Jumaat, 7 Mac 2014

Liwat II: Anwar dipenjara lima tahun

Mahkamah Rayuan di Putrajaya menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan. 
 
Keputusan dibacakan selepas mahkamah bersidang semula pukul 6.15 petang  dan peguam Karpal Singh membentangkan mitigasi.
 
Hukuman penjara itu bagaimanapun ditangguhkan sehingga Isnin, dan Anwar diarah membayar ikat jamin RM10,000.
 
Terdahulu Mahkamah Rayuan mensabitkan ketua pembangkang bersalah meliwat Saiful Bukhari Azlan enam tahun lepas.
 
Keputusan dibacakan Hakim Balia Yusof Wahi. Beliau menegaskan ia adalah keputusan sebulat suara panel hakim.
 
Hakim memberi sejam kepada Karpal Singh yang bertindak sebagai peguam Anwar untuk menyediakan mitigasi sebelum mahkamah bersidang semula pada pukul 6.15 petang untuk menjatuhkan hukuman.  
 
Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh. 
 
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara antara jam 3.10petang hingga jam 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Tiada ulasan: