Seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencabar Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendedahkan kandungan sebenar ‘Langkah Kajang’, jika beliau mendakwa dokumen itu yang tersebar luas dalam laman sosial sebagai palsu.
Lelaki itu yang
enggan namanya disiarkan berkata, beliau bersama rakan yang bergerak aktif dalam
NGO di Selangor telah meneliti salinan dokumen ‘Langkah Kajang’ itu dan yakin
ia adalah tulin dengan isi kandungannya tidak perlu diragui lagi.
Beliau yang turut
hadir dalam perjumpaan Angkatan Rakyat Sedar (ARAS) iaitu gabungan NGO di Shah
Alam pagi tadi berkata, kesimpulan kepada ‘Langkah Kajang’ itu ialah bukan
sahaja pengkhianatan kepada Selangor, bahkan negara juga.
“Macam mana
dokumen yang sangat penting bagi PKR ini tersebar, saya pun tidak tahu. Saya
juga terkejut dan saya bersama rakan-rakan dalam NGO membuat kesimpulan,
matlamat ‘Langkah Kajang’ adalah satu pengkhianatan kepada Selangor dan juga
negara.
“Sebab itu, apabila
pada awal tahun ini, terdengar desas desus untuk menukarkan Menteri Besar, saya
sudah agak, ini semua mesti kerja mereka yang tamak dan berkepentingan diri,”
katanya dalam pertemuan eksklusif dengan Malaysia Gazette.
Turut hadir,
seorang bekas pemimpin PKR yang pernah mengetuai sebuah gerakan membantah kenaikan
cukai dan barangan perkhidmatan (GST) di ibu kota beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun,
bekas pemimpin PKR ini telah dikenakan tindakan tatatertib oleh Lembaga
Disiplin Keadilan berikutan tidak berpuas hati dengan proses pemilihan parti.
Sementara
itu, Rafizi dalam kenyataan balasnya hari ini, menasihatkan penyokong pakatan
pembangkang agar tidak mempercayai dakwaan mengenai kesahihan dokumen ‘Langkah
Kajang’ itu.
Beliau
dilaporkan berkata, dokumen yang tersebar itu adalah palsu dan sengaja ditulis
oleh pihak tertentu untuk memburuk-burukkan PKR dengan rakan gabungannya dalam
pakatan pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan