmatik dalam membuat keputusan?
Sabah antara negeri paling majmuk di Malaysia. Komposisi kaum yang rencam termasuk Kadazan-Dusun-Murut (KDM), Bajau, Melayu, Bugis, Cina dan pelbagai lagi kumpulan etnik kecil menjadikan politik negeri itu bersifat unik dan tidak mudah dijangka.
Dalam konteks ini, komuniti Cina walaupun bukan kumpulan majoriti, tetap memainkan peranan signifikan dalam politik Sabah, terutamanya di kerusi-kerusi bandar dan separa bandar seperti di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, dan Penampang.
Oleh itu, janji Hajiji untuk melantik wakil dari kaum Cina bukanlah janji kosong dari segi strategi politik. Ia adalah langkah berkira dan berstrategi, satu pengiktirafan terhadap pengaruh pengundi Cina dan satu isyarat kepada pengundi bahawa GRS bersedia membuka ruang kepada keterwakilan yang lebih seimbang.
Namun, rakyat Sabah tidak seharusnya menerima janji ini tanpa penilaian mendalam. Janji seperti ini telah berkali-kali diulang dalam sejarah politik Malaysia, dan lebih-lebih lagi di Sabah, janji berunsur keterangkuman kaum sering digunakan sebagai modal politik menjelang pilihan raya, namun jarang ditunaikan sepenuhnya selepas menang.
Persoalan paling penting yang wajar diajukan oleh rakyat ialah mengapa janji ini hanya muncul menjelang PRN?
Jika keterangkuman kaum merupakan prinsip yang benar-benar dipegang oleh pimpinan GRS, mengapa tidak dilaksanakan ketika sudah pun memiliki kuasa sejak Pilihan Raya Negeri 2020?
Lebih daripada sekadar satu lantikan simbolik, penyertaan wakil dari mana-mana kaum seharusnya disusuli dengan peranan bermakna dalam proses membuat keputusan.
Apakah peranan yang akan diberi? Adakah suara mereka akan didengar dalam penggubalan dasar? Adakah perwakilan kaum lain dalam pentadbiran negeri akan diperkukuh secara menyeluruh, bukan hanya dalam Kabinet, malah dalam agensi kerajaan negeri, GLC dan institusi-institusi utama lain?
Realiti politik Sabah memerlukan lebih daripada simbolisme. Ia menuntut pelan tindakan menyeluruh untuk memastikan setiap kaum di Sabah bukan sahaja diwakili secara adil, tetapi turut mempunyai ruang membentuk masa depan negeri secara bermakna.
Di pihak pembangkang pula, termasuk Warisan, Pakatan Harapan Sabah dan parti-parti lain, janji yang dibawa juga berkisar kepada pembaharuan, keadilan sosial dan pembangunan yang lebih adil.
Namun, reaksi mereka terhadap janji Hajiji dilihat agak tipikal, menolak mentah-mentah dan mendakwa ia sekadar janji kosong.
Hakikatnya, pembangkang juga perlu tampil dengan komitmen yang jelas, apakah dasar keterangkuman kaum yang mereka tawarkan? Apakah bentuk struktur pentadbiran yang akan mereka laksanakan untuk memastikan kaum minoriti seperti Cina, India dan kumpulan bumiputera kecil lain tidak terpinggir dalam proses kerajaan?
Dalam demokrasi yang matang, perdebatan mengenai keterwakilan kaum bukan hanya berlaku di peringkat retorik, tetapi perlu disusuli dengan cadangan dasar yang praktikal, telus dan boleh diukur.
PRN Sabah bukan sekadar medan untuk menabur janji, tetapi medan untuk rakyat menilai kejujuran dan integriti para pemimpin. Rakyat Sabah sudah lama dihimpit isu-isu besar seperti kemiskinan luar bandar, pembangunan infrastruktur yang tidak sekata, pengangguran belia, masalah dokumentasi penduduk tanpa warganegara serta kelemahan dalam sistem penyampaian kerajaan.
Dalam konteks ini, janji melantik pemimpin Cina ke dalam Kabinet Negeri hanyalah sebahagian kecil daripada persoalan yang lebih besar, adakah kita menuju ke arah pentadbiran negeri yang benar-benar inklusif, berkecekapan tinggi dan menjunjung prinsip keadilan sosial untuk semua kaum?
Janji politik hanyalah kata-kata sehingga dibuktikan dengan tindakan. Dan rakyat Sabah, pengundi yang semakin bijak, celik maklumat dan kritikal harus menuntut bukan sekadar janji, tetapi pelan tindakan, pelaksanaan dan pertanggungjawaban.
Jika politik Sabah ingin berubah daripada permainan kuasa kepada pentadbiran yang benar-benar berfungsi dan inklusif, maka semua pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang mesti mula mengangkat politik nilai, bukan sekadar politik jumlah.
Janji Hajiji untuk melantik pemimpin Cina ke dalam kabinet negeri hanya akan mempunyai makna jika ia dilihat sebagai sebahagian daripada perubahan struktur yang lebih menyeluruh dan berasaskan prinsip keadilan.
Jika tidak, ia akan terus kekal sebagai satu lagi janji bermusim, yang dilupakan sebaik sahaja kotak undi ditutup.
Rakyat Sabah layak mendapat kerajaan yang adil, inklusif dan bertanggungjawab. PRN ini adalah peluang untuk menuntutnya. – POJOK ND 23 September 2025
Di Mana UMNO Ketika Kampung Sungai Baru Bergolak?
KAMPUNG Sungai Baru, sebuah penempatan Melayu tradisi di tengah kota raya Kuala Lumpur kini menjadi medan pertarungan antara penduduk asal, pemaju dan kerajaan.
Isu pengusiran yang berlarutan, melibatkan penduduk yang mendakwa diusir secara keras untuk memberi laluan kepada pembangunan mewah telah mencetuskan persoalan besar, di manakah UMNO, parti yang selama ini mengangkat slogan Melayu dibela, Islam dimartabatkan?
Kampung Sungai Baru bukan sekadar deretan rumah kayu lama. Ia mencerminkan sejarah komuniti Melayu bandar yang bertahan lebih setengah abad.
Penduduk di sini membina kehidupan, mengekalkan tradisi dan mewariskan nilai kejiranan kepada generasi baharu. Bagaimanapun, dengan status tanah pajakan dan desakan pembangunan pesat, kampung ini menjadi sasaran projek hartanah bernilai bilion ringgit.
Penduduk mendakwa proses pengambilan tanah tidak telus, pampasan tidak seimbang, malah kaedah pengusiran melibatkan kekerasan pihak berkuasa. Protes aman yang diadakan beberapa kali menyaksikan insiden kecederaan, menambah luka pada komuniti yang sedia tertekan.
UMNO selama puluhan tahun tampil sebagai “payung Melayu,” mendakwa mempertahan hak tanah, warisan dan maruah bangsa. Namun, dalam isu ini, suara parti yang bukan lagi dianggap keramat bagi orang Melayu, sudah hampir tenggelam.
Di peringkat pusat, kenyataan dikeluarkan lebih bersifat umum, tanpa pendirian tegas terhadap tindakan pengusiran. Pemimpin tempatan pula dilihat lebih sibuk berpolitik dalaman daripada mendengar keluhan rakyat kampung.
Tiada sidang media besar, tiada suara lantang mendesak kerajaan campur tangan secara serius, melainkan sekadar kenyataan biasa yang tidak menyentuh akar masalah.
Pihak pemaju dan kerajaan berhujah bahawa projek pembangunan akan memodenkan kawasan itu dan memberi pulangan ekonomi. Namun, pembangunan tanpa keadilan sosial hanyalah peminggiran yang dilabel kemajuan.
Apakah pembangunan yang mengorbankan warisan Melayu sendiri selari dengan visi Melayu diperkasa yang UMNO laungkan?
Jika kampung Melayu di tengah ibu kota pun gagal dipertahankan, bagaimana nasib kampung tradisi lain yang jauh dari perhatian media?
Isu Kampung Sungai Baru ialah ujian keikhlasan UMNO sebagai parti bangsa. Jika benar mahu membela Melayu, inilah masanya untuk menekan kerajaan agar menangguhkan pengusiran sehingga rundingan pampasan adil selesai.
Mengiktiraf status warisan kampung sebagai tapak budaya dan menjamin perumahan setara bagi penduduk asal dalam projek baharu.
Tanpa tindakan berani, UMNO berisiko dilihat hanya lantang ketika kempen pilihan raya, tetapi sunyi ketika rakyat benar-benar memerlukan.
Kampung Sungai Baru bukan sekadar pertikaian tanah. Ia cermin sikap politik semasa, adakah kepentingan rakyat marhaen diutamakan atau hanya retorik untuk undi?
UMNO perlu menjawab dengan perbuatan, bukan sekadar kata-kata. Jika tidak, slogan Melayu dibela akan kekal sebagai sejarah yang kian pudar, sama seperti kampung yang mungkin lenyap dari peta Kuala Lumpur. - POJOK ND 14 September 2025
Pengusiran Kg. Sungai Baru: Salah Siapa?
ISU Isu pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di Kuala Lumpur semalam (11 September 2025), mencetuskan perdebatan hangat.
Persoalan utama yang berlegar ialah siapakah sebenarnya yang harus dipersalahkan. Penduduk, pemaju atau kerajaan?
Kampung Sungai Baru adalah satu kawasan penempatan Melayu tradisi yang menjadi sasaran pembangunan semula selepas kerajaan meluluskan projek perumahan bercampur bernilai berbilion ringgit.
Namun, proses pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) didakwa tidak telus apabila sebahagian penduduk menolak tawaran pampasan yang dianggap tidak setimpal dengan nilai pasaran dan sejarah penempatan mereka.
Penduduk menegaskan, mereka bukan menolak pembangunan secara mutlak, tetapi menuntut pampasan yang adil dan rundingan telus.
Mereka berpegang kepada hak milik tanah yang sah. Namun, ada pihak berhujah bahawa sebahagian pemilik mungkin terlalu mengekalkan pendirian tanpa kompromi sehingga proses rundingan buntu.
Pemaju projek pula dilihat terdesak untuk mematuhi jadual dan kontrak komersial. Kritikan tertumpu kepada cara mereka berunding, dakwaan komunikasi lemah, tekanan masa dan tawaran pampasan rendah.
Sesetengah badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan penduduk dan melihat kaedah digunakan tidak adil, menyifatkan pendekatan pemaju lebih menekan daripada berunding.
Sebagai pemegang kuasa APT, kerajaan Wilayah Persekutuan dan kementerian berkaitan memikul tanggungjawab paling besar. Kritikan utama ialah kegagalan menyediakan proses rundingan yang adil, kurang telus dalam menilai pampasan dan membenarkan pengusiran paksa berlaku tanpa penyelesaian menyeluruh.
Malah, tindakan penguatkuasaan yang keras sehingga berlaku kecederaan, termasuk kepada pegawai kanan polis menjejaskan imej kerajaan.
Isu ini bukan hitam putih. Penduduk mempertahankan hak, pemaju mengejar keuntungan, manakala kerajaan berperanan sebagai penjaga kepentingan awam, tetapi didakwa tidak cukup tegas mengimbangi kedua-duanya.
Kegagalan utama tampak pada aspek proses dan komunikasi iaitu rundingan awal yang tidak inklusif, penilaian pampasan yang dipersoal dan tiadanya pelan pemindahan yang jelas.
Dalam apa jua pembangunan, ketelusan dan keadilan ialah kunci. Menuding jari kepada satu pihak sahaja tidak menyelesaikan masalah.
Namun, dari segi tanggungjawab moral dan undang-undang, kerajaan wajar memikul beban terbesar kerana kuasa dan mandat berada di tangan mereka untuk memastikan pembangunan tidak menafikan hak rakyat.
Tanpa reformasi, proses pengambilan tanah dan penglibatan komuniti sejak awal konflik seperti di Kampung Sungai Baru berisiko berulang di kawasan lain.
Justeru, pengusiran penduduk bukan sekadar pertelingkahan kecil antara pemaju dan penduduk, ia adalah cerminan cara kerajaan mengurus pembangunan bandar, dilihat rakus, tergesa-gesa dan tidak sensitif.
Penduduk memiliki geran sah. Mereka menolak pampasan yang jelas di bawah nilai pasaran. Itu bukan keras kepala, itu hak. Apabila kerajaan menggunakan APT untuk “memudahkan” projek pemaju, ia bukan sahaja mengkhianati semangat undang-undang, tetapi menganggap rakyat sekadar nombor yang boleh disisihkan demi projek berbilion ringgit.
Ya, pemaju mahukan keuntungan. Itu lumrah perniagaan. Namun, pemaju hanya boleh menekan jika kerajaan memberi laluan. Jika mekanisme kawal selia ketat dan pampasan adil diwajibkan, pemaju tidak akan berani menawar serendah itu atau mengugut penduduk keluar rumah.
Di sinilah akar masalah. Kerajaan Wilayah Persekutuan dan kementerian berkaitan bukan sahaja gagal melindungi penduduk, malah membenarkan pengusiran keras berlaku.
Apabila penguat kuasa dan polis cedera dalam pergelutan, itu tanda amaran bahawa pentadbiran telah hilang kawalan. Ini bukan pertarungan antara pembangunan moden dan kampung warisan. Ini soal keadilan.
Pembangunan boleh dan patut berlaku, tetapi mesti bermula dengan rundingan setara, pampasan wajar dan pelan pemindahan bermaruah. – POJOK ND 12 September 2025
Wajarkah Muhyiddin Letak Jawatan, Serahkan Kepimpinan kepada Hamzah?
PERBINCANGAN mengenai masa depan kepimpinan politik Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali hangat apabila timbul desakan dan spekulasi sama ada beliau perlu berundur daripada tampuk kepimpinan Parti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) serta menyerahkan peranan itu kepada Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Persoalan ini tidak boleh dilihat sekadar isu dalaman parti semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan hala tuju blok pembangkang, kelangsungan politik Melayu-Islam serta keseimbangan kuasa dalam landskap politik Malaysia.
Muhyiddin kini berada pada usia melebihi 70 tahun dan pernah berdepan masalah kesihatan yang diketahui umum.
Walaupun beliau masih aktif dan lantang mengkritik kerajaan semasa, wajar diakui bahawa stamina politik seorang tokoh veteran tidak sama seperti dekad lalu.
Dalam konteks ini, menyerahkan tampuk kepimpinan kepada pelapis dianggap satu langkah berstrategi agar kesinambungan perjuangan PN tidak terhenti kerana faktor usia.
Tidak dapat dinafikan Muhyiddin adalah figura utama yang meletakkan PN sebagai satu kuasa politik besar dalam negara. Beliau pernah menjadi Perdana Menteri, walaupun tempoh pentadbirannya singkat kerana pandemik COVID-19 dan dinamika politik yang tidak stabil.
Selain itu, beliau juga dilihat berjaya menyatukan Pas, Bersatu dan parti sekutu dalam PN.
Namun, legasi ini berisiko tercalar sekiranya beliau enggan berundur dengan terhormat apabila tiba masanya. Berundur dengan rela hati boleh memberi gambaran kepimpinan yang matang serta mengukuhkan imejnya sebagai negarawan.
Hamzah kini merupakan Setiausaha Agung PN dan Timbalan Presiden Bersatu. Dari segi pengalaman, beliau pernah memegang jawatan menteri dalam pelbagai kementerian sejak era Barisan Nasional (BN), sebelum menyertai Bersatu dan menjadi orang kanan Muhyiddin.
Namun, persoalan besar yang timbul ialah sama ada Hamzah mampu menggalas peranan sebagai ketua pembangkang dan bakal calon Perdana Menteri.
Kritikan utama terhadap Hamzah adalah beliau dilihat lebih berfungsi sebagai “strategis dalaman”, bukan tokoh arus perdana yang mampu menarik sokongan meluas daripada rakyat.
Beliau juga masih berdepan cabaran untuk menonjolkan karisma kepimpinan yang setanding dengan tokoh seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahupun Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Bagi rakyat, pengganti Muhyiddin mestilah seseorang yang mampu menampilkan imej bersih, berwibawa dan berkarisma untuk menjadi alternatif kepada kerajaan semasa.
Jika peralihan kepada Hamzah gagal meyakinkan rakyat, PN berisiko dilihat hanya menukar “ketua” tanpa menawarkan pembaharuan.
Dari sudut kestabilan dalaman PN, langkah menyerahkan kuasa kepada Hamzah boleh mengelakkan perebutan jawatan yang lebih besar. Ini kerana beliau dianggap kompromi antara kelompok dalam Bersatu dan Pas.
PN kini berada dalam kedudukan sebagai pembangkang utama. Tugas mereka adalah menonjolkan kepimpinan yang boleh menjadi “Perdana Menteri menunggu” sekiranya kerajaan sedia ada goyah.
Persoalannya, adakah Hamzah mampu memberikan keyakinan itu? Atau adakah tokoh lain dalam PN seperti Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man atau Datuk Seri Radzi Jidin lebih sesuai diketengahkan?
Jika Muhyiddin terus kekal, PN mungkin dapat mengekalkan imej seorang pemimpin berpengalaman di barisan hadapan, tetapi jika beliau berundur kepada Hamzah, ia mungkin memberi peluang kepada PN untuk melakar naratif kepimpinan baharu dengan syarat Hamzah mampu mengisi kekosongan tersebut.
Soal sama ada Muhyiddin perlu berundur dan menyerahkan kepimpinan kepada Hamzah bukan keputusan yang mudah. Dari sudut strategi jangka panjang, langkah ini wajar dipertimbangkan untuk memberi nafas baharu kepada PN.
Namun, ia hanya berkesan jika Hamzah atau sesiapa sahaja pengganti mampu menonjolkan kredibiliti dan karisma yang boleh menyaingi kepimpinan kerajaan semasa.
Jika tidak, Muhyiddin masih menjadi pilihan paling selamat buat PN untuk terus kekal relevan dalam arus politik negara. – POJOK ND 9 September 2025
Politik Gelaran: “Walaun” vs “Walanon”
DALAM landskap politik Malaysia, fenomena memberikan gelaran sinis terhadap penyokong parti lawan semakin menonjol, terutama sejak kebangkitan media sosial sebagai gelanggang utama perbahasan politik.
Antara istilah yang kini popular ialah “walaun” dan “walanon”, dua label yang mencerminkan budaya politik ejek-mengejek yang semakin menebal.
Istilah “walaun” dikaitkan dengan penyokong Pas dan Perikatan Nasional (PN). Ia lahir dari perkataan Arab, ‘wala’ yang bermaksud kesetiaan, sering digunakan dalam konteks kepatuhan kepada ulama dan pimpinan parti Islam.
Lawan politik menggunakan gelaran ini sebagai sindiran bahawa penyokong Pas tidak berfikir secara kritis, sebaliknya menerima bulat-bulat segala keputusan pemimpin.
Sebagai tindak balas, muncul pula istilah “walanon” yang disasarkan kepada penyokong Pakatan Harapan (PH), khususnya mereka yang mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Gelaran ini membawa maksud yang sama, iaitu penyokong dianggap taksub dan tidak mampu menilai secara objektif kelemahan parti pemerintah.
Fenomena ini memperlihatkan bagaimana politik Malaysia berkembang ke arah budaya label, sindiran dan satira. Ia bukan lagi sekadar perdebatan dasar, tetapi persaingan persepsi di ruang maya.
Di platform seperti Facebook, TikTok dan X (Twitter), gelaran tersebut sering dijadikan bahan jenaka, meme dan troll politik, yang akhirnya mengukuhkan lagi jurang antara blok penyokong.
Apa yang membimbangkan, budaya ini menjejaskan wacana sihat kerana hujah politik tidak lagi ditimbang atas dasar isi, sebaliknya melalui label yang dilekatkan kepada penyokong.
Seseorang yang cuba berhujah secara rasional mudah ditolak hanya kerana dilihat sebagai “walaun” atau “walanon”.
Budaya label ini berisiko menggalakkan politik kepuakan (tribal politics). Ia mencipta keadaan “kita lawan mereka” yang bersifat hitam putih, tanpa ruang untuk perbezaan pendapat yang matang.
Dalam jangka panjang, ia boleh melahirkan generasi pengundi yang lebih cenderung kepada ejekan daripada perbahasan berasaskan fakta dan dasar.
“Walaun” dan “walanon” hanyalah dua wajah daripada cerminan politik Malaysia yang semakin emosional. Walaupun ia mungkin menghiburkan dalam ruang maya, budaya gelaran ini sebenarnya mempersempitkan ruang dialog dan membantutkan perbahasan demokratik.
Dalam dunia politik yang semakin mencabar, keupayaan untuk menilai idea, dasar dan kepimpinan seharusnya menjadi keutamaan, bukannya sekadar terperangkap dalam perang label.
Pensyarah Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr. Ahmad Farid Ismail berpendapat, gelaran seperti “walaun” dan “walanon” adalah cerminan kelemahan budaya politik negara.
“Apabila politik semakin berasaskan persepsi, maka label lebih berkesan daripada hujah. Ini menyebabkan rakyat lebih cepat menilai melalui stereotaip, bukan menilai idea atau dasar yang ditawarkan.
“Akhirnya, demokrasi kita hanya menghasilkan pengundi yang berpihak kerana identiti, bukan kerana keyakinan terhadap polisi,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik bebas, Prof. Madya Dr. Noraini Salleh menyifatkan fenomena ini sebagai cabaran besar kepada pembinaan masyarakat politik yang matang.
“Gelaran sebegini mungkin kelihatan remeh, tetapi implikasinya serius. Ia mewujudkan budaya politik biner iaitu siapa bersama kita dianggap benar, siapa lawan dianggap salah. Dalam konteks ini, ruang tengah untuk berdialog dengan rasional semakin sempit,” jelasnya. – POJOK ND 8 September 2025
Amerika Dalang Keberanian Israel Musnahkan Gaza
KEKEJAMAN Israel terhadap Gaza bukan lagi rahsia, tetapi persoalan yang lebih besar ialah dari mana datangnya keberanian Tel Aviv untuk terus menekan butang roket, menjatuhkan bom tanpa henti dan melanggar segala garis merah kemanusiaan?
Jawapannya terletak di Washington. Amerika Syarikat adalah dalang sebenar, enjin utama yang memberi oksigen kepada kekerasan Israel.
Israel bukanlah kuasa besar dunia. Negara kecil itu hanya mampu bertahan kerana Amerika menyuapnya dengan berbilion dolar bantuan ketenteraan setiap tahun.
Dari jet pejuang F-35, sistem peluru berpandu tercanggih hingga kepada dana operasi tentera, semua datang dari Washington.
Tanpa sokongan Amerika, Israel hanyalah harimau kertas, hanya gagah pada retorik, tetapi lumpuh di medan tempur. Sebab itu, keberanian Israel bukanlah tulen.
Ia keberanian pinjaman, hasil jaminan bahawa Amerika akan menutup segala jenayahnya di PBB dan membekalkan senjata tanpa henti.
Ironinya, kini muncul suara dari dalam Israel sendiri, rakyat mereka merayu Amerika menghentikan serangan di Gaza. Ini adalah pengakuan secara tidak langsung bahawa Israel tidak bebas. Bahkan, tindakan ketenteraan Tel Aviv bergantung sepenuhnya kepada restu Washington.
Amerika memegang kunci. Rakyat Israel sedar hanya Amerika yang mampu memaksa kerajaan mereka berhenti, bukannya tekanan antarabangsa atau bantahan dalaman.
Inilah bukti paling jelas bahawa perang Gaza bukan sekadar perang Israel, tetapi perang proksi yang digerakkan Amerika melalui tangan Tel Aviv.
Amerika sering mendakwa dirinya juara demokrasi, pelindung hak asasi manusia, tetapi di Gaza, topeng itu tercabut. Washington terus menyalurkan bom, roket dan peluru, walaupun imej kanak-kanak Palestin yang hancur tubuh berselerakan di skrin dunia.
Setiap kali Majlis Keselamatan PBB cuba meluluskan resolusi gencatan senjata, Amerika menjadi benteng veto yang menggagalkan usaha itu. Dunia mendesak keadilan, tetapi Washington memilih untuk terus mengekalkan status quo, iaitu Palestin hancur, Israel kekal kebal.
Kenyataan ini harus membuka mata umat Islam seluruh dunia. Perjuangan Palestin bukan hanya menentang Israel, tetapi melawan hegemoni Amerika yang menjadi pelindung sebenar rejim Zionis.
Selagi Washington tidak ditekan, selagi itulah Gaza akan terus menjadi tanah perkuburan massal yang hidup.
Negara-negara Islam tidak boleh lagi sekadar mengeluarkan kenyataan kecaman. Solidariti mesti diterjemah dalam bentuk tekanan ekonomi, diplomatik, bahkan strategi geopolitik yang mampu menggugat kedudukan Amerika.
Rayuan rakyat Israel sendiri agar Amerika menghentikan serangan adalah titik penting. Ia menyingkap dalang yang selama ini cuba diselindung di balik slogan “keselamatan Israel”. Washington bukan sahaja rakan sekutu, tetapi pengarah di belakang tabir.
Israel hanyalah pelaku, Amerika ialah perancang. Selagi dalang ini tidak dibongkar dan dicabar, penderitaan Gaza tidak akan pernah berakhir. Dunia perlu berhenti menyalahkan boneka semata-mata, dan mula menuding jari kepada tangan yang menggerakkan tali, Amerika Syarikat.
Sejak awal kewujudan negara haram Israel pada tahun 1948, Amerika merupakan penaung utama yang menyediakan perlindungan diplomatik, bantuan ketenteraan dan sokongan kewangan yang besar.
Washington menjadi perisai di Majlis Keselamatan PBB, menghalang sebarang resolusi keras yang boleh mengikat Israel. Dari sudut persenjataan, Israel menerima aliran bantuan ketenteraan mencecah berbilion dolar setiap tahun, termasuk akses kepada teknologi peperangan tercanggih.
Tanpa dokongan ini, sukar dibayangkan Israel mampu mengekalkan kekuatan menyerang, apatah lagi menghadapi tentangan rakyat Palestin yang berterusan serta tekanan masyarakat antarabangsa.
Hal ini menimbulkan persoalan, adakah keberanian Israel sebenarnya lahir daripada keyakinan bahawa mereka tidak akan dihukum, kerana memiliki pelindung besar bernama Amerika? – POJOK ND 7 September 2025
Laungan ‘Turun Tan Sri, Hidup Tan Sri’ Isyarat Retakan Dalaman Bersatu
KEKECOHAN laungan bercampur “Turun Tan Sri” dan “Hidup Tan Sri” ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan dasar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Perhimpunan Agung parti semalam menjadi tanda jelas, wujudnya arus berbelah bahagi dalam kalangan akar umbi dan perwakilan.
Insiden itu berlaku di saat penting, ketika Bersatu sedang menilai semula kedudukannya selepas beberapa siri kekalahan pilihan raya negeri dan tekanan untuk kembali menjadi parti dominan dalam blok pembangkang.
Laungan bertentangan itu melambangkan dua kelompok, iaitu satu masih teguh menyokong Muhyiddin sebagai arkitek utama Bersatu sejak penubuhannya, manakala satu lagi merasakan sudah tiba masa untuk beliau berundur bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu.
Muhyiddin yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 17 bulan selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan 2020, kini berdepan cabaran mengekalkan relevansi.
Kritikan bahawa Bersatu kehilangan pengaruh terutama di kalangan pengundi Melayu muda semakin lantang kedengaran.
Walaupun ucapan dasar beliau tetap diteruskan dengan penuh keyakinan, gangguan itu menjadi ujian besar terhadap kesetiaan perwakilan.
Beberapa penganalisis berpendapat laungan “Turun Tan Sri” bukan sekadar emosi spontan, sebaliknya isyarat adanya gerakan tersusun yang mahu perubahan kepimpinan berlaku lebih cepat daripada jangkaan.
Sebaliknya, laungan “Hidup Tan Sri” pula memperlihatkan masih ramai yang melihat Muhyiddin sebagai simbol ketahanan parti, terutama selepas pengorbanannya mengangkat Bersatu ke tampuk kuasa dalam episod politik 2020.
Kecoh dalam dewan memberi gambaran bahawa Bersatu kini berada di persimpangan kritikal. Sama ada kekal dengan Muhyiddin yang berpengalaman, tetapi dilihat menurun pengaruhnya, atau memberi ruang kepada wajah baharu yang mungkin lebih diterima pengundi muda.
Sekiranya tidak ditangani dengan cermat, perpecahan dalaman boleh melemahkan lagi kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional, terutama apabila Pas kini dilihat lebih dominan dari segi kerusi dan pengaruh politik Melayu.
Namun, laungan bercampur itu bukan sekadar insiden terpencil, tetapi manifestasi dilema dalaman yang sedang menghantui Bersatu.
Sama ada ia akan mencetus gelombang perubahan kepimpinan atau sekadar episod kecil yang segera dilupakan, bergantung kepada bagaimana Muhyiddin dan barisan kepimpinan parti menguruskan naratif selepas perhimpunan ini.
Apa yang pasti, politik Malaysia sedang menyaksikan satu lagi babak penting dalam survival sebuah parti yang pernah mengejutkan negara dengan manuver politik luar biasa, tetapi kini bergelut mengekalkan arah dan keyakinan. – POJOK ND 7 September 2025
Jangan Perlekehkan Rakyat: Peringatan Buat Pemimpin Malaysia
DALAM landskap politik Malaysia yang semakin mencabar, satu perkara yang tidak boleh diambil ringan oleh mana-mana ahli politik atau pemimpin ialah perasaan rakyat.
Suara rakyat adalah nadi demokrasi dan setiap keputusan yang dibuat di Parlimen, kementerian atau pentadbiran negeri, akhirnya akan dirasai oleh rakyat di bawah.
Hari ini, kita melihat apa yang berlaku di negara jiran Indonesia, rakyat bangkit dengan penuh kemarahan, turun ke jalan raya, malah sanggup berdepan risiko apabila mereka merasakan diri diperkotak-katikkan.
Rusuhan dan tunjuk perasaan besar-besaran tercetus kerana rakyat berasa tertipu, dikhianati dan tidak dipedulikan oleh pemimpin mereka. Itu adalah pengajaran yang seharusnya menjadi peringatan keras buat kita di Malaysia.
Rakyat tidak boleh dipandang remeh. Mereka semakin matang. Mereka bukan lagi masyarakat yang mudah ditenteramkan dengan janji manis atau gimik politik.
Setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin akan diteliti, setiap keputusan akan diperhati dan setiap ketidakadilan akan dibongkar.
Di era media sosial, sebarang cubaan memperlekehkan suara rakyat hanya akan menjadi senjata makan tuan.
Apabila rakyat menuntut hak, ia lahir daripada rasa terhimpit oleh kos sara hidup yang tinggi, harga barang melambung, peluang pekerjaan semakin terbatas dan jurang sosial yang semakin melebar.
Jika suara mereka dipandang sepi atau lebih buruk dan diperlekehkan, maka api kemarahan yang kecil boleh menyala menjadi gelombang besar.
Justeru, jangan main perasaan rakyat. Mereka mungkin boleh bersabar, tetapi sabar ada batasnya. Jangan sekali-kali pemimpin mempermainkan perasaan rakyat dengan kata-kata yang menyinggung atau dasar yang menindas.
Perasaan rakyat bukan bahan eksperimen politik. Mereka adalah manusia yang berjuang setiap hari untuk mencari rezeki, membesarkan anak-anak dan menanggung keluarga.
Apabila pemimpin gagal memahami denyut nadi rakyat, hilanglah kepercayaan, dan bila kepercayaan itu runtuh, rakyat tidak lagi melihat pemimpin sebagai pembela, sebaliknya sebagai pengkhianat.
Belajarlah dari negara terdekat kita, Indonesia. Apa yang terjadi di sana mutakhir ini bukan sekadar rusuhan biasa. Ia adalah simbol penolakan rakyat terhadap keangkuhan elit politik.
Rakyat marah kerana merasakan mereka hanya dipergunakan, suara mereka dipandang enteng dan hak mereka diketepikan.
Apakah kita mahu melihat Malaysia menuju ke arah yang sama? Apakah pemimpin kita sanggup mengundang gelombang kebangkitan rakyat hanya kerana gagal mendengar suara mereka? Ingatlah, sejarah membuktikan bahawa tiada kerajaan, sehebat mana pun, boleh kekal berkuasa jika rakyat sudah tidak lagi percaya.
Oleh itu, seruan kepada semua ahli politik dan pemimpin di Malaysia, hentikan sikap memperlekehkan rakyat. Dengarlah suara mereka dengan ikhlas, bukan sekadar ketika musim pilihan raya.
Jangan jadikan rakyat sebagai “alat” untuk kepentingan politik, sebaliknya jadilah “amanah” yang wajib dijaga.
Rakyat bukan musuh. Rakyat bukan penghalang. Rakyat adalah rakan seperjuangan dalam membina sebuah negara yang adil, makmur dan sejahtera.
Jika pemimpin terus berpolitik tanpa mengutamakan rakyat, maka percayalah, rakyat akan menuntut perubahan dengan cara mereka sendiri.
Kemarahan rakyat ibarat air sungai yang tenang, jika dipersempitkan, ia akan melimpah dan memusnahkan segala yang menghalang laluannya. Jangan biarkan Malaysia mengulangi kesilapan yang berlaku di negara jiran. Jadikanlah itu sebagai cermin peringatan.
Pemimpin boleh berganti, parti boleh silih berganti, tetapi rakyat tetap ada dan mereka akan sentiasa bersuara. Jangan memperlekehkan mereka, jangan mempermainkan perasaan mereka, kerana kuasa sebenar sesebuah negara terletak di tangan rakyat. – POJOK ND 2 September 2025
Wajar tangani projek perumahan terbengkalai daripada bentang RUU URA
KETIKA kerajaan sibuk mahu membentangkan Rang Undang-Undang URA (RUU URA) di Parlimen, persoalan besar timbul di benak rakyat, adakah ia benar-benar isu paling mendesak ketika ini?
Hakikatnya, terdapat masalah yang jauh lebih kritikal dan memberi kesan terus kepada kehidupan rakyat marhaen, iaitu projek perumahan terbengkalai yang semakin meruncing.
Ribuan pembeli rumah di seluruh negara kini terperangkap dalam dilema. Mereka sudah menandatangani perjanjian jual beli, membuat pinjaman perumahan dengan bank, malah ada yang telah membayar ansuran selama bertahun-tahun. Namun, rumah yang diidamkan tidak juga siap.
Situasi ini bukan sekadar membebankan dari segi kewangan, malah memberi kesan psikologi dan sosial kepada pembeli.
Ada pasangan muda yang terpaksa menangguh perkahwinan kerana tiada rumah untuk didiami, ada keluarga yang terpaksa menyewa rumah lain sambil menanggung bayaran pinjaman bank, malah ada yang terjerat dalam hutang seumur hidup tanpa memiliki kediaman yang dijanjikan.
Ironinya, ramai pemaju seolah lepas tangan apabila projek gagal diteruskan. Mereka tidak menanggung sebarang kerugian besar, sedangkan pembeli menjadi mangsa. Lebih malang, sebahagian pemaju culas masih bebas memulakan projek baharu, seakan tiada pengajaran.
Walaupun terdapat peruntukan undang-undang dalam Akta Pemajuan Perumahan, penguatkuasaan dilihat masih longgar. Tindakan terhadap pemaju yang gagal jarang memberi kesan mendalam. Hukuman denda atau sekatan lesen yang ada tidak cukup untuk menakutkan pemaju daripada mengulangi kesalahan.
Lebih menyedihkan, pembeli rumah tidak mempunyai perlindungan secukupnya. Apabila projek terbengkalai, mereka terpaksa berurusan sendiri dengan bank, pihak berkuasa dan pemaju – satu proses panjang yang jarang berpihak kepada mereka.
Daripada memberi tumpuan kepada RUU yang kurang jelas manfaatnya kepada rakyat, kerajaan seharusnya memfokuskan kepada penyelesaian konkrit untuk melindungi pembeli rumah. Antara cadangan yang wajar dipertimbangkan ialah:
Memperketat undang-undang terhadap pemaju;
Pemaju wajib menyediakan jaminan kewangan atau insurans projek. Jika projek gagal, dana ini digunakan untuk menyiapkan rumah pembeli tanpa mereka perlu menanggung rugi.
Menubuhkan Dana Penyelamat Projek Terbengkalai;
Sebuah tabung khas di bawah kerajaan atau agensi tertentu boleh mengambil alih projek yang gagal, melantik kontraktor baharu, dan memastikan pembeli akhirnya menerima rumah mereka.
Menguatkuasakan hukuman tegas terhadap pemaju culas;
Pemaju yang gagal perlu disenaraihitamkan, aset mereka boleh dirampas, dan tindakan mahkamah perlu dikenakan. Ini akan menjadi pengajaran supaya pemaju tidak sewenang-wenangnya meninggalkan projek.
Kawalan terhadap pinjaman bank;
Bank sepatutnya diwajibkan menangguhkan bayaran ansuran atau menstruktur semula pinjaman pembeli jika projek terbengkalai. Pembeli tidak boleh terus dibebankan hutang sedangkan rumah tidak wujud.
Ketelusan kemajuan projek;
Semua pemaju wajib melaporkan perkembangan projek secara berkala kepada kementerian. Jika kemajuan projek merosot di bawah tahap tertentu, kerajaan boleh mengambil alih lebih awal sebelum terbengkalai sepenuhnya.
Masalah perumahan adalah soal asas kehidupan rakyat. Setiap keluarga berhak memiliki kediaman selesa tanpa ditipu janji manis pemaju.
Kerajaan tidak boleh berdiam diri, apatah lagi mengalihkan tumpuan kepada isu lain yang tidak memberikan penyelesaian langsung kepada penderitaan rakyat.
Daripada membentangkan RUU URA yang kabur manfaatnya, adalah lebih bijak dan berhemah jika kerajaan menumpukan sepenuh perhatian kepada memperkukuh undang-undang dan mekanisme kawalan terhadap projek perumahan terbengkalai.
Inilah reformasi sebenar yang rakyat mahu lihat, iaitu keadilan, perlindungan, dan jaminan masa depan yang lebih terjamin. – POJOK ND 1 September 2025
Tangani Krisis Rusuhan di Indonesia: Cadangan Jalan Keluar
GELOMBANG rusuhan yang sedang melanda negara jiran, Indonesia kini bukan sekadar letusan spontan emosi rakyat, tetapi cerminan mendalam terhadap jurang sosial, politik dan ekonomi yang semakin melebar.
Kebangkitan ini berpunca daripada isu elaun besar wakil rakyat, kematian tragis seorang penghantar makanan, Affan Kurniawan yang dilanggar kenderaan polis serta tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit.
Api kemarahan rakyat akhirnya menyala menjadi rusuhan besar, mengorbankan nyawa dan merosakkan harta awam.
Namun, di sebalik kegelisahan dan kekerasan yang berlaku, peluang untuk membina kembali kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sebenarnya masih terbuka luas.
Apa yang diperlukan ialah keberanian politik, kesediaan mendengar suara rakyat dan pelan penyelesaian yang menyeluruh.
Berikut adalah cadangan langkah-langkah utama bagi meredakan keadaan serta membuka jalan ke arah pemulihan negara.
Dialog Terbuka dan Semakan Semula Polisi Elaun
Ketidakpuasan hati rakyat memuncak apabila mereka melihat jurang ketara antara kehidupan mewah ahli politik dan derita rakyat biasa.
Elaun besar yang diberikan kepada anggota DPR ketika rakyat sedang bergelut dengan inflasi dan pengangguran adalah percikan api kepada rusuhan.
Pemerintah perlu segera mengumumkan dialog terbuka bersama wakil rakyat, mahasiswa, kesatuan pekerja dan NGO untuk membincangkan isu ini.
Langkah segera seperti penangguhan atau pemotongan elaun wajar dilaksanakan sehingga keadaan reda.
Keputusan ini bukan sahaja bersifat simbolik, tetapi menjadi bukti bahawa kerajaan sanggup mendengar dan berkompromi demi kesejahteraan rakyat.
Reformasi Institusi dan Ketelusan
Kematian Affan Kurniawan akibat tindakan kasar pasukan keselamatan menjadi simbol ketidakadilan institusi negara.
Untuk memulihkan keyakinan rakyat, siasatan bebas perlu dilaksanakan segera dengan hasilnya diumumkan kepada umum.
Selain itu, reformasi terhadap institusi kepolisian dan perundangan adalah keperluan mendesak, iaitu rakyat mahu melihat budaya kekebalan kuasa dihapuskan.
Pelaksanaan undang-undang rampasan harta hasil korupsi, penambahbaikan sistem kehakiman serta mekanisme pemantauan polis yang lebih telus mesti diperkenalkan.
Hanya dengan itu rakyat akan percaya bahawa pemerintah serius melawan penyelewengan.
Dasar Sosial-Ekonomi yang Lebih Pro-Rakyat
Kemarahan rakyat tidak dapat dipisahkan daripada tekanan ekonomi. Harga barang yang tinggi, cukai hartanah yang membebankan serta gaji minimum yang tidak seiring inflasi membuat rakyat semakin terhimpit.
Kerajaan perlu menukar haluan dasar dengan memberi tumpuan kepada:
Peningkatan gaji minimum sejajar inflasi, iaitu pemansuhan kontrak kerja tidak adil yang memeras tenaga pekerja, semakan cukai hartanah agar tidak menjadi beban kepada kelas menengah dan bawahan, program bantuan sosial yang lebih inklusif untuk golongan terpinggir.
Tumpuan utama harus diberikan kepada kesejahteraan rakyat, bukan hanya pertumbuhan ekonomi di atas kertas.
Kepimpinan dan Komunikasi yang Ikhlas
Dalam suasana krisis, rakyat mendambakan seorang pemimpin yang berani dan ikhlas. Presiden serta Kabinet mesti turun padang, bukan hanya berucap dari podium.
Ucapan langsung melalui televisyen dan media sosial, yang disertakan dengan komitmen jelas terhadap reformasi akan mampu meredakan emosi rakyat.
Komunikasi perlu disertai dengan tindakan nyata – misalnya mengumumkan audit terbuka terhadap elaun Parlimen atau memecat anggota keselamatan yang terbukti menyalahgunakan kuasa.
Ketelusan dan keikhlasan komunikasi inilah yang akan menjadi ubat penenang kepada keresahan rakyat.
Mengawal Aksi dan Menjamin Hak Rakyat
Pihak keselamatan harus mengubah pendekatan mereka, yang mana kekerasan berlebihan terhadap penunjuk perasaan hanya akan menambah luka.
Tugas polis dan tentera ialah melindungi hak rakyat untuk berhimpun secara aman, bukan menghukum mereka.
Kerajaan wajar mengeluarkan arahan jelas supaya penggunaan kekerasan diminimakan, sebaliknya pendekatan pencegahan konflik, perundingan di lapangan serta pemisahan perusuh daripada penunjuk perasaan aman lebih berkesan untuk meredakan situasi.
Meredakan Api, Membina Semula Kepercayaan
Rusuhan rakyat yang berlaku hari ini adalah peringatan keras rakyat tidak lagi mahu ditindas oleh ketidakadilan dan jurang sosial yang melebar. Namun, krisis ini juga membuka peluang untuk pemerintah membuktikan mereka masih boleh mendengar, memahami dan bertindak.
Jika langkah-langkah cadangan seperti dialog terbuka, reformasi institusi, dasar ekonomi pro-rakyat, komunikasi ikhlas serta kawalan aksi yang berperikemanusiaan dilaksanakan, Indonesia bukan sahaja akan berjaya keluar daripada krisis, malah mampu membina semula kepercayaan rakyat terhadap negara.
Kerajaan harus sedar, rakyat bukan menuntut kemewahan, mereka hanya mahukan keadilan, ketelusan dan kehidupan yang bermaruah. – POJOK ND 31 Ogos 2025
Pilihan Raya Kerajaan Tempatan: Wajarkah Cadangan MCA dan DAP?
DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, seruan untuk mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan kembali menjadi topik hangat, khususnya apabila parti seperti MCA dan DAP memperbaharui desakan mereka agar proses demokrasi ini dihidupkan semula.
Desakan ini mencetuskan perdebatan yang signifikan mengenai arah tuju sistem demokrasi di Malaysia – adakah negara bersedia untuk memulihkan satu lagi lapisan demokrasi yang telah lama dibekukan atau adakah risikonya melebihi manfaatnya?
Pilihan raya kerajaan tempatan di Malaysia telah dibekukan pada tahun 1965 atas alasan keselamatan negara dan ketidakstabilan politik pasca Konfrontasi Indonesia-Malaysia serta ketegangan kaum.
Walaupun pada asalnya ia dikatakan sebagai penangguhan sementara, realitinya hingga hari ini, lebih setengah abad kemudian, proses demokrasi di peringkat tempatan belum dipulihkan.
Dalam tempoh tersebut, Ahli-ahli Majlis Perbandaran dan Datuk Bandar dilantik oleh kerajaan negeri, bukan dipilih oleh rakyat. Keadaan ini telah menimbulkan persoalan mengenai akauntabiliti, ketelusan dan legitimasi kepimpinan tempatan.
Cadangan untuk mengembalikan pilihan raya PBT adalah berakar umbi daripada prinsip asas demokrasi, bahawa rakyat berhak memilih wakil mereka di setiap peringkat pemerintahan.
Dalam konteks ini, kerajaan tempatan adalah pihak yang paling hampir dengan kehidupan harian rakyat iaitu mengurus kebersihan, infrastruktur asas, pelesenan, pengurusan sisa dan perancangan bandar.
Ketiadaan pilihan raya menyebabkan jurang kebertanggungjawaban kerana pemimpin tempatan tidak perlu menjawab kepada pengundi, sebaliknya kepada kerajaan negeri yang melantik mereka.
Dengan adanya pilihan raya, Ahli Majlis dan Datuk Bandar akan lebih bertanggungjawab kepada rakyat, kerana mereka perlu mempertahankan kedudukan melalui sokongan popular.
Ini diyakini dapat mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam di peringkat tempatan serta mengurangkan unsur kronisme dan pelantikan politik yang sering berlaku tanpa proses tapisan terbuka.
Pilihan raya PBT juga berpotensi menggalakkan penglibatan rakyat dalam politik dan urus tadbir secara lebih aktif.
Pengundi tempatan akan lebih peka terhadap isu-isu tempatan dan berpeluang menilai prestasi calon berdasarkan kerja mereka di lapangan, bukan semata-mata janji pilihan raya di peringkat nasional atau negeri.
Namun, tidak semua pihak bersetuju. Sejak dahulu, antara kebimbangan utama yang sering dikemukakan ialah ketidakseimbangan etnik dalam kepimpinan PBT, khususnya di kawasan bandar yang majoriti penduduknya bukan Melayu.
Kebimbangan ini sering dikaitkan dengan imbangan kuasa politik serta potensi ketegangan kaum sekiranya satu-satu komuniti dilihat terlalu dominan dalam pemerintahan tempatan.
Dalam konteks ini, parti-parti politik yang mewakili majoriti Melayu seperti PAS dan UMNO telah menyatakan kebimbangan terhadap potensi penguasaan satu kaum dalam PBT, sekiranya pilihan raya dilaksanakan.
Selain itu, ada juga yang menyatakan bahawa sistem pelantikan sedia ada lebih efisien dan mengelakkan “politiking berlebihan” di peringkat tempatan, yang boleh mengganggu tumpuan kepada perkhidmatan asas.
Secara politik, tidak sukar untuk memahami kenapa DAP dan MCA giat menyokong pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan.
Kedua-dua parti ini mempunyai pengaruh yang signifikan di kawasan bandar, di mana sokongan pengundi terhadap mereka secara tradisional lebih kuat.
Sebaliknya, parti-parti yang bergantung kepada sokongan luar bandar atau yang lebih bergantung kepada pelantikan politik, mungkin melihat sistem sedia ada sebagai lebih menguntungkan.
Oleh itu, pertimbangan terhadap cadangan ini sering kali lebih dipengaruhi oleh strategi kuasa dan imbangan politik berbanding prinsip demokratik semata-mata.
Dari sudut perundangan, tidak ada halangan muktamad untuk melaksanakan semula pilihan raya PBT.
Apa yang diperlukan ialah komitmen politik, diikuti dengan pindaan kepada undang-undang tempatan, terutamanya di peringkat negeri.
Misalnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pernah cuba memperkenalkan undang-undang berkaitan pemilihan PBT, namun usaha itu tidak mendapat kelulusan di peringkat pusat.
Dalam konteks ini, federalisme Malaysia yang memberikan kuasa besar kepada kerajaan pusat, menjadi salah satu kekangan utama terhadap pelaksanaan pilihan raya ini, walaupun ada negeri yang bersedia. POJOK ND 31 Ogos 2025
RUU URA Ditangguhkan: Isyarat Retak Dalam Kerajaan Sendiri
RANG Undang-Undang (RUU) URA yang dijadualkan untuk dibentangkan di Parlimen akhirnya ditangguhkan selepas mendapat tentangan bukan sahaja daripada blok pembangkang, malah daripada beberapa Ahli Parlimen kerajaan sendiri.
Penangguhan ini memberi gambaran jelas bahawa terdapat perbezaan ketara dalam kalangan wakil rakyat kerajaan terhadap hala tuju dasar yang cuba diperkenalkan oleh pihak eksekutif.
Mengapa ditangguhkan? RUU URA sejak awal lagi menimbulkan kontroversi kerana dikatakan memberi kuasa terlalu besar kepada pihak tertentu, yang berpotensi mencabul hak rakyat serta bertentangan dengan semangat demokrasi.
Tekanan daripada masyarakat sivil, kumpulan peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam semakin meningkat apabila butiran penuh RUU itu didedahkan.
Namun, lebih mengejutkan, bantahan bukan sahaja datang daripada luar, tetapi turut kedengaran dari dalam barisan Ahli Parlimen kerajaan sendiri.
Mereka secara terbuka menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa peruntukan yang dianggap tidak adil dan boleh disalahgunakan pada masa hadapan.
Ahli Parlimen kerajaan berselisih pandangan: Beberapa Ahli Parlimen kerajaan menegaskan, mereka tidak boleh sekadar menjadi “pak turut” menyokong usul kerajaan tanpa menilai kesannya kepada rakyat.
Ada yang menegaskan, peranan wakil rakyat adalah mempertahankan suara pengundi, bukan mengangkat tangan secara membuta tuli.
Penangguhan RUU URA ini membuktikan wujudnya perpecahan dan ketidakpuasan hati dalam kerajaan, sesuatu yang jarang berlaku secara terbuka.
Ia menunjukkan, tidak semua Ahli Parlimen kerajaan sanggup menggadaikan prinsip dan integriti demi menjaga imej pentadbiran.
Reaksi pembangkang dan orang ramai: Pembangkang menyifatkan penangguhan ini sebagai kemenangan kecil rakyat.
Mereka menegaskan, isu sebenar bukan sekadar soal teknikal, tetapi soal prinsip dan masa depan negara.
Bagi orang ramai pula, penangguhan ini sedikit sebanyak melegakan kerana ada ruang untuk menilai semula dan memberi tekanan agar kerajaan lebih telus.
Namun, timbul persoalan lebih besar: jika Ahli Parlimen kerajaan sendiri menolak, bagaimana RUU ini boleh diteruskan pada masa hadapan? Adakah kerajaan akan mengubah drafnya atau cuba menggunakan pendekatan lain untuk memaksa ia diluluskan?
Krisis kepercayaan dalam kerajaan: Penangguhan RUU URA secara tidak langsung memberi isyarat kerajaan kini berdepan krisis kepercayaan dalaman.
Apabila undang-undang penting tidak mendapat sokongan padu, ia menggambarkan kelemahan koordinasi serta kegagalan mencapai kesepakatan dalam kalangan pemimpin.
Lebih membimbangkan, retakan ini boleh membawa implikasi politik yang lebih besar, termasuk kemungkinan wujudnya blok-blok baharu dalam kerajaan atau perubahan dalam barisan kabinet.
Oleh itu, RUU URA yang ditangguhkan bukan sekadar isu teknikal, tetapi cerminan konflik nilai dan prinsip dalam politik negara. Ahli Parlimen kerajaan yang bangkit menolak cadangan ini membuktikan suara rakyat masih mempunyai tempat di Parlimen.
Soalnya kini, apakah kerajaan benar-benar mendengar teguran ini dan bersedia melakukan pindaan besar terhadap RUU tersebut, atau hanya menangguhkannya buat sementara waktu untuk meredakan tekanan?
Yang pasti, episod RUU URA ini akan tercatat sebagai satu lagi titik penting yang memperlihatkan bagaimana kuasa rakyat dan suara berani Ahli Parlimen mampu menggugat langkah kerajaan yang dilihat tidak berpihak kepada kepentingan umum.
Sejak mula, RUU URA dikritik kerana memberi kuasa melampau kepada pihak tertentu, dengan kebimbangan ia boleh membuka ruang penyalahgunaan serta mencabar prinsip kebebasan rakyat. NGO, peguam dan aktivis masyarakat telah menggesa supaya draf RUU ini ditarik balik atau digubal semula dengan lebih telus. – POJOK ND 30 Ogos 2025
Isu Gali Semula Kubur Mangsa Dera: Salah Siapa?
ISU penderaan kanak-kanak yang membawa kepada kematian bukanlah perkara baharu di negara kita. Setiap kali tragedi berlaku, masyarakat kembali dikejutkan dengan siri persoalan yang sama: siapa sebenarnya yang harus dipertanggungjawabkan?
Kes terbaru mengenai arahan gali semula kubur mangsa dera sekali lagi membuka luka lama, memperlihatkan betapa sistem perlindungan terhadap kanak-kanak masih rapuh.
Kanak-kanak sepatutnya membesar dalam suasana penuh kasih sayang, bukannya menjadi tempat lepas geram orang dewasa.
Dalam kes terbaru ini, mangsa disyaki didera sehingga meninggal dunia, namun siasatan awal menimbulkan keraguan, sama ada kematian itu benar-benar akibat penderaan atau ada unsur lain yang disembunyikan.
Justeru, kubur mangsa terpaksa digali semula bagi mendapatkan bukti forensik tambahan.
Ironinya, jasad seorang anak kecil yang sepatutnya “tidur tenang” terpaksa diganggu lagi hanya kerana ada pihak gagal melaksanakan tanggungjawab sewajarnya sejak awal.
Tidak dapat dinafikan, keluarga atau penjaga adalah pelindung utama. Jika benar penderaan berlaku dalam rumah sendiri, maka persoalan paling besar: di mana sifat keinsanan seorang ibu bapa atau ahli keluarga?
Mengapa ada yang sanggup menjadikan anak kecil sebagai mangsa kemarahan dan tekanan hidup?
Lebih malang, ada kes di mana jiran, saudara atau orang sekeliling tahu mengenai penderaan, tetapi memilih untuk berdiam diri. “Tidak mahu masuk campur urusan rumah tangga orang,” menjadi alasan klasik yang akhirnya meragut nyawa.
Apabila kes seperti ini meletup, masyarakat mula mempersoalkan pihak berkuasa. Mengapa laporan awal tidak menyeluruh? Kenapa siasatan pertama seakan longgar sehingga memaksa kubur digali semula? Adakah kerana sikap sambil lewa, kekurangan pegawai pakar atau campur tangan pihak tertentu?
Sekiranya benar terdapat kecuaian dalam proses bedah siasat atau siasatan polis, ia memberi tamparan hebat kepada sistem keadilan negara. Keadilan untuk mangsa kecil ini tidak boleh diselesaikan dengan sambil lewa, kerana setiap kelemahan bermakna peluang untuk pelaku terlepas hukuman.
Dalam banyak kes penderaan, faktor sosial seperti kemiskinan, tekanan hidup, masalah ketagihan, atau keruntuhan institusi keluarga sering menjadi punca utama.
Sistem perlindungan kanak-kanak negara juga sering dilihat hanya reaktif, bukan proaktif. Kita hanya bertindak selepas ada nyawa melayang, sedangkan ribuan kanak-kanak lain mungkin masih menderita dalam diam.
Jawapan yang paling jujur, salah semua pihak yang gagal menjalankan amanah. Salah keluarga yang tidak menjaga anak kecil dengan kasih sayang.
Salah jiran dan masyarakat yang menutup mata. Salah pihak berkuasa jika gagal menyiasat dengan teliti dan salah sistem sosial yang tidak menyediakan sokongan awal untuk keluarga bermasalah.
Menggali semula kubur mangsa dera bukan sekadar proses undang-undang, ia adalah simbol kegagalan kita sebagai masyarakat dalam melindungi golongan paling lemah.
Setiap kali kes sebegini berlaku, kita marah, kita bersedih, kita menuding jari. Namun selepas beberapa minggu, semuanya senyap, sehingga tragedi baru muncul lagi.
Persoalannya, adakah kita mahu terus menggali kubur demi mencari kebenaran, atau mula menggali hati dan jiwa kita untuk menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab? – POJOK ND 29 Ogos 2025
RM100 Sebulan: Formula Hidup Warga Emas Ala Fuziah
KENYATAAN Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh pada Isnin lalu, bahawa warga emas boleh bertahan sebulan dengan RM100, benar-benar kedengaran seperti lawak jenaka politik abad ini.
Mungkin selepas ini kita akan dengar pula formula ajaib lain, isi minyak kereta sebulan dengan RM10 atau bayar sewa rumah setahun dengan senyuman.
Barangkali Ahli Parlimen Kuantan itu lupa, kos sara hidup rakyat hari ini bukanlah kos hidup dalam mimpi indah wakil rakyat.
Beliau mungkin tidak pernah beratur di pasar malam untuk mencari sayur paling murah atau tidak pernah fikir sama ada mahu beli ubat darah tinggi atau beli sekilo beras.
Kerana elaun wakil rakyat mencecah puluhan ribu sebulan, lengkap dengan pemandu, pejabat dan pelbagai kemudahan, sedangkan rakyat pula diminta percaya RM100 boleh cukup untuk sebulan.
Ironinya, duit minyak kereta seorang YB sehari pun sudah lebih mahal daripada “bajet sebulan” yang disebut itu.
Lawak itu telah membangunkan netizen yang sedang tidur, apabila mereka bangun, pantas menyindir:
“Kalau benar RM100 cukup, apa kata elaun bulanan YB juga ditukar kepada RM100? Mari kita lihat siapa yang lebih cekap berjimat.
“Kalau benar RM100 cukup, bolehlah wakil rakyat berpindah ke rumah PPR dan menikmati kehidupan sebenar rakyat marhaen.
“Kalau benar RM100 cukup, tak perlu lagi tuntut peruntukan berjuta, cukup sahaja bagi semua MP RM100 sebulan.
Hakikatnya, kenyataan begini hanya mendedahkan betapa jauhnya sesetengah wakil rakyat daripada realiti rakyat biasa.
Harga barang melonjak, sewa rumah kian menjerut, kos perubatan makin menghimpit.
Warga emas yang sudah uzur bukan lagi mampu berdikari, apatah lagi “hidup mewah” dengan seratus ringgit sebulan.
Sebelum menyuruh rakyat percaya dengan “ilmu ekonomi ghaib” ini, eloklah Fuziah sendiri cuba hidup sebulan dengan RM100.
Tanpa elaun, tanpa pemandu, tanpa rumah besar. Tidur di flat sempit, beratur di hospital kerajaan, membeli sayur layu di hujung pasar malam.
Kalau berjaya, barulah boleh berdiri megah di depan rakyat dan berkata: Ya, aku buktikan RM100 sebulan memang cukup!”
Tetapi sehingga hari itu tiba, kenyataan ini hanyalah satu lagi bahan ketawa rakyat, sindiran pahit kepada realiti hidup yang tidak pernah dirasai oleh mereka yang hidup di menara kaca politik.
Di saat rakyat marhaen pening memikirkan harga beras yang semakin naik, minyak masak yang tidak pernah stabil, dan sayur kangkung pun sudah mencecah harga premium, kenyataan itu kedengaran seperti satu resipi ajaib dari dunia fantasi.
Ya, anda tidak tersilap baca: seratus ringgit.
Mungkin beliau membayangkan warga emas hidup ala rancangan Survivor, cukup dengan secubit garam, sebiji telur rebus setiap dua hari dan air paip sebagai pengganti jus buah.
RM100 itu baginya konon boleh menampung:
Sewa rumah? Tiada, sebab mungkin tidur di bangku taman.
Bil elektrik? Tak perlu, sebab lilin boleh dibeli dengan baki RM2.
Kesihatan? Klinik swasta mungkin sudah diganti dengan “doa dan tawakal”.
Di media sosial, netizen mula berkongsi “menu harian RM100 sebulan ala Fuziah”:
Sarapan: Angin pagi dan doa panjang.
Tengah hari: Nasi suku genggam dengan kicap cair.
Malam: Air kosong penuh kasih sayang.
Ada juga yang berseloroh, warga emas patut menghubungi Fuziah untuk dapatkan manual lengkap cara hidup “super ekonomi” ini, mungkin bakal jadi bestseller setanding buku motivasi.
Namun, di sebalik lawak dan sindiran, hakikatnya pahit. RM100 sebulan hari ini bukan sahaja mustahil untuk menampung kos hidup, malah ia menghina realiti getir warga emas yang sudah tidak berdaya mencari pendapatan tambahan.
Jika benar ada pemimpin percaya angka sebegitu wajar, jelas mereka sudah terlalu jauh dari denyut nadi rakyat. Harga sekilo ikan kembung pun sudah hampir menelan belanja RM15. Bagaimana mahu hidup sebulan dengan RM100?
Kenyataan ini sepatutnya jadi cermin untuk wakil rakyat: sebelum bersuara, ukur dulu pada realiti, bukan sekadar ilusi. Rakyat tidak perlukan “magis” kata-kata, sebaliknya solusi yang benar-benar menyentuh kehidupan mereka.
Kerana kalau benar RM100 cukup untuk sebulan, mungkin sudah tiba masanya elaun wakil rakyat juga dicuba dengan bajet ajaib ini, demi membuktikan kata-kata itu bukan sekadar gurauan yang menyinggung perasaan rakyat marhaen. – POJOK ND 28 Ogos 2025
Pendekatan Bijaksana Tingkat Kesedaran Pemasangan Bendera
SETIAP kali menjelang Sambutan Bulan Kebangsaan, pemasangan Jalur Gemilang menjadi simbol utama rakyat Malaysia menzahirkan rasa cinta kepada tanah air.
Di premis perniagaan, sekolah, pejabat kerajaan mahupun rumah persendirian, bendera negara berkibar megah sebagai lambang perpaduan dan maruah bangsa.
Namun, kebelakangan ini timbul kebimbangan apabila segelintir pihak memilih pendekatan keras dalam menegur kesilapan pemasangan bendera, termasuk membuat laporan polis atau berhimpun di hadapan premis.
Tindakan sedemikian, walaupun berasaskan niat mempertahankan martabat bendera, telah menimbulkan rasa takut dalam kalangan masyarakat sehingga ada yang memilih untuk tidak memasang langsung Jalur Gemilang kerana bimbang melakukan kesilapan.
Kurang Pengetahuan, Bukan Sengaja
Hakikatnya, kebanyakan kes bendera terbalik atau dipasang songsang bukan berpunca daripada sikap sengaja tidak menghormati simbol negara. Ia sering berlaku kerana kekurangan pengetahuan, terutama di premis yang mengupah pekerja asing atau akibat kecuaian teknikal ketika pemasangan.
Dalam hal ini, teguran keras hanya menjarakkan masyarakat daripada semangat patriotisme yang cuba disemarakkan.
Pendidikan Sebagai Kunci
Pendekatan pendidikan dan penerangan jauh lebih berkesan dalam meningkatkan kesedaran.
Agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkuasa tempatan boleh mengambil inisiatif menyediakan bahan panduan berbentuk infografik, video pendek atau poster yang mudah difahami oleh masyarakat umum.
Kempen media sosial juga boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan cara pemasangan bendera yang betul dengan visual jelas dan ringkas.
Selain itu, program komuniti seperti gotong-royong memasang bendera di kawasan perumahan atau premis perniagaan boleh dianjurkan. Aktiviti seumpama ini bukan sahaja mendidik secara langsung, malah mengeratkan hubungan sesama penduduk.
Teguran Hikmah, Galakan Positif
Apabila terdapat premis yang tersilap memasang bendera, teguran seharusnya dibuat secara berhemah. Sikap sopan, ramah dan kesediaan untuk membantu membetulkan kesilapan akan lebih mudah diterima berbanding pendekatan mengugut atau mempermalukan pihak terbabit.
Di samping itu, langkah memberi pengiktirafan kepada pihak yang berjaya mempamerkan semangat patriotik secara kreatif juga wajar dipertimbangkan.
Pertandingan anjuran pihak berkuasa tempatan seperti “Premis Paling Patriotik” atau sijil penghargaan kepada komuniti yang aktif menghiasi kawasan mereka dengan Jalur Gemilang akan menyemai motivasi secara positif.
Peranan Media
Media arus perdana turut berperanan besar dalam menyampaikan mesej pendidikan ini. Ruangan khusus yang memaparkan tip pemasangan Jalur Gemilang, liputan kisah kejayaan komuniti serta laporan tentang usaha murni NGO boleh memperluas kesedaran dengan cara yang lebih inklusif.
Maruah Jalur Gemilang sememangnya perlu dipertahankan. Namun, pendekatan untuk menegur dan mendidik masyarakat perlu bijaksana.
Tindakan keras yang menimbulkan rasa takut hanya akan melemahkan semangat rakyat untuk mengibarkan bendera.
Sebaliknya, pendidikan, penerangan, penghargaan dan teguran berhemah mampu mewujudkan suasana patriotik yang harmoni serta mengukuhkan rasa cinta rakyat kepada tanah air. – POJOK ND 24 Ogos 2025
Apakah wajar Khir Toyo sertai Parti Bersatu?
SELAIN negara dikejutkan kes jenayah melibatkan mangsa kanak-kanak, politik tanah air juga tidak sunyi dari kejutan dengan langkah diambil beberapa pemimpin dan bekas pemimpin sesebuah parti.
Terkini, dalam kekalutan orang ramai berhimpun menunjukkan solidariti bagi menuntut keadilan kematian Allahyarham adik Zara Qairina Mahathir, tiba-tiba muncul berita mengenai bekas Menteri Besar Selangor di era Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Khir Toyo mengumumkan menyertai parti Bersatu.
Topik ini membuka pelbagai sudut pandang politik, moral dan strategik, terutama persoalan yang berlegar dalam kalangan ahli politik dan parti, “Kenapa Khir Toyo sertai Bersatu, bukan UMNO atau PKR?”
Secara umumnya, bekas Ketua Pembangkang BN bagi DUN Selangor itu menyertai Bersatu sejak 1 Julai 2025, tetapi mengumumkan secara rasmi menerusi platform media pada 6 Ogos 2025.
Alasan konkrit beliau mahu bersama parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin, kerana melihat UMNO bukan lagi sebuah parti dominan, sebaliknya kini berperanan sebagai parti “pelengkap” kepada Pakatan Harapan (PH).
Tidak menanam cita-cita tinggi untuk memegang jawatan besar, matlamat utama beliau hanya satu, iaitu menyumbang kepada perjuangan membentuk kepimpinan Melayu yang adil dan kuat.
Menurut Khir, Bersatu kini memiliki jumlah kerusi Parlimen yang jauh lebih banyak berbanding UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 lalu, yang menunjukkan kekuatan politik lebih terserlah.
Sama ada wajar atau tidak tindakannya itu, kita lihat dari perspektif logik politik; jika seseorang itu melihat peluang lebih cerah untuk menyumbang di dalam parti yang lebih dominan, berpindah parti adalah tindakan rasional dalam konteks politik pragmatik.
Kenapa beliau ingin kembali aktif dalam politik? Dengan tulus Khir menyatakan, dalam usia sekitar 60-an, beliau tidak mengejar apa-apa jawatan, sebaliknya ingin membantu memastikan negara dipimpin oleh pemimpin Melayu yang adil.
Namun, melihat menerusi mata kasar, penyertaan Khir mencerminkan peralihan realiti politik iaitu UMNO semakin terhakis, manakala Bersatu semakin menguasai ruang politik Melayu.
Dari segi strategi agenda Melayu, tindakan itu dilihat sebagai wajar, iaitu menunjukkan realiti sebenar politik Melayu, di samping pilihan dalam menyokong kepimpinan yang mereka anggap lebih efektif.
Sebahagian pihak mungkin memandang keputusan ini sebagai realistik dan berani, khasnya dalam misi memastikan kepimpinan Melayu yang adil dan efektif.
Namun, bagi penyokong tegar UMNO atau mereka yang menilai berdasarkan loyalti parti, tindakan itu mungkin disifatkan sebagai opportunistik dan tidak berpegang pada prinsip.
Secara keseluruhan, keputusan Khir Toyo boleh dianggap wajar jika dilihat dari sudut perubahan strategi dan realiti politik nasional, tetapi wajar diragui dari sudut kesetiaan ideologi dan konsistensi politik.
Mengenai kedudukan jangka masa panjang Khir Toyo dalam politik, khususnya selepas menyertai Bersatu ialah pengalamannya mentadbir Selangor selama enam tahun tujuh bulan dari Ogos 2000 hingga Mac 2008 dan masih mempunyai rangkaian politik lama.
Jika beliau diberi peranan strategik seperti merangka tenaga kerja atau menghadapi cabaran baru di Selangor, ia boleh memanfaatkan keupayaannya. – POJOK ND 18 Ogos 2025
Apa sebenarnya berlaku kes Allahyarham Wan Ahmad Faris?
TIBA-TIBA muncul kes Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar tahfiz yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung di tandas asrama sebuah maahad tahfiz di Kok Lanas, dekat Kota Bharu.
Kes ini berlaku pada 14 Disember 2013, iaitu kira-kira 12 tahun lalu, apabila sekujur tubuh kaku pelajar tingkatan empat berumur 16 tahun itu ditemui berbau oleh penyelia asrama.
Siasatan awal polis mengklasifikasikan kejadian sebagai kematian mengejut, iaitu tiada unsur jenayah.
Namun, pada Jun 2016, selepas tiga tahun kematiannya, Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan kematian itu adalah dari perbuatan bunuh oleh individu yang identitinya tidak dikenal pasti, sekali gus menolak kemungkinan adik Wan Ahmad Faris bunuh diri.
Sejak keputusan inkues itu, keluarga arwah terus mendesak pihak berkuasa membuka semula kes berkenaan.
Mereka melakukan pelbagai usaha termasuk menghantar surat rayuan kepada Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Perdana Menteri.
Pada 31 Julai 2024, setahun yang lalu, polis menghantar surat rasmi memberitahu keluarga bahawa kes telah diklasifikasikan sebagai “No Further Action” (NFA) sejak 7 September 2020, atas alasan kekurangan bukti dan tiada saksi yang dapat mengenal pasti suspek.
Berikutan itu, keluarga berhasrat memfailkan saman terhadap beberapa pihak bagi menuntut keadilan, dengan mencadangkan mahkamah mengarahkan siasatan semula dan menuntut ganti rugi atas kecuaian penyiasatan terdahulu.
Saman dirancang difailkan sebelum penghujung Mei lalu.
Kerajaan Kelantan dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) menegaskan tidak akan mempertahankan pelaku dan terbuka sepenuhnya untuk kerjasama dengan pihak berkuasa bagi proses siasatan serta pendakwaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan turut menyatakan sokongan kepada usaha keluarga untuk membuka semula siasatan dan menegaskan pentingnya keadilan jika wujud bukti baru.
Beberapa aktivis juga tampil menyokong keluarga dengan menyeru masyarakat mendoakan supaya keadilan ditegakkan serta menyerlahkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati terhadap kelemahan dalam penyiasatan awal.
Namun begitu, kes ini belum menemui penyelesaian sebenar sehingga keluarga arwah bertekad memburu keadilan melalui tindakan undang-undang dan rayuan kepada pihak berkuasa.
Walaupun kerajaan negeri menyatakan sokongan dan tidak mempertahankan pelaku, kebenaran mengenai identiti pembunuh belum terjawab sehingga hari ini.
Namun, malam tadi ratusan rakyat Kelantan keluar berhimpun di Dataran Warisan pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV untuk bersolidariti “Justice for Faris”.
Himpunan itu menuntut komitmen penuh pihak berwajib supaya membuka semula siasatan jenayah terhadap kes berkenaan.
Wakil peguam keluarga, Alias Ibrahim dilaporkan berkata, beberapa keterangan penting dirumuskan pada prosiding inkues sembilan tahun lalu sepatutnya mencukupi untuk siasatan jenayah dimulakan.
“Terdapat beberapa bukti penting seperti nama suspek, laporan polis serta penemuan sampel DNA pada kain pelikat yang dijumpai bersama mangsa, juga sepasang selipar di lokasi mayat Allahyarham dijumpai,” katanya. – POJOK ND 17 Ogos 2025
Langgan:
Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...




















