Selasa, 11 Mac 2014

Mei Fun lawan Azizah di PRK Kajang

Mei Fun dan Wan Azizah selepas selesai menghantar borang pencalonan PRK DUN Kajang kepada SPR di Bangi, Selangor pagi tadi.Gambar FAZRY ISMAIL
Mei Fun dan Wan Azizah selepas selesai menghantar borang pencalonan PRK 
DUN Kajang kepada SPR di Bangi, Selangor pagi tadi. 
 
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara dua wanita yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman mengumumkan bahawa Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon BN manakala Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mewakili parti itu.

Pengumuman itu dibuat pada 10.10 pagi ini selepas proses penamaan calon tamat di pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.

Chew, 50, yang merupakan bekas timbalan menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat pada 2009 menyerahkan kertas penamaan pada jam 9.07 pagi, manakala Wan Azizah, 61, berbuat demikian pada 9.10 pagi.

PRK Kajang diadakan susulan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh, daripada PKR pada 27 Januari.

Pengunduran Chin Cheh membuka jalan pada mulanya bagi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding bagi pilihan raya kecil ini, dengan PKR mengumumkan keesokan harinya untuk meletakkan Anwar sebagai calon parti itu.

Anwar bagaimanapun terpaksa membatalkan rancangannya berikutan keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lepas yang menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadapnya kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan kira-kira enam tahun lepas.

Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei tahun lalu, Lee memperoleh majoriti 6,824 undi pada pertandingan enam penjuru di Kajang melibatkan calon BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 39,278 pemilih berdaftar yang layak mengundi pada pilihan raya kecil DUN Kajang, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.

Jumlah keseluruhan pengundi itu terdiri daripada Melayu (48 peratus), Cina (40 peratus) dan India (10 peratus). Lima puluh peratus daripada jumlah pengundi adalah wanita.

Sebanyak 18 pusat mengundi akan dibuka, iaitu tiga pusat mengundi bagi undi awal pada 19 Mac ini, manakala 15 lagi pusat mengundi pada hari pengundian biasa iaitu 23 Mac.

Tiada ulasan: