Berikut ialah kenyataan akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak hari ini mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang
hilang:
Tujuh hari lepas, pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370
hilang. Kami sedar ini merupakan detik-detik yang amat menyeksakan bagi
keluarga penumpang yang menaiki pesawat itu.
Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan keperitan yang sedang mereka
alami. Sesungguhnya, perasaan simpati dan doa kami sentiasa bersama
mereka.
Saya meneliti operasi mencari pesawat itu sepanjang masa. Pada
peringkat awal operasi, saya mengarahkan supaya kawasan mencari
diperluaskan; saya mengarahkan pihak berkuasa Malaysia berkongsi semua
maklumat berkenaan secara bebas dan telus dengan pasukan penyiasat yang
semakin besar; dan saya meminta sahabat dan sekutu kami supaya menyertai
operasi ini. Sehingga hari ini, sebanyak 14 negara, 43 kapal dan 58
pesawat terlibat dalam usaha ini.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kerajaan yang
memberi pertolongan dalam saat-saat yang amat getir ini. Sejak hari
pertama lagi, pihak berkuasa Malaysia bekerjasama rapat dengan rakan kami
di peringkat antarabangsa - termasuk negara jiran, pihak berkuasa
penerbangan dan pasukan mencari dari pelbagai negara - kebanyakan mereka
berada di sini sejak Ahad lepas.
Kami telah berkongsi maklumat secara tepat masa dengan pihak
berkuasa yang memiliki pengalaman diperlukan bagi mentafsir data yang
ada. Kami berusaha tanpa henti untuk membantu penyiasatan. Dan kami
meletakkan kepentingan negara di tempat kedua dalam usaha mencari
pesawat yang hilang itu.
Ramai yang faham bahawa situasi ini belum pernah terjadi sebelum
ini.
Kami menjalankan operasi mencari di darat, di Laut China Selatan, Selat
Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi. Pada setiap peringkat, kami
bertindak berdasarkan maklumat yang disahkan dan kami memberi tumpuan
terhadap setiap petunjuk yang boleh dipercayai.
Memang wujud pelbagai spekulasi. Kami faham keperluan mendesak untuk
mendapatkan maklumat bagi pihak keluarga terbabit dan mereka yang
memerhati di seluruh dunia. Namun demikian, tanggungjawab kami kepada
penyiasatan dan keluarga terbabit adalah untuk hanya mengeluarkan
maklumat yang sudah disahkan. Dan perkara yang memberi motivasi kepada
kami ialah untuk mencari pesawat berkenaan.
Dalam fasa pertama operasi mencari, kami melakukan pencarian
berhampiran posisi terakhir MH370 yang diketahui iaitu di Laut China
Selatan. Pada waktu yang sama, kami dimaklumkan oleh Tentera Udara
Diraja Malaysia bahawa menurut radar utama mereka, sebuah pesawat udara –
yang identitinya tidak dapat disahkan – telah berpatah balik. Data
radar utama ini menunjukkan bahawa pesawat udara berkenaan menggunakan
laluan penerbangan yang membawanya ke satu kawasan di utara Selat
Melaka.
Berdasarkan data yang boleh dipercayai ini, yang kemudiannya
disahkan dengan pihak berkuasa antarabangsa berkaitan, kami meluaskan
kawasan mencari hingga meliputi Selat Melaka dan kemudiannya Laut
Andaman.
Awal pagi tadi, saya diberi taklimat oleh pasukan penyiasat - yang
dianggotai FAA, NTSB, AAIB, pihak berkuasa Malaysia serta Pemangku
Menteri Pengangkutan - mengenai maklumat baharu yang memberi lebih
banyak petunjuk tentang apa yang berlaku kepada MH370.
Berdasarkan maklumat terbaharu satelit, kami boleh menyatakan dengan
tahap kepastian yang tinggi bahawa Sistem Pengendalian Komuniksi dan
Laporan Pesawat (ACARS) dimatikan sejurus sebelum pesawat berkenaan
sampai ke pantai timur semenanjung Malaysia.
Sejurus selepas itu, berhampiran sempadan kawalan trafik udara antara Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat itu dimatikan.
Mulai saat itu, radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia
menunjukkan sebuah pesawat, yang dipercayai – tetapi tidak disahkan –
MH370 memang berpatah balik. Ia kemudian terbang semula ke arah barat
melalui semenanjung Malaysia, sebelum membelok ke arah barat laut.
Sepanjang tempoh itu, sehinggalah ia hilang daripada liputan radar
utama tentera, pergerakan yang berlaku menunjukkan ia adalah hasil
tindakan secara sengaja oleh seseorang yang berada di dalam pesawat
berkenaan.
Hari ini, berdasarkan data satelit belum proses yang diperoleh
daripada penyedia perkhidmatan data satelit, kami boleh mengesahkan
bahawa pesawat yang ditunjukkan di dalam radar utama itu adalah
penerbangan MH370.
Selepas banyak kajian forensik dibuat dan
perbincangan mendalam diadakan, FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa
Malaysia, yang mengkaji data itu secara berasingan, memberi pendapat
yang sama.
Menurut data baharu itu, komunikasi terakhir yang disahkan berlaku
antara pesawat itu dengan satelit ialah pada pukul 8:11 pagi waktu
Malaysia, Sabtu, 8 Mac.
Pasukan penyiasat sedang membuat kiraan selanjutnya untuk mengetahui
hingga sampai ke mana pesawat itu mungkin terbang selepas kali terakhir
ia mempunyai hubungan. Ini akan membantu kami memperhalusi lagi usaha
mencari.
Berikutan jenis data satelit yang ada, kami tidak dapat mengesahkan
lokasi tepat pesawat itu berada ketika kali terakhir ia mempunyai
hubungan dengan satelit.
Bagaimanapun, berdasarkan data baharu ini, pihak berkuasa
penerbangan Malaysia dan rakan antarabangsanya memutuskan bahawa
komunikasi kali terakhir antara pesawat itu dengan satelit berlaku di
satu daripada dua koridor ini: koridor utara yang menjangkau lebih
kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara
Thailand, atau koridor selatan dari Indonesia hingga ke selatan Lautan
Hindi. Pasukan penyiasat sedang berusaha untuk memperhalusi lagi
maklumat ini.
Berikutan perkembangan terbaharu ini, pihak berkuasa Malaysia
mengalih fokus penyiasatan mereka kepada petugas dan penumpang pesawat
berkenaan. Walaupun terdapat laporan media bahawa pesawat itu telah
dirampas, saya ingin menegaskan dengan sejelas-jelasnya bahawa: kami
sedang menyiasat semua kemungkinan yang boleh menyebabkan MH370
melencong daripada laluan asal penerbangannya.
Maklumat satelit terbaharu ini memberi kesan penting terhadap bentuk
dan skop operasi mencari. Kami telah menghentikan operasi kami di Laut
China Selatan dan menilai semula penggunaan aset kami. Kami sedang
bekerjasama dengan negara berkaitan dan memohon mereka memberi semua
maklumat berkenaan untuk digunakan dalam operasi mencari, termasuk data
radar.
Oleh kerana dua koridor baharu itu melibatkan banyak negara, maka
kedutaan negara berkenaan hari ini diundang menghadiri majlis taklimat
bersama Kementerian Luar Negeri dan pakar teknikal berhubung maklumat
yang baharu diperoleh itu.
Saya juga telah mengarahkan Kementerian Luar
Negeri memberi taklimat penuh kepada kerajaan-kerajaan asing, yang
rakyat mereka menjadi penumpang pesawat itu. Pagi tadi, Malaysia
Airlines memaklumkan kepada keluarga penumpang dan petugas pesawat
mengenai perkembangan terbaharu ini.
Jelas sekali, usaha mencari MH370 kini memasuki fasa baharu.
Sepanjang tujuh hari lepas, kami mengikuti setiap petunjuk dan mengkaji
pelbagai kemungkinan. Kepada keluarga dan rakan-rakan mereka yang
terlibat, kami berharap maklumat baharu ini akan membawa kami lebih
dekat kepada menemui pesawat berkenaan.
- SEKIAN.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan