Jumaat, 22 Ogos 2014

Jenazah ADUN Pengkalan Kubor dikebumi malam ini

Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu petang ini.
 
Persiapan membawa pulang jenazah Ketua UMNO Bahagian Tumpat itu agak lewat berikutan pemilik kedai membuat keranda yang mengikuti spesifik penerbangan antarabangsa di Guangzhou telah berpindah premis.
Bagaimanapun, menurut Naib Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Wan Hanapi Wan Yaacob, keranda khas itu telah pun siap dan urusan menempatkan jenazah Allahyarham juga telah selesai.
 
Katanya, ketika ini pihaknya dimaklumkan jenazah itu akan dibawa pulang sama ada menerusi penerbangan AirAsia atau Malaysian System Airlines (MAS).
 
"Pada mulanya tempahan dibuat menerusi penerbangan MAS yang dijadualkan sampai malam ini di Kota Bharu, tetapi pihak keluarga dan keduataan Malaysia di China dimaklumkan jadual penerbangan AirAsia lebih awal daripada MAS dan boleh tiba di Kota Bharu pada petang," katanya.
 
Beliau berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Pekan, iaitu di kampung kelahirannya.
 
Allahyarham yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isteri, Siti Mona Abdul Kadir ketika menerima rawatan kanser hati di Hospital Guangzhou, China pada jam 5.45 Rabu lalu.

Tiada ulasan: