Sabtu, 23 Ogos 2014

Politik Selangor ditentukan hari ini atau esok


Hari ini atau esok, penentuan politik Selangor bakal diketahui. Sama ada berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atau menyaksikan pelantikan muka baru menggantikan Menteri Besar sedia ada, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hari ini, Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah akan berangkat pulang ke tanah air dalam tempoh baginda memendekkan cutinya di luar negara. Keputusan itu diambil berikutan keadaan politik di negeri yang dipayungi baginda sudah tidak dapat diselamatkan lagi tanpa campur tangan baginda.


Kedudukan Abdul Khalid terumbang ambing selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas membuat keputusan menyokong calon tunggal Menteri Besar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Sebelum ini, ADUN Pelabuhan Klang itu memaklum sembah kepada Tuanku, yang beliau mendapat sokongan majoriti daripada 12 ADUN Barisan Nasional (BN), 15 ADUN Pas termasuk empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga dari Pas.

Malangnya, tindakan mengejut oleh dua ADUN Pas iaitu Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) meletakkan Abdul Khalid yang tidak lagi mendapat kepercayaan parti, sekali gus Menteri Besar bebas yang hilang sokongan majoriti.

Mengikut peraturan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, mana-mana Menteri Besar yang tidak mendapat sokongan majoriti, sama ada daripada ADUN atau MMKN, secara automatik beliau hilang kelayakan sebagai ketua eksekutif kerajaan negeri.

Namun, kedudukan Abdul Khalid masih selamat, tetapi beliau mempunyai jangka hayat sekurang-kurangnya hari ini atau sehingga Tuanku Sultan mengeluarkan titah, iaitu melantik Menteri Besar yang baharu atau membubarkan DUN.

Dua keputusan inilah yang ditunggu-tunggu penuh debaran sebilangan besar ADUN Selangor dan rakyat negeri itu, hatta Abdul Khalid sendiri pun berdebar menunggu titah muktamad dari baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Secara umumnya, penggantian Menteri Besar kepada Dr. Wan Azizah mungkin tidak akan berlaku lagi kerana Tuanku Sultan telah menolak senarai calon tunggal yang dikemukakan Pakatan Rakyat (PR) kepada baginda minggu lalu.

Begitu juga calon kedua, Mohamed Azmin Ali yang disebut-sebut sebagai pengganti, telah dibuang namanya awal-awal lagi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan alasan beliau sebelum ini telah menyatakan pendiriannya bersetuju hanya Dr. Wan Azizah sahaja yang layak menduduki kerusi panas Menteri Besar Selangor itu.

Dengan itu, baginda Sultan hanya mempunyai satu pilihan sahaja lagi, iaitu membubarkan DUN bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Namun, bukan mudah bagi baginda untuk berbuat demikian kerana sebelum baginda memutuskan pembubaran DUN, baginda turut mengambil kira beberapa masalah yang bakal dihadapi.

Pertamanya, kos untuk mengendalikan PRN memerlukan perbelanjaan duit rakyat yang besar iaitu kira-kira RM50 juta. Kedua, baginda mungkin tidak mahu menyusahkan rakyat kerana kepenatan berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) pada Mei tahun lalu masih belum hilang sepenuhnya lagi.

Tetapi, jika DUN tidak dibubarkan dan nama Dr. Wan Azizah pula tidak diperkenan, baginda sekurang-kurangnya mempunyai satu lagi pilihan atau keputusan bagi menyelamatkan politik da pentadbiran kerajaan Selangor.

Pilihan dan keputusan itu ialah dengan baginda memilih sendiri nama-nama ADUN Pas untuk dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.

Sebelum ini, Pas Selangor ada juga menyenaraikan dua ADUNnya jika usaha PKR menggantikan Presidennya tidak berjaya. Dua nama itu ialah Dr. Idris Ahmad (Ijok) dan Ir. Iskandar Abdul Samad (Cempaka).

Bagaimanapun, nama Ir. Iskandar yang juga Pengerusi Pesuruhjaya Pas Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri dianggap sebagai layak menggantikan Abdul Khalid yang kini tidak lagi berparti selepas keahlian seumur hidupnya dalam PKR telah dilucutkan.

Pentadbiran kerajaan Selangor hari ini berjalan secara pincang dengan seorang Menteri Besar dan empat ahli MMNK. Tetapi, walaupun perlembagaan mengatakan, jumlah itu lebih dari mencukupi untuk mentadbir, namun kedudukan Abdul Khalid sebagai ahli bebas agak mencacatkan keadaan.

Beliau sedar dengan senario berkenaan, sebab itu beliau memohon perkenan pihak istana untuk menghadap Tuanku di luar negara, tetapi Tuanku menolaknya dengan memintanya bersabar menunggu sehingga baginda berangkat pulang pada 27 Ogos ini.

Namun, disebabkan keadaan yang semakin sulit dan menyulitkan, baginda terpaksa memendekkan tempoh percutian dan dijangka berangkat pulang ke tanah air hari ini.

Di sini, baginda akan mendapatkan nasihat daripada beberapa pihak tertentu termasuk mendengar penjelasan dari Abdul Khalid, sebelum memutuskan langkah muktamad bagi mengakhiri kemelut politik Selangor.

Langkah itu sama ada menerima pengganti Menteri Besar atau membubarkan DUN. Semuanya akan ditentukan dan diketahui menjelang esok. 

Tiada ulasan: