Wartawan yang menghadiri persidangan media mengenai
tragedi pesawat MH370 hari ini, tersentak apabila seorang wartawan
daripada South China Post bertanya, apakah Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya akan melepaskan jawatannya berikutan
tragedi yang menimpa pesawat tersebut.
Ahmad Jauhari yang tenang mendengar soalan daripada wartawan luar
negara berkenaan berkata, soal sama ada beliau meletakkan jawatan atau
tidak, tidak akan dijawabnya pada hari ini.
"Soalan ini saya sifatkan sebagai soalan peribadi. Saya tidak akan
menjawabnya pada sidang akhbar hari ini," katanya pada sidangh media di
Anjung Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini
hari ini.
Soalan tersebut ternyata tidak begitu disenangi oleh wartawan-wartawan
lain khususnya daripada media tempatan kerana seolah-olah menambah
tekanan kerja kepada Ahmad Jauhari yang dilihat bertungkus lumus sejak
hari pertama kejadian kehilangan pesawat itu.
Kenyataan Ahmad Jauhari itu disambut dengan pandangan sayu oleh
Pengerusi MAS, Tan Sri Mohd. Nor Yusof dan kebanyakan kakitangan MAS
yang turut sama dalam sidang media itu.
Ahmad Jauhari berkata, hari ini beliau berdiri di hadapan para media
bukan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebaliknya sebagai seorang ayah,
abang dan anak kepada keluarga penumpang dan 13 anak kapal MH370 yang
destinasinya berakhir di selatan Lautan Hindi.
"Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata apabila menerima khabar yang amat menyedihkan ini malam tadi.
"Apapun pihak kami ingin menegaskan bahawa berita dukacita ini
disampaikan kepada lebih 1,000 ahli keluarga bukan menerusi media atau
khidmat pesanan ringkas (SMS) sebaliknya kami, MAS sendiri yang
memaklumkan berita sedih ini," ujarnya.
Katanya, pihak MAS akan terus menanggung makan minum, penginapan dan
pengangkutan kepada lima keluarga penumpang dan bantuan kewangan
sebanyak AS$5, 000 diberikan kepada waris atau keluarga 239 yang berada
dalam pesawat MH370.
"Memang bukan wang yang dapat menggantikan kehilangan nyawa orang yang
disayang tetapi itu turut diambil kira oleh pihak MAS selain bantuan
kaunseling dan sebagainya" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan