Rasa seperti sudah diketahui akan keputusan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat di ibu pejabat agung parti itu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, malam ini.
Tidak keterlaluan
kalau dikatakan keputusannya nanti akan berpihak kepada Presiden PKR, Datin
Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Dalil
kemenangan bakal Menteri Besar Selangor baharu itu telah dibayangkan lebih awal
oleh Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa, Mohamad Hanipa Maidin dan
dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas iaitu Saari Sungip dan Hasnul
Baharuddin.
Kenyataan
mereka ini walaupun dibuat pada hari berlainan dan tempat berasingan, tetapi
kesimpulan kepada hasrat mereka ialah bersetuju Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
ditukarkan.
Ia bukan lagi
kenyataan atau pendapat peribadi, sebaliknya mewakili suara segelintir pemimpin
dan ahli yang mahukan Pas kekal dalam pakatan pembangkang serta membentuk
kerajaan bersama di Selangor tanpa perlu ada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Suara Mat
Sabu, Salahuddin, Husam dan Mohamad Hanipa inilah yang akan bergema dalam
mesyuarat Pas Pusat malam ini, yang dijangkakan hangat dengan pelbagai hujah,
pandangan dan peringatan.
Umum tahu,
kepimpinan Pas hari ini bukan lagi berideologikan matlamat perjuangan di awal
penubuhannya 1950-an, sebaliknya telah diresapi pemahaman liberalisasi akibat
berkiblatkan kepada seorang pemimpin, iaitu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Jadi, tidak
mustahil kalau Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya
yang membuat kenyataan mahu Abdul Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar,
telah dikecam oleh segelintir pemimpin parti itu sendiri.
Malah ada
yang membelakangkan keputusan parti dengan memberi sokongan secara terbuka
kepada Dr. Wan Azizah.
Di sini jelas
menunjukkan Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz tidak lagi dihormati oleh pemimpin
bawahan sebagai ketua parti, dan tidak mustahil mereka akan menerima nasib sama
seperti bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan bekas Naibnya,
Nasharuddin Mat Isa.
Kedua-dua
pemimpin ini disingkir, dipinggir, diboikot dan dipecat dari parti hanya kerana
menyatakan persetujuannya dengan cadangan UMNO untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan.
Hasrat dan
niat Allahyarham Fadzil serta Nasharuddin adalah baik, iaitu mahu menyelamatkan
umat Islam dan bangsa Melayu daripada berpecah belah akibat ideologi dan
fahaman politik masing-masing.
Tetapi, hanya
kerana niat baik itu, kedua-duanya dicapkan sebagai penderhaka dan seterusnya dipinggirkan
dalam keadaan penuh hina oleh kepimpinan parti itu sendiri.
Adakah era Abdul
Hadi dan Nik Abdul Aziz juga akan berakhir sama seperti kedua-dua rakan mereka
itu?
Pas harus
sedar, parti itu bukan lagi didokong oleh kepimpinan yang berjuang membangunkan
Islam, sebaliknya lebih separuh daripada pemimpin yang ada selarang ini bersikap
mementingkan diri sendiri.
Hanya kaki sahaja
dalam Pas, sedangkan keseluruhan jiwa mereka sudah bersama PKR.
Jadi, tidak
mustahil keputusan yang dicapai dalam mesyuarat AJK Pas Pusat malam ini,
walaupun Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz mengatakan ‘tidak’, akan menyaksikan suara
majoriti parti itu membuat pusingan U kepada pakatan pembangkang.
Bagi mereka
(kecuali Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz), hubungan persahabatan dan tahaluf
siyasi dengan PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang sangat penting, kerana
menerusi pakatan itu, mereka dapat memenangi banyak kerusi Parlimen dan DUN.
Sejarah juga
merekodkan kejayaan Pas menakluk Kelantan, Terengganu dan Selangor adalah atas
dasar kerjasama parti itu dengan parti lain yang bermati-matian hendak mengalahkan
UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Banyak
perkara yang Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz kena fikir dan ambil kira dalam
hubungan parti itu dengan PKR serta DAP, sebelum mengatakan ‘tidak’ - iaitu
mahu Abdul Khalid dikekalkan - pada mesyuarat malam ini.
Mereka
berdua akan diumpankan dengan 99 peratus janji manis oleh barisan kepemimpinan
parti itu jika membuat keputusan untuk keluar dari pakatan pembangkang.
Justeru, Pas
Pusat akan mengumumkan keputusan yang mengejutkan tengah malam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan