Selasa, 26 Ogos 2014

Sultan Selangor Tangguh Terima Khalid Ibrahim Letak Jawatan

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini, menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan baharu ditentukan.

Sultan Selangor membuat keputusan itu setelah menerima menghadap Abdul Khalid yang menyembah hasrat meletak jawatan sebagai Menteri Besar di Istana Bukit Kayangan di sini.

Abdul Khalid berkata, Sultan Selangor mahu memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar dan teratur.


"Saya telah menyembah maklum bahawa dinamik politik di Selangor kian meningkat dan telah menimbulkan keresahan rakyat. Demi kelangsungan kestabilan politik di negeri ini saya telah kemukakan kepada tuanku hasrat untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

"Tuanku telah mengambil maklum hasrat saya dan tuanku telah membuat keputusan untuk menangguh penerimaan peletakan jawatan saya sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai," katanya dalam sidang media selepas menghadap Sultan Selangor.

Abdul Khalid berkata, baginda telah menitahkan agar pemimpin Pakatan Rakyat - PAS, PKR dan DAP - mencadangkan lebih daripada dua nama daripada setiap parti itu sebagai calon menteri besar Selangor.

Menurutnya, ia bagi memudahkan baginda untuk menentukan calon yang berkelayakan seterusnya memberi perkenan untuk melantik mana-mana calon yang difikirkan layak sebagai menteri besar.

Abdul Khalid berkata, ini adalah sejajar dengan konvensi yang telah diamalkan secara berterusan dalam pelantikan menteri besar Selangor sebelum ini.

"Sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Perkara LI (1), Perkara LIII (2)(a), (4) dan LV (2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Sultan Selangor telah diperuntukkan dengan kuasa budi bicara mutlak dalam pelantikan seorang menteri besar bagi kerajaan negeri Selangor yang pada pendapat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)," katanya.

Abdul Khalid berkata beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan Selangor untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung kemelut kepimpinan Selangor demi kepentingan rakyat.

Sambil berjanji akan akur dengan keputusan baginda, Abdul Khalid berkata beliau yakin baginda akan mengutamakan kepentingan rakyat serta negeri dalam membuat pertimbangan.

Beliau turut ditanya sama ada cadangan untuk menamakan lebih daripada dua calon menteri besar Selangor baharu itu daripada setiap parti dalam pakatan, menunjukkan penolakan Sultan Selangor terhadap pencalonan tunggal Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai menteri besar yang baharu.

Abdul Khalid menegaskan perkara itu langsung tidak timbul semasa pertemuannya dengan Sultan Selangor pada Selasa.

"Ini ialah tatacara (mendapatkan senarai nama calon menteri besar) yang pernah dilakukan oleh Istana bukan sahaja semasa Pakatan Rakyat memerintah tetapi semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini pun sudah diamalkan," katanya.

Ditanya sama ada tempoh untuk penamaan calon menteri besar Selangor telah ditetapkan, Abdul Khalid menjelaskan pihak Istana akan menulis surat kepada pemimpin setiap parti berkenaan bagi menyatakan permintaan baginda itu.

Ditanya mengenai kriteria seorang menteri besar Selangor yang baginda mahukan, beliau berkata: "Pada saya biasanya Istana mempunyai beberapa pandangan daripada mereka yang layak untuk menjadi menteri besar.

"Pertimbangan (untuk calon menteri besar) kebiasaannya perlu mendapat keyakinan daripada DUN dan sejajar dengan konvensyen. Apapun ketiga-tiga parti itu (PKR-PAS-DAP) perlu mencadangkan maksimum empat nama Adun daripada parti masing-masing untuk dipertimbangkan oleh baginda," katanya.

Menurut Abdul Khalid, tindakan Sultan Selangor yang meminta lebih daripada dua nama untuk calon menteri besar baharu juga tiada kaitan dengan penolakan PAS terhadap Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal jawatan itu.

"Sultan Selangor telah menerangkan kepada saya bahawa permintaan lebih daripada dua calon menteri besar adalah situasi yang sama semasa pemerintahan ayahanda baginda sebelum ini," katanya.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran