Rabu, 26 Mac 2014

MH370: Amerika hantar drone dasar laut di Lautan Hindi

Post Pic

Amerika Syarikat (AS) menghantar drone dasar laut tentera lautnya yang berkemampuan meneroka dasar laut sejauh 15,000 kaki ke bawah paras laut bagi mencari bangkai pesawat MH370 yang tenggelam di Lautan Hindi.
 
Jurucakap Pentagon, Laksamana John Kirby ketika mengumumkan perkara itu berkata, drone tersebut yang berukuran lima meter panjang dan seberat 800 kilogram mampu beroperasi lebih sehari dalam kelajuan perlahan. 
   
Menurutnya, drone tersebut yang turut dilengkapi dengan teknologi canggih kemudahan sonar, juga berkeupayaan menjejaki kotak hitam dalam dasar laut.
 
Katanya, kemudahan tersebut diterbangkan dari Lapangan Terbang New York semalam dan dijangka tiba di Perth Australia hari ini.
 
Kirby memberitahu, masa kini amat kritikal kerana suara rakaman kokpit dan rakaman data penerbangan MH370 boleh terpadam dalam tempoh 30 hari. 
 
Katanya, tentera AS pernah meminjamkan kemudahan yang sama kepada kerajaan Perancis bagi menjejaki kotak hitam daripada pesawat Air France yang terhempas dan tenggelam di Lautan Atlantik pada Jun 2009.
 
Sepuluh pegawai tentera Amerika turut diterbangkan bersama peralatan tersebut ke Australia untuk tujuan berkenaan, menurutnya.
 
Bagaimanapun, katanya, teknologi tersebut hanya boleh digunakan sebaik sahaja kawasan pencarian dikecilkan.
 
"Untuk memastikan teknologi ini berkesan, kawasan dasar laut perlu dikenal pasti terlebih dahulu untuk dilihat jauh ke bawah," katanya.
 
"Perlu diberikan ukuran lingkungan parameter carian dan ketika ini kita masih belum memperolehinya," - Reuters

Tiada ulasan: