Ahad, 10 Ogos 2014

Tunggu Anwar umum keputusan mesyuarat MPP PKR

Anwar Ibrahim

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang selesai sebentar tadi, enggan mendedahkan keputusan yang dicapai dalam perbincangan bersama Lembaga Disiplin Keadilan mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Pengerusi Lembaga Disiplin Keadilan, Datuk Dr. Tan Kee Kwong berkata, MPP ada membincangkan jawapan notis tunjuk sebab Abdul Khalid yang dihantarnya pagi semalam, tetapi menutup mulut daripada memberi ulasan.
 
"Ya, kita ada bincang pasal jawapan dia (notis tunjuk sebab Abdul Khalid). Tunggu pihak atasan akan umumkan,” katanya ringkas.
 
Wartawan yang menunggu sejak jam 10 pagi cuba mendapatkan jawapan daripada beberapa ahli mesyuarat MPP dan Lembaga Disiplin Keadilan, tetapi semua mengambil sikap mengunci mulut.
 
"Tunggu Ketua Umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim) umumkan,” kata seorang anggota MPP PKR ketika diminta mendedahkan hasil mesyuarat itu.
 
Semalam, Abdul Khalid menerusi Setiausaha Sulitnya, Mustafa Mohd Taib menyerahkan surat jawapan notis tunjuk sebab kepada Lembaga Lembaga Dispilin Keadilan pada jam 10.20 pagi di ibu pejabat PKR Pusat di Petaling Jaya.
 
Dalam jawapan itu, Menteri Besar berkata, beliau terkilan apabila notis pendengaran yang dihantar kepadanya turut meminta menjelaskan lima perkara tambahan iaitu pengstrukturan air Selangor, elaun baru Menteri Besar Selangor, kenaikan cukai lesen perniagaan, pinjaman hutang dengan Bank Islam dan cadangan pembinaan Lebuh Raya KIDEX.
 
Sehubungan itu, beliau berpendapat Lembaga Disiplin Keadilan telah bertindak tidak adil kepadanya kerana notis tunjuk sebab tersebut tidak merujuk kepada perkara itu, sebaliknya menguatkan lagi desakan bahawa sebarang pertuduhan terhadapnya perlu dinyatakan dengan jelas termasuk butiran terperinci.

Tiada ulasan: