Berikut adalah kenyataan Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat media di Sepang, Selangor pada Khamis 20 Mac mengenai gerakan mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang:
Imej Satelit Australia
"Pada pukul 10 pagi ini,
Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) menerima panggilan daripada
Perdana Menteri Australia (Tony Abbot), yang memaklumkan kepada beliau
bahawa 'dua objek yang mungkin mempunyai kaitan dengan gerakan mencari'
MH370 telah dikenal pasti di selatan Lautan Hindi.
"Pihak berkuasa Australia di
Kuala Lumpur juga telah memberi taklimat kepada saya mengenai perkara
itu, manakala Menteri Luar Australia pula telah berhubung dengan Menteri
Luar Malaysia.
"Lembaga Keselamatan Maritim
Australia (AMSA) terus menyelaras usaha mencari pesawat Malaysia
Airlines yang hilang di kawasan mencari dan menyelamat negara itu,
dengan bantuan Angkatan Pertahanan Australia, Tentera Udara New Zealand
dan Tentera Laut Amerika.
"Pusat Penyelarasan Menyelamat (RCC) Australia AMSA menerima imej satelit yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan gerakan mencari MH370.
"RCC Australia mendapatkan
penilaian pakar mengenai imej satelit komersial itu hari ini. Imej
berkenaan dirakam oleh satelit. Ia mungkin tidak mempunyai kaitan dengan
pesawat terbabit.
"Penilaian mengenai imej ini
dibuat oleh Pertubuhan Risikan Geopastial Australia yang mendapati ia
mungkin merupakan petunjuk mengenai serpihan yang terdapat di barat daya
Perth.
"Berikutan maklumat ini, empat pesawat dikerah semula ke satu kawasan 2,500 kilometer di barat daya Perth.
"Sebuah pesawat P-3 Orion
Tentera Udara Diraja Australia tiba di kawasan itu pada kira-kira pukul
10.50 pagi. Tiga lagi pesawat dikerah oleh RCC Australia ke kawasan
berkenaan, termasuk Orion kedua RAAF, sebuah Orion tentera Udara Diraja
New Zealand dan sebuah P-8 Poseidon Tentera Laut Amerika.
"Pesawat Poseidon itu
dijangka sampai awal tengah hari ini. Orion kedua RAAF Orion dijangka
berlepas dari Pangkalan RAAF Pearce, Perth, pada lewat tengah hari.
Orion Zealand pula dijadualkan berlepas tengah hari ini.
"Sebuah pesawat C-130
Hercules RAAF telah ditugaskan oleh RCC Australia untuk melepaskan boya
penanda datum bagi membantu dalam 'drift modelling' (pemodelan hanyut).
"Ia akan memberi maklumat mengenai titik rujukan sekiranya tugas mengesan objek berkenaan menjadi berlarutan.
"Sebuah kapal dagang yang memberi respons kepada siaran perkapalan yang dikeluarkan RCC Australia pada Isnin juga dijangka tiba di kawasan itu tengah hari ini.
"Kapal Tentera Laut Diraja Australia HMAS Success kini dalam perjalanan ke kawasan itu dan dijangka tiba di sana beberapa hari lagi. Kapal ini memiliki kelengkapan lengkap untuk menaikkan sebarang objek yang dikesan dan dibuktikan berasal daripada MH370.
"Segala usaha sedang dilakukan untuk mengesan objek yang terdapat di dalam imej satelit berkenaan. Perlu ditegaskan bahawa apa yang kelihatan itu, walaupun boleh dipercayai, tetapi masih belum disahkan.
Aset yang digunakan
"Pencarian MH370 merupakan
usaha yang melibatkan pelbagai negara. Berikut saya berikan kepada anda
maklumat terkini mengenai aset yang digunakan.
"Dalam tempoh operasi ini
dijalankan, Panglima Angkatan Tentera telah menghubungi rakan sejawatan
beliau dari pelbagai negara, termasuk:
• Australia
• China
• India
• Indonesia
• Jepun
• Maldives
• Nepal
• New Zealand
• Singapura
• Thailand
• Vietnam
• UK
• dan Amerika.
"Kesemua mereka memberi sokongan penuh dan menawarkan bantuan. Oleh kerana fokus pencarian ini telah beralih daripada Laut China Selatan dan Selat Melaka ke koridor utara dan selatan, maka rakan antarabangsa kami terus menghulurkan segala bentuk sokongan yang termampu oleh mereka.
"Sejumlah aset telah digunakan dalam fasa tertentu dalam operasi mencari dan menyelamat ini.
"Kini, 18 kapal, 29 pesawat dan enam helikopter daripada kapal digunakan di
sepanjang koridor utara dan selatan, seperti berikut:
Pesawat
Di koridor utara, terdapat empat pesawat:
• dua dari Malaysia
• satu dari Jepun
• dan satu dari Amerika
Di koridor selatan, terdapat 25 pesawat:
• dua dari Malaysia
• lima dari Australia
• tiga dari China
• empat dari Indonesia
• dua dari India
• empat dari Jepun
• satu dari New Zealand
• dua dari Korea Selatan
• satu dari UAE
• dan satu dari Amerika
Kapal
Kesemua 18 kapal digunakan di koridor selatan:
• enam dari Malaysia
• satu dari Australia
• lima dari China
• dan enam dari Indonesia
Operasi ini juga melibatkan enam helikopter:
• tiga dari Malaysia dan tiga dari China.
"Selagi kami tidak pasti
bahawa kami sudah menemui MH370, operasi mencari dan menyelamat akan
diteruskan di kedua-dua koridor berkenaan.
"Saya ingin mengesahkan
bahawa Malaysia menghantar dua pesawat ke Kazakhstan, manakala UK pula
merancang menghantar sebuah kapal ke koridor selatan.
"Di samping aset yang saya senaraikan tadi, beberapa negara di koridor utara juga menjalankan operasi mencari dan menyelamat di wilayah masing-masing:
• China menggunakan semua cara yang ada, termasuk 21 satelit untuk membuat carian di wilayahnya dan bersedia menghantar lebih banyak kapal serta pesawat apabila diperlukan.
• Di Kemboja, empat helikopter menjalankan operasi mencari di wilayahnya.
• Tentera Udara Laos menjalankan operasi mencari di wilayah Laos.
• Singapura menggunakan Pusat Gabungan Maklumat Antarabangsanya, yang
Malaysia juga mempunyai wakilnya, untuk memaklumkan kepada pelaut dan membantu dalam kerja mencari.
• Tentera Thailand menjalankan operasi mencari di bahagian utara Thailand dengan menggunakan semua pesawat yang ada.
• Dan Vietnam menjalankan operasi mencari di wilayahnya dengan menggunakan sejumlah pesawat yang tidak dinyatakan.
Secara keseluruhannya, ini
merupakan suatu kerahan pasukan antarabangsa secara besar-besaran. Saya
mengucapkan terima kasih kepada rakan kami yang memberi kerjasama dalam
fokus kami untuk terus mencari MH370.
Penjagaan keluarga
"Pasukan peringkat tinggi yang saya umumkan semalam berlepas ke Beijing petang ini.
"Saya juga ingin mengesahkan bahawa para wakil kerajaan Malaysia telah bercakap dengan keluarga yang hadir di sini semalam.
"Di samping itu, Duta Khas Perdana Menteri ke China, dan Duta Besar China di Malaysia, akan mengetuai satu taklimat hari ini untuk keluarga dari China yang kini berada di Kuala Lumpur.
"Ia akan turut dihadiri Jabatan Penerbangan Awam, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Luar Negeri dan MAS. Taklimat serupa juga akan diadakan untuk keluarga lain.
Kata penutup
"Kepada keluarga dari seluruh dunia, satu-satunya maklumat yang amat mereka mahukan adalah maklumat yang belum kami ada ketika ini: lokasi MH370.
"Perkara yang menjadi fokus utama kami pada setiap masa ialah untuk mencari pesawat berkenaan. Dan pada setiap hari yang berlalu, kami telah melipatgandakan usaha kami.
"Semalam, saya berkata kami
ingin mengurangkan kawasan mencari. Sekarang, kami sudah mendapat
petunjuk yang boleh dipercayai. Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan
dari segi kerahan aset. Usaha ini akan diteruskan dalam tempoh
semalaman."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan