Selasa, 26 Ogos 2014

Persembah Hasrat Meletak Jawatan Kepada DYMM Sultan Selangor

Saya menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Selangor kerana telah berkenan untuk saya menghadap baginda pada petang ini di Istana Bukit Kayangan Shah Alam, bagi membincangkan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri ini.
Saya telah menyembah maklum bahawa dinamik politik di negeri Selangor kian meningkat dan telah menimbulkan keresahan rakyat jelata. Demi kelangsungan kestabilan politik di negeri Selangor ini, saya telah kemukakan kepada DYMM Tuanku hasrat untuk meletak jawatan sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.



DYMM Tuanku telah mengambil maklum hasrat saya dan Tuanku telah membuat keputusan untuk menangguh penerimaaan peletakan jawatan saya sehingga proses pelantikan Menteri Besar baharu selesai.

Saya juga telah memohon maaf kepada DYMM Tuanku atas suasana politik masa kini yang telah menyebabkan pihak Istana terheret sama  dalam kemelut pentadbiran di negeri ini.

Saya menyerahkan kepada kebijaksanaan DYMM Tuanku untuk mencari penyelesaian terbaik sekaligus mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pemerintah, institusi beraja dan pentadbiran awam.

Saya yakin DYMM Tuanku akan mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri dalam membuat keputusan dan saya dengan seikhlasnya akan akur kepada pilihan yang diputuskan oleh baginda.

Saya berharap semua pihak terutama ahli politik, media dan pengguna media sosial mengelak dari membuat kenyataan atau kritikan yang menjurus kepada niat untuk memperkecilkan peranan mana-mana pihak yang terlibat terutama institusi beraja dan Raja-raja Melayu.

Biarpun kita menghormati prinsip demokrasi yang memberi kebebasan bersuara namun adab, tatatertib dan hak-hak DYMM Sultan Selangor di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor perlu dihormati demi kesejahteraan negeri.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR 
26 OGOS 2014

Tiada ulasan: