PENERBANGAN MH370 yang membawa 239 penumpang yang hilang pada Sabtu, 8 Mac lalu, malam ini disahkan terhempas di satu lokasi paling terpencil di Lautan Hindi di barat daya Perth, Australia.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media di PWTC.
"Dengan dukacitanya saya terpaksa memberitahu anda semua, menurut
data terbaru yang diterima pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan
Hindi.
"Lokasi ini adalah terpencil, jauh dari sebarang tempat pendaratan dan itu merupakan lokasi terakhir MH370," katanya .
Perdana Menteri berkata, petang tadi beliau telah diberi taklimat
oleh wakil Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB)
mengenai Inmarsat, syarikat yang menyediakan data satelit di koridor
utara dan selatan telah melakukan pengiraan data lanjutan.
"Mereka menggunakan analisis yang tidak pernah dilakukan sebelum
ini dalam penyiasatan seperti ini, mereka telah mampu memberikan
petunjuk baru mengenai laluan diambil MH370.
"Berdasarkan analisis baru ini, Inmarsat dan AAIB telah merumuskan
bahawa MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan
terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth," jelasnya.
Najib berkata, satu sidang media akan diadakan esok untuk memberikan penjelasan lanjut.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pengumuman ini dibuat
seawal mungkin bagi menunjukkan komitmen Malaysia terhadap keterbukaan
dan atas rasa hormat kepada keluarga mangsa yang merupakan asas kepada
penyiasatan.
"Malaysia Airline System Berhad (MAS) telah bertemu dengan ahli
keluarga penumpang dan anak-anak kapal untuk memberitahu perkembangan
terbaru ini.
"Bagi mereka, dua minggu ini adalah merupakan masa sangat mendukacitakan dan berita ini juga akan menambah duka itu.
"Saya memohon media menghormati hak peribadi merela dan memberikan ruang untuk mereka berhadapan situasi sukar ini," katanya.
Penerbangan MH370 MAS hilang pada hari Sabtu 8 Mac lalu dengan
komunikasi terakhirnya dengan menara kawalan di KLIA ialah pada pukul
1.20 pagi. Pesawat yang dalam penerbangan ke Beijing itu hilang
kira-kira satu jam selepas melakukan penerbangan.
Pesawat itu kemudian di kesan berpatah balik dari laluan asal
menghala ke Selat Melaka dan analisis imej radar dan setelit akhirnya
menunjukkan ia menuju ke arah koridor selatan di Lautan Hindi.
Ekoran itu, usaha mencari dan menyelamat telah digerakkan secara
intensif membabitkan 26 negara termasuk melibatkan penggunaan teknologi
terkini dalam merungkai misteri kehilangan pesawat itu.
Akhirnya, selepas 17 hari, pasukan penyiasat dengan bersandar
kepada bukti dari cerapan setelit dan radar membuat ketetapan bahawa
perjalanan MH370 berakhir di satu kawasa terpencil di Lautan Hindi di
barat daya Perth.
Pengumuman itu juga bermakna semua 239 orang di dalamnya iaitu 227 penumpang bersama 12 anak kapal turut terkorban.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan