Para penyokong Anwar Ibrahim bersorak di
Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Mahkamah membenarkan Anwar diikat jamin RM10,000 dan perbicaraan disambung semula pada Isnin minggu
hadapan. Anwar berhadapan hukuman penjara lima tahun jika disabitkan
bersalah kerana meliwat Saiful Bahri.
SEBAIK sahaja keputusan kes liwat Anwar Ibrahim diketahui dan tidak menyebelahi Ketua Pembangkang, sekumpulan kira-kira 100 penyokongnya membuat kecoh di hadapan Istana Kehakiman di sini lewat petang tadi.
Sambil mengeluarkan kata-kata kesat – mereka yang berhimpun sejak jam 8 pagi tadi berkumpul di perkarangan mahkamah dan hanya berehat untuk menunaikan solat Jumaat sahaja.
Suasana mula kecoh apabila beberapa pemimpin pembangkang seperti Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali datang dengan menaiki kereta sekitar pukul 4 .15 petang.
Keadaan sedikit tegang apabila beberapa penyokong cuba menyerbu pintu masuk Istana Kehakiman sejurus dua peguam bersama Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin tidak dibenarkan masuk.
Sebaik sahaja melihat Anwar dan keluarganya keluar kira-kira jam 7.30 malam, para penyokong berteriak sehingga memaksa sekumpulan anggota polis yang berkawal bertindak.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, keamanan di Istana Kehakiman sepanjang prosiding di dalam dan luar mahkamah dalam keadaan baik.
"Tiada tangkapan dan rampasan sepanjang hari ini dan selesai tanpa sebarang insiden tidak diingini," ujarnya sambil memberitahu orang ramai mulai bersurai kira-kira pukul 7.45 malam.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan