Lain diminta, lain yang diberi.
Itulah yang
berlaku kepada Pas apabila bertindak ingkar dengan titah Sultan Selangor yang
mahu setiap parti dalam pakatan pembangkang di negeri itu menyenaraikan dua nama
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing untuk dipilih sebagai Menteri
Besar.
Bagaimanapun,
apa yang berlaku kepada Pas malam tadi amat mengejutkan apabila Setiausaha
Agungnya, Datuk Mustafa Ali dilaporkan berkata, parti itu membuat keputusan menyenaraikan
dua nama ADUN dari PKR untuk dipersembahkan kepada Sultan Sharafuddin Idris
Shah.
Keputusan
yang dicapai pada mesyuarat tertutup Pas Selangor di Shah Alam itu, sekali gus
menidakkan kenyataan beliau sendiri pada sebelah petang yang antara lain mengatakan,
Pas bersetuju menyenaraikan dua nama ADUN dari parti itu kepada Tuanku Sultan
untuk dipertimbangkan menggantikan tempat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai
Menteri Besar.
Mustahil
media tersalah lapor kenyataan Mustapa di Kuala Lumpur petang semalam, kerana
lidah rasmi Pas, Harakahdaily juga turut melaporkan maksud yang sama
sebagaimana dinyatakan Setiausaha Agung Pas itu.
Sepatutnya apabila
Abdul Khalid menyembah maklum kepada Sultan hendak meletakkan jawatan sebagai
Menteri Besar dan baginda pula menitahkan supaya beliau meneruskan untuk sementara
waktu mentadbir kerajaan negeri, kemelut politik yang memeningkan kepala rakyat
itu dianggap sudah berakhir.
Tetapi,
sebaliknya pula berlaku dan nampaknya krisis politik Selangor semakin panas dengan
onar baru dari Pas.
Sama ada
Pas, PKR dan DAP faham atau tidak maksud titah Tuanku, tidak diketahui, tetapi
jelas ketika baginda menerima menghadap Abdul Khalid di Istana Kayangan di Shah
Alam Isnin lalu, sultan telah menitahkan kepada tiga parti itu supaya menyenaraikan
enam nama sebelum 3 September ini.
Titah itu
adalah jelas, Tuanku mahu enam nama calon sampai ke tangannya mengikut tarikh
akhir yang ditetapkan, tetapi kenapa Pas sengaja tidak mahu faham sehingga mengeruhkan
lagi keadaan yang sedia keruh.
Kalau Mustafa
kata, mereka menghormati titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkehendakkan
nama baru, tidakkah dengan menyenaraikan nama dari PKR untuk dipersembahkan
kepada Tuanku itu satu penghinaan bersifat derhaka?
Kenapa Pas
tidak menyenaraikan dua nama ADUN mereka sebagaimana diminta oleh Sultan? Apa
yang mendorong Pas membelakangkan titah Tuanku? Adakah konvensi yang dicapai
ketika membentuk pakatan pembangkang lebih penting daripada kehendak sultan?
Jika Pas
tunjuk sikap degil dan liat seperti rakannya, PKR dan DAP, tidak mustahil
Tuanku akan menggunakan kuasanya untuk terus melantik Abdul Khalid sebagai
Menteri Besar Selangor sehingga habis penggal Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13)
tahun 2017 nanti.
Ini sudah
tentu akan menguntungkan Abdul Khalid dan maruahnya yang tercalar sebelum ini dapat
dipulihkan dalam jangkamasa singkat.
Bukan itu
sahaja, majoriti rakyat Selangor yang menyaksikan secara dekat kemelut politik
yang berantakan ini akan menjulang ADUN Pelabuhan Klang itu sebagai wira kerana
berjaya memeningkan kepala golongan bijak pandai dalam PKR, DAP dan Pas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan