Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung bawah Angkatan Rakyat Sedar (ARAS) hari ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Mereka
menyatakan pendirian itu dalam satu perjumpaan di Shah Alam pagi ini, dengan
membuat keputusan mendesak kepimpinan pakatan pembangkang agar tidak mengganggu
jawatan Menteri Besar yang dipegang Abdul Khalid sehingga tamat penggal Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU 13) pada 2018.
Pengerusi
ARAS, Abdul Rahim Abdul Wahab berkata, gabungan NGO itu yang mewakili jutaan
anak Selangor menaruh keyakinan penuh pentadbiran kerajaan negeri bawah Abdul
Khalid dan tidak ada sebab untuk beliau diganti dengan orang lain yang bukan
anak jati negeri itu.
Kata beliau,
pentadbiran Selangor di bawah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang
itu sejak pakatan pembangkang menang pada PRU 12 tahun 2008 berjalan baik,
teratur dan melengkapi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
“Kami sangat
yakin berlakunya kegawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya adalah
berpunca dari kumpulan kecil yang terdesak untuk memanjat naik hierarki kepimpinan
parti dengan melanggar adat dan budaya politik reformasi.
“Kami
menyeru agar apa jua kemelut yang berlaku hari ini ditangani dengan baik dan
bijaksana sesuai dengan gerakan serta anjakan ‘Politik Reformasi’ yang dibawa
oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 yang kami dukung
sehingga sekarang,” katanya.
Bercakap
kepada pemberita selepas itu, Abdul Rahim berkata, mereka turut meminta agar
segala isu sensasi yang diputarkan di media perdana, media sosial atau di
pentas ceramah dengan tujuan memperlekeh Institusi Istana Selangor, mengaibkan
Abdul Khalid, memanipulasi atau memutar belitkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan
Negeri Selangor oleh sesetengah pemimpin pakatan pembangkang dihentikan serta
merta.
Ini kerana,
katanya, perbuatan itu tidak menguntungkan sesiapa, malah lebih menyerlahkan
lagi betapa mentahnya kemahiran politik mereka di mata rakyat dan seperti
menghina kebijaksanaan rakyat Selangor yang memilih pakatan pembangkang selama
dua penggal PRU.
“Ini juga
telah membangkitkan kebencian dan rasa mual rakyat terhadap pakatan pembangkang
dan perlu diingat, yang memilih mereka untuk menerajui pemerintahan di
Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan bukan hanya terdiri dari anggota atau ahli
gabungan itu, tetapi juga rakyat yang tidak berparti,” katanya.
Kata beliau,
malam esok semua ahli NGO berkenaan termasuk rakyat dan anak jati Selangor akan
mengadakan solat sunat hajat dan munajat di Masjid Negeri Shah Alam dari jam 7
hingga 10 malam.
“Kita mohon
kepada Allah agar kesinambungan pemerintahan kerajaan Selangor di bawah Abdul
Khalid terus membudayakan konsep ketelusan, kejujuran, berintegriti dan
menidakkan sekeras-kerasnya amalan nepotisme, kronisme dan rasuah dalam
pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Abdul Rahim
turut menempelak Pas kerana membuat pusingan U dalam menentukan kedudukan Abdul
Khalid pada mesyuarat parti itu di Kuala Lumpur Ahad lalu.
Katanya,
rakyat Selangor berpegang kepada pendirian Pas Pusat sebelum ini yang mengakui
Abdul Khalid tidak melakukan sebarang kesalahan dari segi syarak dan perlu
diberi peluang memegang jawatan Menteri Besar sehingga tamat penggal PRU 13.
“Bagaimanapun,
dalam sekelip mata juga mereka (Pas Pusat) membuat keputusan menarik balik
sokongannya terhadap Abdul Khalid,” katanya yang tidak menolak Pas telah dipengaruhi
oleh pihak tertentu dalam pakatan pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan