Selasa, 25 Mac 2014

Saudagar spekulasi meraih laba politik daripada musibah MH370

Post Pic

Jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memilih tidak segera mengumumkan rumusan cerapan satelit Inmarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) sudah pasti ramai yang menuduh kerajaan Malaysia cuba menyorokkan maklumat tragedi MH370.
 
Kecenderungan untuk mempercayai teori ada konspirasi dalam tragedi MH370 sudah bertebaran ke seluruh pelosok dunia dan bukan terhad pada persekitaran Kajang, Selangor, yang baru menghadapi pilihanraya kecil Ahad lalu. 
 
Tidak kira agensi berita dan media asing mahupun media yang tidak mesra kerajaan di Malaysia serta halaman media sosial yang tiada kekangan etika, masing-masing menebarkan teori dan rumusan apa yang terjadi pada MH370 itu. 
 
Pusat segala spekulasi itu menyasarkan persoalan berhubung maruah, kecekapan dan jatidiri Malaysia, khususnya kerajaan menangani musibah ini. 
 
Tohmahan, ramalan dan juga sikap permusuhan tanpa asas ini dihimpunkan oleh bukan sahaja pihak luar negara tetapi dari kalangan sinis dan pembenci kerajaan. 
 
Namun kerajaan mempertahankan kerangka dan tatacara kerja menangani musibah yang tidak pernah terjadi dalam sejarah penerbangan moden di mana ada pesawat terbang tiba-tiba terputus daripada cerapan radar pihak  berkuasa beberapa buah negara.
 
Majlis teknikal mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai Jabatan Penerangan bertungkus lumus menyiasat segala kemungkinan dan petunjuk yang boleh memberi pencerahan kepada musibah luar biasa ini. 
 
Protokol yang dipatuhi oleh majlis ini ialah setiap maklumat atau data teknikal diselidiki kesahihanya dan harus tidak bercanggah dengan informasi yang sudah ditemui sebelum ini. Selepas dapat kepastian barulah ia diumumkan.
 
Justeru kerajaan tidak boleh melayan spekulasi dan tidak mahu menjadi punca yang menghebahkan spekulasi. Maklumat yang dikeluarkan mestilah tepat dan sahih. Sudah tentu proses ini mengambil sedikit masa. 
 
Sensitiviti ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370 amat ditatang supaya mereka tidak dilamun maklumat yang tidak betul dan spekulatif.
 
Maka Datuk Seri Najib mengambil keputusan mengumumkan dapatan rumusan yang dianggap tuntas oleh Inmarsat dan AAIB supaya ia tidak kemudian menjadi tempelak umum kononnya kerajaan masih menyorok maklumat.
 
Namun seperti dijangka, pihak yang tidak mesra kerajaan memulas tindakan Perdana Menteri itu sebagai langkah yang tergesa-gesa pula. Kononnya rumusan Imarsat dan AAIB itu tidak muktamad. 
 
Ada yang begitu galak hingga mempertikaikan dapatan dan rumusan institusi pakar berkenaan. Soalnya, jika cerapan teknologi paling canggih itu hendak disanggah apakah pilihan yang ada pada kerajaan Malaysia?
 
Jika tidak diumum, ia dituduh menyorok maklumat. Namun setelah dihebahkan ia dianggap tidak tuntas dan bukan muktamad. Kedua-dua keadaan adalah bahan politik yang amat “enak dan lazat” bagi pembangkang yang kurang sensitif terhadap kebenaran.
 
Sebagai langkah yang berhemah, kerajaan memutuskan tidak mahu mengibarkan bendera separuh tiang sehingga bukti fizikal yang kukuh diperolehi dari gerakan SAR diumum tamat. 
 
Ini sekaligus bagi membuktikan sikap tidak berputus asa kerajaan di samping tidak mahu menyanggah rumusan teknologi. 
 
Sementara itu, pihak kurang peka, tidak sensitif yang tidak beradab ini akan terus dengan aktiviti songsang mereka untuk menekan kebenaran dengan harapan ia akan melemahkan kerajaan yang dianggap musuh politik abadi mereka. 
 
Rasa kemanusiaan dan akhlak yang luhur bukan citra sanubari mereka. Dukacita dan kehibaan insan lain tergamak dijadikan modal untuk memerah seberapa banyak “keuntungan” politik dalam percaturan politik mereka. 
 
Bagi saudagar-saudagar yang memperdagangkan dukacita insan lain ini, ia adalah peluang terbaik untuk mensudutkan kerajaan dalam keadaan “ditelan mati emak, diluah mati bapak”. 
 
Bila kerajaan dalam keadaan serba salah, ia akan dijaja sebagai satu kelemahan. Lantas ada pemimpin pembangkang yang tidak malu menghebahkan beliau lebih layak menjadi perdana menteri kerana “lebih bijak melayani media barat”.

Tiada ulasan: